SAYA berumur 28 tahun dan suami 29 tahun. Kami sudah berkahwin kira-kira dua tahun dan belum dikurniakan zuriat.
Tetapi ia tidak memberi tekanan hebat buat saya dan pasangan kerana kami saling percaya bahawa zuriat sebagai rezeki-Nya.
Cuma saya ingin bertanya, setiap kali datang haid, saya akan mengalami senggugut yang teruk sejak di bangku sekolah dan ia berlanjutan sehingga sekarang.
Tetapi setelah berkahwin keadaan senggugut masih sakit cuma tidak seteruk seperti sebelum berkahwin.
Sebelum berkahwin, tempoh haid saya tidak menentu dan ada kalanya sehingga 20 hari, ada kalanya didatangi haid dua kali sebulan.
Saya juga dapati, setiap kali mengangkat barang berat, pada keesokannya keluar darah seperti darah haid, tetapi berwarna coklat.
Bahagian rahim saya juga mudah sakit seperti kekejangan menyebabkan saya perlu mencangkung sekiranya saya mengalami perkara itu dan ia berakhir beberapa minit kemudian. Saya juga pernah mengalami sakit di bahagian rahim sehingga tiga hari.
Saya pernah berjumpa dengan doktor sakit puan dan masalah seperti kekejangan itu tidak mendapat jawapan. Saya kemudian diberi ubat hormon provera bagi membetulkan tempoh haid. Kini haid saya sudah stabil, tetapi masalah sakit seperti kekejangan masih ada.
Adakah ini disebabkan keadaan rahim atau saya mengalami masalah lain sehingga melambatkan saya untuk hamil?
QALISH
Johor Bahru, Johor
SENGGUGUT teruk tidak semestinya berkait dengan kesuburan.
Bagaimanapun, eloklah ia diselidiki sekiranya terdapat penyakit, agar derita senggugut tidak berterusan sedemikian lama.
Sukar untuk memberitahu dengan pasti sama ada sakit yang dialami itu berpunca daripada rahim kerana organ lain seperti tiub fallopio, ovari, pundi kencing, usus dan ruang peritoneum juga berada berhampirannya, lebih-lebih lagi jika berlaku komplikasi perletakan sesama organ.
Senggugut yang dialami setelah haid keluar (hari pertama dan seterusnya) mungkin tiada penyakit dan hanya berkait dengan tumpahan darah haid di dalam rahim.
Bagaimanapun, senggugut yang bermula sebelum haid keluar mungkin ada kaitan dengan penyakit misalnya endometriosis.
Malah, senggugut ini boleh berterusan walaupun haid sudah berhenti.
Pada masa sama, haid yang tidak teratur juga boleh disebabkan oleh gangguan ovulasi yang akan mengganggu kesuburan.
Hormon yang diberikan bertujuan menggantikan kekurangan hormon progesteron dalam seseorang yang berlaku akibat ketiadaan ovulasi (pengeluaran telur) pada kitaran terbabit.
Eloklah anda mendapatkan pemeriksaan pakar sakit puan.
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan