Label

KE MANA PERGI DARAH KOTOR? (SAKIT PUAN)

Soalan

SAYA baru berusia 28 tahun. Pada 2009 lalu saya telah melahirkan anak yang sulung dan saya mengalami masalah pendarahan yang teruk selepas proses bersalin. Doktor memberitahu bahawa rahim saya terpaksa dibuang kerana rahim tidak kecut setelah berbagai usaha dijalankan. Menurut doktor, saya cuma tidak akan datang haid dan tidak boleh beranak kerana kilang telur saya tidak dibuang. Di sini saya mempunyai dua soalan iaitu:

1. Jika wanita yang normal, mereka akan mengalami haid sekiranya telur tidak disenyawakan di mana darah yang terkumpul di dinding rahim akan gugur sebagai haid. Dalam kes seperti saya, ke mana telur yang tidak disenyawakan itu akan pergi?

2. Adakah saya akan mengalami masalah hormon dalam masa yang terdekat? Atau adakah ia akan menjejaskan hubungan intim bersama suami?

Di harap Doktor dapat bantu saya untuk menjawab persoalan saya ini. Terima kasih.

Jawapan

SAYA sungguh simpati dengan situasi saudari yang terpaksa dibuang rahim dalam umur muda dan hanya punyai seorang anak. Tetapi itu dilakukan demi untuk menyelamatkan nyawa anda. Alhamdulillah anda masih dipanjangkan umur oleh Allah dan anda dan suami perlu banyak redha kepada Allah SWT.

1. Darah haid terbentuk hanya jika pendarahan berlaku dari dalam rahim disebabkan penurunan tahap hormon progesterone ekoran kegagalan untuk hamil pada pusingan bulan berkenaan. Dipanggil darah haid atau 'darah kotor' kerana ia bercampur dengan lapisan/dinding rahim iaitu endometrium. Tisu-tisu ini akan hancur berkecai dari tindakan berbagai enzim dan keluar dari pintu rahim ke dalam faraj/vagina di mana ia dikotori dengan berbagai kuman bakteria dan virus. Campuran inilah yang menjadikan darah kotor.

Untuk diri anda, darah kotor tidak terbentuk langsung kerana rahim tidak wujud lagi, darah hanya lalu sahaja di bahagian peranakan tanpa keluar ke dalam faraj.

Sel-sel telur seperti sel-sel sperma lelaki jika tidak disenyawakan akan mati dalam masa 2-3 hari dan sel-sel telur tersebut akan ditelan oleh sel-sel penyapu (phagocytes).

2. Anda tidak akan mengalami masalah kurang hormon kerana biasanya dalam pembedahan ini, kedua-dua kilang telur akan dikekalkan dan ia menjadi sumber hormon wanita. Walaupun tiada haid, anda tidak lagi menopaus (umur menopaus biasanya 50 tahun). Kejelitaan dan ciri-ciri kewanitaan tidak terjejas langsung. Anda akan terus mempunyai daya tarikan dan suami tidak akan merasai perubahan fizikal ketika melakukan hubungan kelamin. Hanya dari segi sikologi, suami mungkin terganggu mentalnya memikirkan apa jadi dengan ruang yang dulunya dipenuhi rahim. Sebenarnya ruang itu tidak kosong, usus dan lemak akan mengisi ruang itu.

Walaupun rahim dibuang, tapi pangkal rahim (serviks) masih kekal dan di sinilah tertumpunya saraf-saraf seksual. Oleh itu kenikmatan tidak mungkin berubah, dan anda akan merasai klimaks seperti biasa.

(Sumber Internet)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan