Label

DINDING RAHIM ADA KELAINAN (SAKIT PUAN)

SAYA sudah berkahwin selama sembilan tahun. Saya pernah gugur dua kali disebabkan rahim saya tidak kuat.

Kali terakhir keguguran, saya pergi ke hospital untuk memcuci rahim saya. Disebabkan kelalaian doktor yang merawat saya, doktor terbabit tersalah cuci. Justeru, selepas dua minggu saya masih lagi berasa sakit di sekitar rahim.

Disebabkan kesakitan, saya dan suami pergi semula untuk mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

Apabila melakukan imbasan, sekali lagi doktor dapati masih ada ketulan darah di dalam rahim saya. Doktor pakar sakit puan di hospital terbabit melakukan pelbagai cara untuk mengesan kedudukan ketulan darah terbabit. Oleh kerana kos yang terlalu tinggi, saya memohon untuk bertukar ke hospital lain.

Saya dirawat di hospital lain dan ketulan di dalam rahim saya juga sudah dibuang. Saya diberitahu pakar di hospital terbabit, rahim saya ada dua bahagian seperti ada dinding di tengah-tengah rahim saya.

Selepas dibuang dinding pembahagi terbabit, pengeluaran darah haid saya berkurangan berbanding sebelumnya iaitu daripada tujuh hari kepada empat hari.

Saya juga sukar untuk hamil. Saya ada merujuk pakar di hospital berkenaan dan dimaklumkan, saya boleh hamil tapi saya masih belum hamil selepas menanti selama tiga tahun.

Harap doktor dapat memberi pandangan.

ZE
Kuala Lumpur

ANDA mengalami keadaan yang dinamakan septum intra-uterus iaitu sejenis kelainan yang tergolong dalam kumpulan Anomali Duktus Mullerian.

Sewaktu janin dahulu, proses pembentukan rahim anda tidak sempurna sehingga masih terdapat dinding sekatan (septum) di tengah-tengah rahim sedangkan sepatutnya septum ini pupus pada peringkat akhir pembentukan sistem duktus Mullerian seseorang janin perempuan.

Duktus Mullerian asalnya organ berikut tiup fallopio, rahim (uterus), pintu rahim (serviks) dan sebahagian (dua pertiga daripada panjang) faraj.

Sebenarnya terdapat beberapa jenis keadaan lain yang juga termasuk dalam kumpulan anomali atau disgenesis duktus Mullerian, bergantung kepada peringkat atau tahap berlakunya sekatan proses pertumbuhan duktus Mullerian terbabit.

Contohnya bagi rahim ialah ketiadaan rahim (aplasia atau agenesis uterus), rahim sebelah saja (unicornuate uterus), dua rahim (didelphy uterus), rahim bertanduk (bikornu uterus) dan septum uterus.

Bagi keadaan septum uterus (seperti keadaan anda), ia juga boleh pelbagai iaitu ada septum atau dinding yang sedikit saja dan ada juga septum yang memisahkan keseluruhan panjang ruang rahim terbabit dan seumpamanya.

Wanita yang mempunyai septum uterus seperti anda juga mempunyai risiko keguguran yang lebih tinggi disebabkan bentuk ruang rahim (ruang tempat kandungan) yang tidak normal.

Jika kandungan berjaya membesar sehingga ke peringkat kelahiran pula, kedudukan janin juga lebih berkemungkinan tidak normal iaitu songsang atau melintang. Dalam kes keguguran juga ada kemungkinan doktor tidak berjaya mengeluarkan sisa kandungan (melalui prosedur cuci atau D&C) sekiranya alat cuci terbabit termasuk ke dalam ruang yang salah. Ini kerana proses D&C yang lazim bukanlah dapat disaksikan dengan mata kasar mengenai keadaan dalam rahim itu.

Saya jangka anda sebenarnya menjalani prosedur pembedahan secara histeroskopi untuk memotong septum rahim anda. Melalui kaedah ini, doktor dapat melihat keadaan dalam ruang rahim anda menggunakan kamera khas (histeroskop) yang disalurkan ke dalam ruang rahim dan imejnya dipancarkan ke paparan monitor.

Lazimnya salur histeroskop yang digunakan bersaiz besar (11 milimeter) untuk turut memuatkan alat memotong yang sesuai. Kesukaran membuatnya bergantung kepada saiz (panjang dan ketebalan) septum atau dinding terbabit.

Pada masa sama, doktor anda juga mungkin turut melakukan prosedur teropong melalui pusat (laparoskopi) untuk melihat rupa luaran rahim anda dan yang lebih penting ialah keadaan tiub fallopio anda bagi memastikan ia tidak mempunyai masalah berkaitan anomali duktus Mullerian. Ovari pula langsung tidak terbabit dalam masalah ini dan sepatutnya kelihatan normal.

Anda juga dinasihatkan menjalani ujian tambahan ke atas sistem saluran kencing anda. Dalam keadaan disgenesis duktus Mullerian, boleh juga berlaku kelainan pembentukan sistem saluran kencing misalnya buah pinggang, salut ureter dan seumpamanya. Ini boleh disahkan semudah ujian sinaran-x jenis intra-venous urografi (IVU).

Memandangkan anda kini masih juga belum hamil, eloklah anda menjalani pemeriksaan pakar semula. Mungkin doktor akan mencadangkan ujian mudah secara sinaran-X (HSG) bagi melihat laluan dalam rahim dan dalam tiub fallopio. Pemeriksaan lain yang berkait dengan kesuburan juga boleh dilakukan atau diulangi.

(Sumber Haria Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan