SAYA baru habis berpantang anak ketiga yang dilahirkan secara pembedahan.
Kelahiran anak pertama dan kedua juga melalui pembedahan.
Semasa mengandungkan anak ketiga, uri saya berada di bawah iaitu di peringkat tiga dan empat. Selama dua bulan sebelum bersalin, saya sudah diarahkan supaya berehat di hospital.
Pada 5 Mac lalu, saya menjalani pembedahan pada minggu ke-37 dan semasa pembedahan doktor dapati uri saya melekat pada rahim dan sudah berakar hingga ke pankreas.
Pembedahan dilakukan tanpa membuang uri terbabit kerana doktor takut saya akan kehilangan banyak darah dan ia membabitkan sistem saluran kencing. Sehingga kini uri masih berada di dalam rahim saya.
Selepas pembedahan, doktor hanya memberi antibiotik untuk mencegah jangkitan selama dua minggu melalui titisan (drip). Tiga minggu selepas bersalin, saya melakukan ujian MRI dan keputusannya memang rahim masih belum mengecut dan uri masih melekat pada rahim. Uri berakar terlalu dalam.
Sehingga kini saya masih belum menerima sebarang panggilan daripada hospital kerajaan yang melakukan pembedahan selepas saya dibenarkan pulang.
Mengikut kata doktor, mereka akan menghubungi saya jika terdapat sebarang keputusan yang mereka akan buat. Apa yang merunsingkan saya adalah pendarahan tidak berlaku sehingga sekarang. Adakah ini bermakna rahim saya masih belum kecut lagi walaupun sudah habis pantang?
Mengikut doktor, buat masa ini mereka mahu uri terbabit mengecut sendiri tanpa sebarang ubat-ubatan. Berapa lama harus saya menanti sehingga uri terbabit mengecut?
Bagaimana kita boleh mengetahui bila rahim akan mengecut kerana dari hari pertama sehingga kini tiada darah yang keluar? Adakah tertinggal uri selepas bersalin dianggap perkara biasa?
IDA
Ampang, Selangor
ANDA mungkin sebenarnya mengalami keadaan plasenta percreta yang mana uri bukan saja berada di bahagian bawah tetapi juga sudah berakar menembusi keseluruhan dinding rahim dan mungkin memasuki pundi kencing.
Ini boleh menjadi risiko bagi wanita yang kehamilan terkininya mengalami uri bawah (plasenta previa) dan pernah menjalani pembedahan Caesarean sebelum ini. Pankreas adalah organ yang terletak jauh di atas kawasan abdomen (berhampiran hati dan gaster atau perut).
Anda dinasihatkan bertanyakan kembali kepada pihak hospital mengenai keadaan sebenar dengan jelas. Berkemungkinan di dalam drip yang diberikan itu mengandungi ubat tertentu misalnya ubat kemoterapi methotrexate yang lazimnya digunakan dalam keadaan seperti anda.
Mungkin juga sebahagian besar uri sudah dikeluarkan memandangkan nifas anda juga sudah berhenti, anda boleh mendapatkan ukuran uri yang masih tertinggal sebagai panduan.
Sekiranya pihak hospital tidak memberikan uri untuk dibawa balik (dan ditanam bagi masyarakat Melayu), berkemungkinan keseluruhan uri masih ada di dalam rahim ataupun ia sudah dihantar untuk ujian makmal. Maklumat mengenai jenis potongan yang dilakukan contohnya jenis klasikal boleh memberi gambaran mengenai keterukan keadaan plasenta percreta anda sehingga doktor terpaksa mengelakkan potongan segmen bawah.
Usah bimbang, kes seperti anda lazimnya mendapat perhatian khas pakar perunding di hospital terbabit. Eloklah anda semak semula dengan pihak hospital.
Lazimnya lawatan susulan kes pembedahan Caesarean akan diberikan pada minggu keenam selepas bersalin, bagi kes anda lebih awal atau kerap. Penilaian ke atas tahap kesihatan anda, paras hemoglobin darah, saiz rahim, saiz uri yang masih tertinggal dan ujian darah akan dilakukan.
Plasenta percreta adalah keadaan yang digeruni oleh doktor kerana ia boleh menyebabkan keadaan tumpah darah dan menggugat nyawa ibu serta kandungannya.
Anda dan bayi bernasib baik kerana selamat, saya pasti doktor yang menjalankan pembedahan anda sudah menjalankan tugas dengan cekap.
Anda tidak menyatakan sama ada kedua-dua tiub fallopio anda sudah diikat kerana dalam keadaan sebegini (tiga kali menjalani pembedahan dan komplikasi plasenta percreta), kehamilan seterusnya memberikan risiko berganda lebih tinggi.
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan