SAYA adalah bekas pesakit tiroid. Tiroid itu dikesan pada 2001. Saya dapat rasakan ada satu bonjolan pada leher saya kira-kira sebesar buah rambutan. Ia tidak sakit mahupun gatal, tetapi sesekali bila saya menelan air liur bonjolan itu kelihatan naik turun tak ubah seperti seseorang lelaki mempunyai halkum.
Saya sangat malu ketika itu lantas memberitahu ibu dan dia membawa saya berjumpa doktor.
Doktor mengambil darah dan saya disahkan menghidap tiroid.
Setelah beberapa kali berulang ke hospital, akhirnya pada hujung 2002 saya berjaya membuat pembedahan membuang tiroid. Akibat pembedahan itu, leher saya meninggalkan kesan parut kecil.
Saya tidak kisah mengenai parut itu tetapi saya sangat risau bila mendengar kawan bercakap mengenai orang yang mempunyai penyakit tiroid akan memberi kesan terhadap anak dalam kandungan dan sukar hamil.
Saya baru mendirikan rumah tanga pada Februari 2010. Sebelum ini, saya dan suami memang merancang atas sebab ekonomi. Tetapi sekarang perkahwinan kami sudah genap setahun dan kami sudah bersedia untuk kehadiran cahaya mata.
Adakah benar bekas pesakit tiroid akan memberi kesan sampingan kepada bayi? Saya juga risau kerana haid tidak teratur. Haid saya datang setiap bulan tetapi bukan pada tarikh yang tetap. Saya juga pernah didatangi haid sedikit-sedikit hingga berlarutan lebih 15 hari.
Doktor mengatakan ia hanya hormon kerana saya baru berumahtangga. Tetapi kitaran haid tidak teratur ini berlaku sebelum saya berkahwin lagi. Saya juga mengalami senggugut jika tidak mengambil ubat.
Jika saya makan ubat sakit senggugut berkurangan sedikit. Ubat itu adalah minyak evening primrose (EPO). Jika hamil, adakah saya boleh meneruskan pengambilan EPO ini?
MARIA
Alor Setar, Kedah
ANDA perlu memastikan jenis penyakit tiroid yang anda alami serta tahap hormon tiroid anda iaitu berlebihan, kekurangan atau normal. Pembengkakan kelenjar tiroid tidak semestinya bermakna paras hormon tiroid juga tidak normal.
Anda juga tidak menyatakan sama ada kelenjar tiroid anda dibuang keseluruhannya ataupun masih tinggal sebahagian atau sebelah.
Sekiranya anda tidak diberikan sebarang pil terapi gantian tiroksin, besar kemungkinan anda masih mempunyai sebahagian lagi kelenjar tiroid. Pil gantian ini lazimnya diberikan untuk selamanya bagi mereka yang sudah menjalani pembedahan membuang keseluruhan kelenjar tiroid.
Lakukan ujian darah profil hormon tiroid. Berlebihan atau sebaliknya kekurangan hormon tiroid boleh memberikan kesan negatif kepada kandungan anda.
Gangguan kitaran haid mungkin ada kaitan dengan keabnormalan hormon tiroid (jika ada) ataupun masalah lain. Memandangkan anda sudah setahun berkahwin dan bersedia untuk hamil, eloklah anda berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan dan ujian asas.
Anda menyatakan keperluan anda mengambil pil EPO bagi mengurangkan senggugut yang dialami. Apabila anda hamil kelak, pasti senggugut tidak lagi dialami sepanjang kehamilan memandangkan haid juga tiada, maka keperluan pil terbabit bagi tujuan itu sewaktu kehamilan tidak berasas.
Walaupun pil EPO secara amnya selamat diambil sewaktu kehamilan, eloklah anda mendapatkan pandangan doktor anda terlebih dahulu.
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan