SAYA berusia 31 tahun dan mempunyai tiga anak lelaki. Ketiga-tiganya bersalin secara caesarean.
Ketika bersalin anak ketiga, doktor di hospital menyuruh saya mengikat supaya tidak hamil dan bersalin lagi kerana sudah tiga kali melakukan caesarean.
Saya ingin tahu sama ada saya boleh hamil lagi kerana saya inginkan anak perempuan.
Harap doktor dapat memberi pandangan.
SHIMA
Pulau Pinang
JIKA anda sudahpun menjalani prosedur 'mengikat' tiub fallopio itu dan ingin hamil semula, kaedah yang paling sesuai ialah secara rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) saja.
Sekiranya anda ingin mencuba kaedah pembedahan menyambung kembali tiub fallopio anda, ia bergantung kepada jenis atau teknik 'mengikat' yang dilakukan dahulu misalnya sama ada secara klip atau membuang fimbria dan seumpamanya kerana ia memberi kesan kepada panjang tiub serta rupa atau struktur tiub yang masih tinggal jika masih ada.
Itupun, anda perlu faham mengenai risiko kehamilan ektopik akibat perubahan struktur atau kesan trauma yang dialami tiub itu dahulu serta akibat kesan pembedahan menyambung tiub.
Saya pasti doktor anda sudah berbincang lanjut mengenai keperluan mengikat tiub fallopio sebelum mendapatkan persetujuan anda. Ini termasuk maklumat mengenai keadaan rahim anda serta keterukan perlekatan dalaman sama ada membabitkan usus atau pundi kencing dan seumpamanya serta mengenai risiko rahim koyak dalam kandungan akan datang sehingga menyebabkan pendarahan berlebihan dalam tempoh yang sangat singkat.
Jika anda kurang pasti, eloklah anda berjumpa doktor di hospital tempat pembedahan caesarean terakhir dilakukan untuk mendapatkan maklumat atau penjelasan berdasarkan rekod pembedahan anda dahulu.
Anda juga harus faham mengenai peluang anda untuk mendapatkan anak perempuan sebenarnya hampir sama dengan peluang mendapatkan anak lelaki kecuali menggunakan teknik PGS (pre-implantation screening) yang hanya dapat dilakukan dalam IVF.
Bagaimanapun, teknik PGS yang bertujuan menentukan jantina embrio tidak dibenarkan kerana dikhuatiri nasib atau masa depan embrio jantina yang tidak diingini itu.
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan