Label

DUA TAHUN BELUM ADA ZURIAT (SAKIT PUAN)

SAYA mempunyai masalah mengenai kesuburan. Saya sudah berkahwin selama dua tahun dan masih belum dikurniakan zuriat.

Untuk pengetahuan doktor, selepas saya berkahwin, haid saya jadi tidak teratur. Pada mulanya saya fikirkan saya hamil, tetapi ujian kehamilan menunjukkan keputusan negatif.

Selain itu, saya juga mengalami masalah keputihan sehingga menjadi gatal dan berbau. Setahun selepas berkahwin, saya membuat rawatan dan Alhamdulillah, suami saya tidak mengalami sebarang masalah kesuburan.

Namun doktor mengesahkan saya mengalami masalah kedua-dua tiub fallopio tersumbat (bilateral hydrosalpinx). Untuk masalah itu, saya disarankan untuk melakukan rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) bagi mendapatkan zuriat.

Memandangkan kos rawatan yang agak mahal, kami mencuba ubat kampung. Tetapi sehingga kini sudah dua tahun haid saya masih tunggang langgang. Adakalanya lewat dan ada kalanya tidak datang.

Saya berharap doktor dapat memberikan pandangan untuk membolehkan kami mendapat zuriat.

Fiza
Kuala Lumpur

ANDA perlu faham mengenai keadaan anda yang sebenar.

Pertama, haid yang tidak teratur mungkin ada kaitan dengan gangguan kesuburan pada ovari iaitu ovari tidak mengeluarkan telur sama ada setiap bulan (anovulasi) ataupun dalam kebanyakan bulan (oligo-ovulasi).

Bagi masalah ini, ubat kesuburan boleh diberikan untuk merangsang ovari supaya pembesaran kantung telur dapat berlaku sehingga berjaya berlakunya ovulasi.

Terdapat dua pilihan ubat iaitu ubat pil mengandungi bahan clomiphene citrate yang dapat merangsang pembesaran beberapa telur, tetapi boleh memberikan kesan sampingan terhadap lapisan endometrium (implantasi) rahim. Ubat suntikan pula mengandungi bahan FSH yang mampu merangsang pembesaran telur dengan lebih kuat lagi serta tidak mempunyai kesan sampingan ke atas lapisan endometrium rahim, tetapi ia jauh lebih mahal.

Kedua, anda juga mempunyai masalah kesuburan pada tiub fallopio. Dalam keadaan tiub fallopio tersumbat, telur (apabila berjaya dikeluarkan oleh ovari) tidak dapat diambil masuk ke dalam tiub fallopio. Justeru, pertemuan dan persenyawaan telur oleh sperma juga tidak dapat berlaku. Itulah sebabnya doktor anda menasihatkan anda menjalani rawatan IVF.

Selain itu, bagi wanita yang mempunyai penyakit hydrosalpinx (tiub fallopio membengkak akibat pengumpulan cecair yang lazimnya mempunyai kuman), disarankan menjalani pembedahan menutup pangkal tiub fallopio atau membuang tiub fallopio itu sebelum menjalani rawatan IVF kerana hydrosalpinx menurunkan peluang kejayaan IVF sehingga 50 peratus lebih rendah berbanding wanita yang menjalani pembedahan terbabit.

Eloklah dipastikan terlebih dulu sama ada anda benar-benar mengalami keadaan hydrosalpinx ini. Selain itu, adakah benar kedua-dua tiub fallopio anda tersumbat sepenuhnya pada penghujung tiub itu? Ini kerana jika benar, tiada cara untuk telur diambil memasuki tiub fallopio anda.

Anda dan suami juga eloklah menjalani pemeriksaan lanjutan bagi mengesan kemungkinan penyakit lain. Anda juga mungkin sudah diberikan ubat antibiotik.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

1 ulasan:

  1. adakah wanita itu akan mengandung sekiranya dia terpegang kemaluannya dengan jari yg ada kesan air mani yg telah kering dan terdedah seperti selepas buang air kecil?

    BalasPadam