Label

PERLU PENDIDIKAN SEKS

KATA orang, seks adalah hal dewasa. Kita 'diharamkan' bercakap mengenai seks dengan remaja kononnya seolah-olah memberi mereka izin untuk mencuba.

Bagi mereka, pendidikan seks tak perlu diterangkan, kecuali perkara penting seperti HIV dan Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS) atau maklumat anggota reproduksi mereka.

Hal-hal lain perlu ditunggu sehingga sampai waktu mereka mengetahuinya sendiri.

Inilah pendirian kebanyakan orang dewasa apabila ditanya pendapat mereka mengenai pendidikan seks kepada remaja.

Pemikiran ini mengakibatkan kejahilan remaja mengenai seks berlanjutan.

Justeru, jangan terkejut apabila berita salah laku seks seperti pelajar perempuan menyorokkan anak yang baru dilahirkannya di dalam almari atau gadis remaja dirogol  oleh kumpulan rakan lelaki ketika mereka dalam keadaan khayal atau kes sumbang mahram dilaporkan media massa.

Naluri seks adalah perasaan semula jadi semua makhluk. Binatang ada waktu untuk mereka membiak, tetapi manusia tiada had.

Manusia yang hanya ikut perasaan semula jadi tanpa pengetahuan mengenai elemen nafsu seks tidak akan teragak-agak melakukannya apabila dia mengalami tekanan syahwat dan tidak tahu cara melegakannya.

Kajian di Sweden menunjukkan, remaja yang dapat pendidikan seks tahu cara menangani tekanan seks.

Mungkin 10 atau 20 tahun lalu tidak ada saluran maklumat mengenai seks seperti sekarang apabila maklumat mengenai seks boleh didapati dengan hanya mengelik tetikus komputer sambil melayari laman seks.

Seks diberi penonjolan melalui pelbagai maklumat, daripada saintifik hingga ke maklumat yang glamor, dan terpulang kepada remaja itu untuk menerimanya.

Remaja yang mendapat pendidikan asas seks tidak mudah terpengaruh. Pendidikan asas itu dapat membina jati diri mereka.

Jika dia mendapat bimbingan, dia akan dapat memilih maklumat yang akan menambah pengetahuannya, sekali gus menjadi remaja yang matang daripada aspek pengetahuan seks.

Pendidikan seks bukan saja memberi maklumat teknikal anggota kelamin dan reproduksi, malah pendedahan mengenai etika dan perilaku seksual yang sihat.

Maklumat mengenai seks dapat membantu remaja ke arah kedewasaan selain memantapkan keyakinan diri.

Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendapati, remaja yang mendapat pendedahan seks komprehensif pandai membuat keputusan apabila berdepan cabaran.

Remaja perempuan tahu menjaga diri dan tidak mudah terpengaruh untuk melakukan perkara berkaitan salah laku dan etika seksual, manakala remaja lelaki pula tahu mendisiplinkan diri dan tidak mengambil kesempatan untuk memperdayakan perempuan untuk memuaskan nafsu seks.

Pada masa sama, mereka tahu cara untuk mendapatkan kelegaan syahwat yang tidak mendedahkan mereka kepada risiko penyakit kelamin (STD) dan HIV/AIDS.

Justeru, pendapat mengatakan pendidikan seks mendorong remaja melakukan eksperimen adalah tidak betul.

Orang dewasa perlu menukar penetapan minda daripada menghalang remaja mendapat pendidikan seks kerana perkara itu penting.

Ibu bapa juga memainkan peranan fungsi penting dalam perkara ini. Jika anak ada keraguan, ibu bapa boleh memberi maklumat mengenai kemusykilan seks dan sentiasa sensitif kepada kehendak anak remaja.

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan