Rawatan dan Pencegahan
Langkah yang terbaik bagi wanita ialah mencegah setelah mengetahui punca atau faktor-faktor yang mungkin menyebabkannya. Di antara langkah-langkah tersebut ialah:
- Jaga kesihatan dan kawal berat badan
Kegemukan adalah salah satu faktor yang bukan sahaja menjadi satu gangguan terhadap kecantikan seseorang wanita, malah ia mempunyai banyak kesan-kesan yang buruk terhadap wanita seperti menyebabkan masalah prolapse di kemudian hari. Oleh itu eloklah jaga berat badan dengan mengawal makanan dan membuat senaman.
- Amalan senaman
Amalan untuk menguatkan otot perut dan lantai punggung ketika hamil dan selepas bersalin belum menjadi satu amalan harian di kalangan wanita-wanita Malaysia. Tetapi tabiat ini sering dilakukan oleh wanita-wanita Barat khususnya mereka yang terpelajar. Banyak video-video yang memberi panduan tentang kaedah senaman ini terdapat di pasaran. Panduan untuk melakukan senaman atau gerak tubuh khas untuk otot lantai punggung juga boleh dipelajari daripada pakar physiotherapist atau jurupulih anggota di hospital atau klinik swasta.
Ini sangat penting kerana jika ia dilakukan pada waktu hamil dan selepas bersalin, pemulihan pada bentuk badan kepada tubuh badan yang asal seperti sebelum hamil akan dapat dicapai dan ia boleh mencegah masalah kegemukan, kekenduran otot perut dan lain-lain gangguan yang dikaitkan dengan prolapse rahim. Gerak tubuh ini boleh dilakukan sejurus selepas bersalin, tidak perlu menunggu selepas pantang. Malah dalam pantang adalah waktu yang tepat untuk mencapai pemulihan yang terbaik dengan menentukan makanan yang seimbang, berkhasiat, melakukan penyusuan bayi serta melakukan senaman yang tertentu.
- Senaman kemut atau 'grip'
Senaman untuk mengemut atau grip adalah bertujuan untuk menguatkan otot lantai punggung, otot sekeliling faraj dan otot-otot yang mengawal perkencingan. Cara melakukannya ialah kita bayangkan seperti melakukan persetubuhan dan ketika itu kita mengemut atau mencengkam alat zakar suami. Jika dilakukan berulang kali untuk beberapa saat, misalnya dua tiga minit sekali dalam waktu pantang dan seterusnya menjadi satu tabiat dalam kehidupan seharian. Insya-Allah otot di sekeliling faraj akan menjadi lebih kuat seperti sedia kala.
Pembedahan
Berbagai jenis pembedahan yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah kekenduran faraj dan prolapse. Di antaranya ialah pembedahan untuk membuang rahim serta membetulkan saluran faraj atau vaginal repair (Vaginal Hysterectomy and Repair). Pembedahan ini dilakukan dalam kes-kes yang teruk 'prolapse'nya dan di kalangan wanita yang telah meningkat umur.
Tetapi bagi mereka yang lebih muda dan masih bercadang untuk meneruskan zuriatnya, kekenduran faraj boleh diatasi dengan pembedahan hanya untuk menguatkan atau membetulkan saluran faraj (vaginal repair). Ini pun hanya dilakukan jika lain-lain usaha seperti senaman atau 'physiotherapy' gagal.
Pembedahan juga kadangkala dilakukan ke atas wanita yang tidak dapat mengawal kencing. Biasanya ini dilakukan bersama dengan vaginal repair, tetapi kadangkala jika ini gagal dan masalah stress incontinence atau kencing yang tidak terkawal masih berlaku, pembedahan melalui perut atau di bahagian ari-ari mungkin perlu dilakukan untuk menjahit otot di permukaan pundi kencing.
Pembedahan adalah satu jalan terakhir jika usaha-usaha lain yang dilakukan menerusi senaman, kegunaan alat PSX atau kaedah rangsangan elektrik pada otot dan lantai punggung telah dibuktikan gagal.
Kegunaan Pessary
Bagi wanita yang berumur dan mengalami masalah prolapse yang teruk dan tidak sesuai menjalani pembedahan khususnya tidak sesuai menerima bius, maka cara yang lain ialah untuk menggunakan satu alat yang dimasukkan ke dalam faraj. Alat ini dinamakan 'Ring Pessary'. Alat ini boleh mencegah rahim daripada jatuh ke bawah. Wanita yang menggunakan pessary perlu menjaga kebersihan faraj untuk mencegah jangkitan kuman, biasanya pemeriksaan perlu dilakukan antara tiga hingga enam bulan sekali.
(Sumber Internet)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan