Label

HAID TIDAK TERATUR ENAM BULAN SEKALI (SAKIT PUAN)

SAYA mengalami masalah haid sebelum kahwin lagi. Haid saya tidak teratur dan mengambil masa paling lama enam bulan sekali. Sekarang saya mempunyai tiga orang anak dan masih mengalami masalah yang sama.

Saya tidak pernah membuat pemeriksaan mengenai masalah saya ini, tapi menurut keputusan pap smear, saya tiada sebarang masalah dalaman. Namun, masalah jarang haid saya masih berterusan hingga sekarang.

Saya pernah mengambil suntikan perancang kehamilan selepas melahirkan anak pertama, kemudian saya berhenti mengambil suntikan terbabit. Selepas hamil anak kedua, saya mengambil pil perancang Noriday, namun tidak mengamalkannya mengikut jadual. Sepanjang kehamilan sehingga anak ketiga, saya tidak mengambil apa-apa pil atau suntikan perancang kehamilan sehingga sekarang.

Diharap doktor dapat membantu saya kerana saya merancang untuk hamil sekali lagi.

SAFIYYAH
Tg Kidurong, Bintulu, Sarawak

ANDA tidak memberi maklumat lanjut mengenai beberapa perkara:

- Usia anak bongsu anda.
- Usia anda kini.
- Sama ada anda juga mempunyai masalah lambat atau sukar hamil untuk tiga kandungan sebelum ini.

Sekiranya sebelum ini anda boleh hamil dalam masa enam bulan merancang atau bersedia walaupun mengalami gangguan haid sejak sebelum berkahwin lagi, besar kemungkinan anda juga tidak mempunyai masalah untuk hamil walaupun dalam kes lain, wanita yang mempunyai haid yang jarang-jarang mempunyai gangguan kesuburan ovari iaitu masalah ketiadaan ovulasi.

Satu lagi perkara yang anda perlu faham adalah mengenai ujian pap smear. Ujian pap smear bukanlah ujian kesuburan. Pap smear dilakukan untuk mengesan penyakit pada serviks (pintu rahim) kerana cara ini dapat mengelakkan wanita daripada mengalami kanser serviks.

Selain itu, ia boleh juga mengesan sekiranya pada masa yang sama terdapat jangkitan kuman pada serviks, itu sahaja. Pap smear tidak dapat mengesan masalah dalaman berkaitan kesuburan. Eloklah anda berjumpa pakar sakit puan berdekatan untuk mendapatkan pemeriksaan kesuburan dan ujian seperti ultrabunyi trans-vaginal ke atas rahim, dinding terdalam rahim (endometrium) serta ovari, ujian tiub fallopio (secara sinaran x ataupun pembedahan laparoskopi), ujian profil hormon tertentu mengikut keperluan dan seumpamanya.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan