SAYA berusia 29 tahun dan sudah berkahwin selama enam tahun. Hingga kini, kami belum dikurniakan zuriat walaupun kitaran haid saya normal. Pelbagai cara sudah dilakukan untuk hamil namun masih tidak berjaya.
Saya dan suami pernah menjalankan pemeriksaan kesuburan dan saya didapati mempunyai masalah kesuburan manakala suami pula tidak mempunyai sebarang masalah.
Sejak itu kami sering mencari jalan untuk mendapatkan zuriat seperti berubat kampung, melakukan rawatan permanian berhadas (IUI), berurut, memakan ubat kesuburan dan banyak lagi namun semua usaha tidak berjaya.
Ada rakan mengesyorkan supaya membuat kaedah persenyawaan tabung uji (IVF) namun kos untuk rawatan IVF terlalu tinggi dan luar daripada kemampuan kami. Oleh itu saya ingin pendapat doktor untuk mendapatkan zuriat.
Keinginan saya dan suami untuk mendapatkan zuriat terlalu tinggi sehingga kami tertekan memikirkannya. Kami juga cemburu dengan kawan-kawan yang sudah punya zuriat walaupun baru berkahwin.
MARCELLA
Kuala Lumpur
PADA usia 23 tahun (awal perkahwinan anda), wanita masih mempunyai tahap kesuburan yang tinggi. Setelah dua tahun, peratus wanita yang masih belum hamil hanya tinggal tujuh peratus saja.
Anda tidak menyatakan dengan lanjut jenis masalah kesuburan pada diri anda yang sudah dikenal pasti oleh doktor. Terdapat beberapa perkara atau faktor yang perlu anda fahami lebih lanjut mengenai masalah kesuburan anda, antaranya:
- Mengapakah IUI dijalankan? Adakah kerana bilangan sedikit sperma berkurangan atau kualiti sperma yang tidak mencukupi.
Memandangkan anda menyatakan suami tidak mempunyai masalah, saya jangkakan bilangan pergerakan dan rupa bentuk sperma suami anda didapati normal. Jika benar, IUI (teknik menyuntik sperma ke dalam ruang rahim supaya lebih hampir dengan kedudukan telur di penghujung tiub fallopio) dijangka meningkatkan peluang kehamilan anda kepada empat hingga lima kali ganda.
Itupun jika ada telur matang dihasilkan dan tiub fallopio anda berfungsi normal.
- Sudahkah anda menjalani ujian pengesahan tiub fallopio sama ada secara menyuntik cecair ke dalam ruang rahim dan mengesahkannya menggunakan sinaran-x (dinamakan HSG) ataupun secara pembedahan laparoskopi diagnostik?
Saya menjangka ia sudah dilakukan dan ujian terbabit mendapati satu atau kedua-dua tiub fallopio anda tidak tersumbat. Bagaimanapun, anda harus faham bahawa ujian HSG hanya memberi maklumat terhad berbanding secara pembedahan laparoskopi diagnostik yang lebih lengkap.
- Berapa kali IUI dijalankan? Ini kerana gagal kali pertama IUI (lebih-lebih lagi jika terdapat lebih daripada satu kantung folikel telur matang) tidak bermakna anda tidak sesuai dengan teknik ini. Apakah keadaan folikel telur anda serta bacaan analisis air mani suami pada hari IUI terbabit?
- Sewaktu pengambilan ubat kesuburan, berapakah kantung folikel telur matang yang diperoleh? Mengapakah anda diberikan ubat kesuburan? Ini kerana ubat kesuburan bertujuan menambah bilangan folikel telur matang untuk meningkatkan peluang satu atau lebih telur ini memasuki tiub fallopio dan disenyawakan. Ubat kesuburan tidak mengubati masalah tiub fallopio, malah sesetengah ubat kesuburan juga mungkin memberi kesan sampingan terhadap lapisan endometrium rahim.
- Apakah penilaian doktor sewaktu pemantauan kesuburan? Ini lazimnya diperiksa menggunakan kaedah ultrabunyi trans-vagina untuk mengukur saiz setiap folikel telur (dalam unit mililiter) di dalam ovari kanan dan kiri, bilangan folikel telur yang mencapai saiz matang, ketebalan pada lapisan endometrium di dalam rahim, keadaan lapisan endometrium itu sendiri, keadaan terowong pintu rahim (endoserviks) dan seumpamanya.
Rawatan kesuburan memerlukan kesabaran dan kesungguhan. Usah cepat berputus asa dengan sesuatu jenis rawatan hanya setelah menjalaninya sekali sahaja.
Pada masa sama, usahlah memilih sesuatu kaedah atau meneruskan kaedah yang sama berulang kali walaupun sudah diterangkan oleh doktor ia tidak sesuai dengan jenis masalah yang anda hadapi. Jika dibuat perbandingan, pasangan yang tidak mempunyai masalah kesuburan pun mempunyai peluang hamil sekitar 25 peratus sahaja dalam sesuatu bulan atau kitaran dan bukannya 50 peratus apatah lagi 100 peratus, angka 25 peratus itupun sebenarnya dikira tinggi.
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan