JENIS-JENIS GANGGUAN HAID
Seperti keadaan dalam tubuh manusia yang lain, haid juga boleh tergangguan. Jenis-jenis gangguannya ialah:
1. Berbagai jenis gangguan pada pusingan haid.
2. Berapa banyaknya darah haid yang keluar.
3. Jangka waktu haid yang berpanjangan.
4. Pendarahan di luar waktu haid, seperti selepas persetubuhan.
5. Kesakitan sebelum, semasa atau selepas haid.
6. Kelewatan datang haid.
7. Putus haid.
Gangguan haid berlaku oleh kerana berbagai-bagai punca seperti tekanan jiwa dan emosi, keadaan hormon yang tidak seimbang, kehamilan, penyusuan bayi, kegunaan hormon, penyakit dalam kelenjar pituitary atau ovary atau ketumbuhan seperti barah dalam rahim atau pangkal rahim.
Kenapakah kelewatan haid berlaku di kalangan anak perempuan?
Biasanya seseorang gadis akan mengalami haid pada umur 12 tahun sehingga usia gadis itu 16 tahun. Di dalam jangkamasa ini ia masih dianggap normal. Jika usianya 16 tahun dan masih belum datang haid, ia perlu mendapat perhatian daripada doktor. Kegagalan turun haid ini mungkin berpunca daripada fungsi ovari atau kilang pituitary yang tidak normal. Kelewatan akil baligh mungkin disebabkan oleh kecacatan pada faraj atau perkakas peranakan sejak lahir. Kadang-kala berlaku di mana selaput dara menutupi keseluruhan lubang faraj (imperforate hymen). Dalam keadaan ini gadis tersebut mungkin mengalami sakit perut setiap bulan tetapi haid tidak keluar.
Faktor lain yang boleh mempengaruhi keadaan ini ialah taraf kesihatan yang kurang baik dan masalah tekanan jiwa dan emosi yang teruk.
Apakah yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah?
Langkah pertama ialah mengenalpasti punca kelewatan haid. Tanda-tanda seperti pertumbuhan buah dada, dan rambut di kemaluan dan ketiak menunjukkan tanda pengeluaran oestrogen. Pemeriksaan tubuh dan perkakas peranakan adalah penting untuk mengesan kecacatan semula jadi, ujian ultrasound pada perut untuk mengesan ada atau tidak rahim dan ovari. Ujian darah untuk menyukat paras hormon adalah penting untuk mengenal pasti punca masalah.
Rawatan bergantung kepada punca masalah. Pembedahan kecil perlu dilakukan untuk membuka selaput dara jika ia tertutup. Jika faraj tidak wujud, pembedahan untuk membentuk 'artificial vagina' dilakukan. Rawatan hormon diberikan jika puncanya ialah kecacatan pada kilang pituitary atau ovari.
Haid tidak teratur!
PUSINGAN HAID YANG TIDAK TERATUR, IALAH PUSINGAN YANG KURANG DARIPADA 25 HARI ATAU LEBIH DARIPADA 35 HARI. INI DIANGGAP TIDAK TERATUR, ADA SESETENGAH WANITA HAIDNYA DATANG DUA ATAU TIGA BULAN SEKALI. KEADAAN INI SERING BERLAKU DI KALANGAN ANAK GADIS YANG BARU MASUK KE ALAM REMAJA ATAU WANITA YANG HAMPIR PUTUS HAID. KEADAAN INI BUKANLAH SATU PENYAKIT TETAPI HANYA DISEBABKAN OLEH GANGGUAN HORMON. WANITA YANG MENGALAMI MASALAH INI ADALAH KURANG SUBUR KERANA IA KURANG MENGELUARKAN BENIH.
Punca terjadinya gangguan haid
Kegemukkan (obesity) merupakan punca penting yang menyebabkan pusingan haid menjadi terlambat atau jaraknya yang berpanjangan, mungkin jarak 6-9 bulan atau lebih di antara satu sama lain. Keadaan ini sering dikaitkan dengan ketidaksuburan. Ada di kalangan mereka yang tumbuh rambut pada kaki atau misai. Apabila dilakukan vaginal ultrasound kedua ovari mereka didapati bengkak dan tidak menetas ke dalam rahim (Polycystic ovary).
Bagi seseorang yang perjalanan haidnya tetap dan teratur, jika beliau mengalami gangguan pada pusingan haidnya bermakna sesuatu perkara sedang berlaku. Salah satu puncanya ialah kehamilan. Apabila kehamilan terjadi haid dengan sendirinya akan berhenti. Wanita yang menyusukan anak juga mendapati perjalanan haidnya terganggu. Ketika penyusuan bayi, hormon susu (Prolactin) meningkat dalam aliran darah ibu. Hormon ini menghalang penetasan telur berlaku dan menghentikan kitaran haid.
Peningkatan paras hormon susu (prolactin) juga boleh disebabkan oleh ketumbuhan dalam kelenjar pituitary menyebabkan haid tidak datang atau datang sekali-sekala sahaja. Wanita demikian juga sering kurang subur. Gangguan hormon mungkin juga boleh berpunca dari ketumbuhan dalam kelenjar ovari. Ketegangan rohani atau tekanan jasmani seperti kesedihan oleh sebab kematian ibu bapa atau yang lainnya, boleh juga melambatkan kedatangan haid.
Punca-punca haid berlebihan dan berpanjangan
1. Ketumbuhan bukan kanser. Wanita yang mengalami keluaran darah haid yang berlebihan atau berpanjangan daripada biasa, tandanya ada penyakit, khususnya jika keluaran darah haid yang banyak disertai dengan senggugut. Gangguan haid seperti ini melibatkan wanita dalam usia 30 hingga 50 tahun ke atas, mungkin menandakan sesuatu penyakit tumbuhan bukan kanser pada pangkal rahim seperti 'cervical polyp' atau dalam rahim seperti 'fibroid' atau 'Adenomyosis'. Cervical polyp adalah daging sangat kecil berwarna merah berbentuk bulat yang tumbuh di merata-rata tempat. Fibroid ialah ketumbuhan yang teksturnya kelihatan seperti sabut kelapa apabila dikupas. Ia boleh membesar dengan banyak jika dibiarkan.
2. Kanser Pangkal Rahim. Apa yang lebih menakutkan lagi ialah ketumbuhan kanser rahim atau pangkal rahim. Ia boleh menyebabkan pendarahan berpanjangan keluar dari faraj.
3. Penggunaan alat perancang keluarga. Wanita yang menggunakan alat dalam rahim (IUD-Intra-Uterin Device) juga boleh mengalami masalah pendarahan yang berpanjangan dan berlebihan. Mereka yang menggunakan kaedah suntikan atau 'implant' hormon sebagai cara mencegah kehamilan kadang kala mengalami masalah pendarahan bersifat sedikit demi sedikit tetapi berpanjangan.
4. Kehamilan luarbiasa. Keadaan ini mungkin juga menandakan kandungan yang terancam nak gugur (Threatened abortion), keguguran, kandungan anggur (molar pregnancy), kehamilan di luar rahim.
Jenis-jenis pendarahan luarbiasa:
1. Pendarahan boleh berlaku pada pertengahan pusingan haid (intermenstrual bleeding), sebelum haid (premenstrual staining) atau selepas haid (postmenstrual staining) dan ini mungkin sedikit sahaja dan tidak memerlukan tuala wanita. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh masalah ketidakseimbangan hormon atau mungkin juga disebabkan oleh tekanan jiwa atau emosi. Wanita yang mengamalkan kaedah cegah hamil yang mengandungi hormon seperti pil perancang boleh mengalami masalah seperti ini. Begitu juga dengan penggunaan ubat hormon untuk rawatan penyakit pada anggota peranakan. Ia juga mungkin menandakan sejenis ketumbuhan atau jangkitan kuman pada kemaluan dan anggota peranakan. Setiap wanita yang mengalami pendarahan yang luar biasa dan tidak tentu masa perlu mendapatkan nasihat dan pemeriksaan dari doktor.
2. Pendarahan selepas persetubuhan. Ini adalah satu tanda yang merbahaya kerana ia mungkin menandakan penyakit kanser pangkal rahim khususnya jika ia berlaku pada wanita dalam lingkungan umur 30-an dan telah berkahwin dan telah pun mendapat anak. Pendarahan selepas persetubuhan juga mungkin disebabkan oleh penyakit lain yang bukan kanser seperti luka pada pangkal rahim (cervical erosion), ketumbuhan bukan kanser atau jangkitan kuman. Pemeriksaan daripada doktor khususnya ujian 'pap smear' adalah sangat penting.
3. Pendarahan lepas putus haid. Tidak semua pendarahan seperti ini disebabkan oleh kanser. Pendarahan ini mungkin disebabkan oleh suatu keadaan dalam faraj yang kekeringan iaitu 'atrophic vaginitis' iaitu satu keadaan yang disebabkan oleh kekurangan hormon oestrogen. Ia tidak merbahaya dan boleh dirawat dengan ubat hormon oestrogen.
(Sumber Internet)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan