Label

EMPAT TAHUN DERITA ANEMIA (SAKIT PUAN)

SUDAH lama saya alami masalah ini iaitu kekurangan darah merah atau anemia. Ia disebabkan darah yang keluar dari badan melalui dubur yang kerap berlaku.

Ia berlaku setiap bulan dengan kekerapan tiga hingga 10 hari yang lazimnya keluar sewaktu saya ke tandas untuk membuang air iaitu dalam keadaan mencangkung atau duduk.

Keadaan ini bermula sejak akhir 2008 sehingga sekarang iaitu kira-kira empat tahun. Saya sudah beberapa kali bertemu doktor yang menyatakan ia buasir. Saya diperiksa di bahagian buang air besar dan doktor juga tidak melakukan sebarang imbasan.

Saya pernah dimasukkan ke wad dua kali kerana paras hemoglobin terlalu rendah, paras hemoglobin saya pernah mencecah lapan, enam dan paling teruk, sekitar empat.

Saya juga sering rasa hendak pengsan, sakit dada, sesak nafas, sangat mudah penat tetapi saya tidak pernah pengsan buat masa ini.

Sebelum mengalami masalah ini, saya aktif bersukan dan selalu cergas. Doktor mencadangkan saya membuat skop tapi saya belum pernah melakukannya. Saya diberi ubat buasir dan ubat tambah darah serta vitamin.

Saya makan ubat seperti diarahkan tetapi ia tetap berlaku. Saya harap doktor dapat memberi nasihat dan cadangan rawatan untuk saya supaya saya dapat cergas seperti dulu.

Untuk makluman doktor, saya pelajar yang kini menjalani praktikal di sebuah syarikat.

NADIAH
Kuala Lumpur

JIKA anda pelajar yang kini menjalani praktikal, berkemungkinan empat tahun dulu anda masih di bawah 18 tahun.

Ibu bapa atau penjaga anda mungkin mempunyai maklumat tambahan mengenai keadaan kesihatan anda ini.

Anda pernah mengalami keadaan anemia teruk. Lazimnya apabila hemoglobin berada di bawah daripada paras 6mg/dL dan seseorang itu menunjukkan simptom anemia seperti yang anda alami, anda tentu sudah diberikan kemasukan darah beberapa unit atau pek sementara doktor menganalisis hasil ujian yang dilakukan (ujian darah, imbasan, pemeriksaan dubur dan seumpamanya).

Begitu juga dengan skop, dalam kes anda ia lazimnya merujuk kepada kolonoskopi iaitu memasukkan alat berkamera melalui dubur untuk melihat secara langsung keadaan atau penyakit yang terdapat pada permukaan dalam saluran usus besar.

Jika pendarahan terbabit berwarna merah dan sememangnya daripada dubur, doktor dapat mengesan lokasinya serta jenis penyakit itu. Jika anda mengalami buasir saja, pendarahan terbabit boleh dihentikan secara mengikat buasir berkenaan yang boleh dilakukan di klinik.

Pada masa sama, beberapa panduan pemakanan, minuman, aktiviti bertekanan abdomen dan ubat buasir juga diberikan untuk memperbaiki perjalanan aliran darah saluran vena yang berkait rapat dengan buasir.

Tetapi apakah benar anda cuma mengalami buasir saja dan tidak penyakit usus yang lain? Anda disarankan menjalani prosedur kolonoskopi ini.

Anda juga perlu mengetahui tahap kesihatan am anda sekarang. Dengan simptom anemia yang anda alami, eloklah anda berjumpa doktor pakar. Anda bernasib baik kerana belum pengsan, ia boleh mencederakan anda nanti. Ubat pil penambah darah pula bertindak lebih lambat.

Berdasarkan paras hemoglobin dan simptom anemia serta keperluan atau berapa segera untuk menaikkan semula paras hemoglobin, doktor akan menasihatkan kaedah yang sesuai contohnya kemasukan darah atau suntikan zat besi atau sekadar pil zat besi saja.

Menjalani ujian darah lanjutan bagi mengetahui jenis anemia yang dialami kerana ia dapat menjurus kepada penyebab anemia itu. Selain mengambil pil zat besi, eloklah juga anda mengambil vitamin C bagi meningkatkan penyerapan zat besi daripada saluran usus serta menjaga pemakanan berkhasiat.

Aktiviti fizikal eloklah dihadkan bagi menjimatkan penggunaan oksigen yang kurang diedarkan di dalam badan anda kerana kekurangan pembawanya (sel darah merah atau hemoglobin). Usah dibiarkan keadaan anemia berterusan lebih lama kerana ia boleh melemahkan jantung anda.

Anda juga mungkin akan diminta menjalani pemeriksaan kesihatan am berkaitan anemia bagi mengesan kemungkinan terdapat juga penyakit lain yang turut menyebabkan anemia.

Imbasan pelvis dan abdomen boleh dilakukan untuk mengesan keadaan lain. Doktor anda mungkin tidak melakukan imbasan sebelum ini kerana imbasan sememangnya jarang dapat mengesan sebarang kelainan usus dalam kes pendarahan daripada dubur, prosedur kolonoskopi lebih sesuai.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan