TAHUN lalu saya hamil, tetapi semasa kandungan berusia lima bulan, saya terkena plasenta previa jenis 3.
Apabila cukup sembilan bulan, bayi saya meninggal dunia. Sekiranya saya hamil lagi, adakah saya akan menghadapi plasenta previa ini lagi?
RUGAYAH
Kuala Lumpur
PLASENTA previa ialah suatu keadaan yang mana plasenta (uri yang melekat pada dinding rahim) terletak sebahagiannya ataupun keseluruhannya pada segmen bawah pada dinding rahim itu.
Plasenta previa 3 juga daripada jenis major iaitu ia menutupi pintu rahim. Maka cara kelahiran hanyalah secara pembedahan Caesarean kecuali jika berlaku pendarahan banyak. Ini disebabkan plasenta sudah pun lekang dari dinding rahim (dan janin lazimnya tidak dapat diselamatkan lagi akibat ketiadaan bekalan darah serta ibu juga mengalami pendarahan yang banyak) dan keluar dahulu sebelum bayi dilahirkan.
Anda tidak memberitahu lebih mendalam mengenai keadaan kehamilan anda dahulu. Adakah anda juga mengalami penyakit darah tinggi, pendarahan berlebihan, plasenta accreta dan seumpamanya? Begitu juga dengan kematian bayi, adakah ia berlaku di dalam kandungan beberapa hari sebelum dilahirkan ataupun sekitar waktu pembedahan Caesarean?
Ini kerana plasenta previa, lebih-lebih lagi dalam kehamilan pertama, juga mempunyai kaitan risiko dengan penyakit darah tinggi kehamilan (pre-eklampsia). Dalam keadaan plasenta previa yang tidak mempunyai komplikasi berkaitan, lazimnya kelahiran dijadualkan secara pembedahan Caesarean sewaktu kandungan berusia sembilan bulan (38 minggu iaitu dua minggu sebelum tarikh jangkaan bersalin).
Tetapi dalam keadaan plasenta previa yang mempunyai komplikasi lain, kelahiran mungkin dipercepatkan kepada satu hingga dua minggu lebih awal lagi iaitu sekitar 36 hingga 37 minggu. Kemungkinan komplikasi yang anda alami (jika ada) muncul pada penghujung sembilan bulan terbabit tanpa jangkaan awal.
Wanita yang pernah mengalami plasenta previa (dan juga menjalani pembedahan Caesarean) perlu berbincang dengan doktor mengenai peningkatan risiko berikut:
- Risiko berkaitan pembedahan Caesarean sebelum ini.
- Risiko berkaitan plasenta previa.
- Risiko mengalami plasenta accreta (uri tertanam lebih dalam pada dinding rahim sehingga menembusi lapisan otot rahim).
- Risiko plasenta abruptio (uri lekang dari dinding rahim).
- Risiko pendarahan berlebihan dan kaitannya misalnya transfusi darah, pembedahan mengikat saluran arteri iliak interna, pembedahan membuang rahim (histerektomi).
Sebagai contoh, wanita yang pernah mengalami plasenta previa mempunyai peningkatan risiko sebanyak empat hingga sembilan kali ganda untuk mengalami plasenta previa dalam kandungan berikutnya.
Selain itu, wanita yang pernah menjalani sekali pembedahan Caesarean, didapati mempunyai peningkatan risiko sebanyak 50 peratus untuk mengalami plasenta accreta tetapi jika dia juga mempunyai plasenta previa dalam kandungan ini maka risiko mengalami plasenta accreta meningkat lebih tiga kali ganda.
Anda disarankan berbincang dengan lebih mendalam bersama doktor anda. Selain itu, eloklah anda mengambil suplemen vitamin untuk meningkatkan paras hemoglobin darah serta menjalani pemeriksaan kesihatan berkaitan termasuk pemeriksaan tekanan darah.
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan