SAYA sudah berkahwin selama empat tahun tetapi kini ketika melakukan hubungan seksual bersama suami, saya sering rasa sakit di bahagian ari-ari tetapi tiada pendarahan yang keluar.
Keputihan yang keluar semakin banyak dan kekuningan tetapi tidak berbau. Sebulan lalu, saya ada melakukan ujian air kencing dan doktor mengatakan air kencing saya kotor.
Setelah menjalani ujian sekali lagi, ia sudah normal. Jadi saya ingin tahu mengapa ketika melakukan hubungan seksual saya kerap rasa sakit walaupun sakit itu tidak kritikal?
Adakah itu tanda awal saya menghidap kanser serviks?
LILYANA
Taiping, Perak
SAYA syak ketiga-tiga masalah yang anda alami (sakit ketika hubungan seks, keputihan dan air kencing kotor) adalah berkaitan.
Besar kemungkinan anda mengalami jangkitan kuman yang memberi kesan pada permukaan dinding faraj dan mungkin juga serviks (pintu rahim). Kebimbangan anda mudah terjawab dengan menjalani pemeriksaan doktor.
Alat spekulum akan dimasukkan ke dalam faraj bagi membolehkan doktor melihat keseluruhan permukaan dinding faraj sehingga ke penghujung atasnya bagi menampakkan keseluruhan permukaan serviks luar (ektoserviks).
Seperti jangkitan kuman pada bahagian tekak yang mudah kita lihat, jangkitan kuman pada faraj boleh menyebabkan perubahan pada permukaan, contohnya kemerahan akibat peradangan malah luka melecet sehingga memberi kesakitan apabila disentuh misalnya sewaktu hubungan seks.
Doktor akan mengambil sampel keputihan ini untuk ujian makmal yang dinamakan 'kultur dan sensitiviti', keputusannya dapat diketahui dalam masa beberapa hari sahaja membabitkan perkara berikut:
- Adakah terdapat jangkitan bakteria atau kulat?
- Bilangan jenis kuman penyebab masalah itu.
- Jenis (nama saintifik) kuman terbabit.
- Pilihan ubat-ubatan yang sesuai.
- Apakah ubat-ubatan yang tidak sesuai atau serasi?
Sekiranya tidak terdapat ciri-ciri mencurigakan pada permukaan serviks, doktor juga akan melakukan ujian Pap smear. Hasilnya juga dapat diketahui dalam masa tidak sampai dua minggu.
Selain keputusannya memberitahu perihal saringan kanser serviks iaitu sama ada serviks anda normal atau sebaliknya disyaki menunjukkan perubahan awal yang mencurigakan (diskariosis), ia juga dapat melaporkan keadaan inflamasi (peradangan). Kadangkala ia juga melaporkan kemungkinan berlakunya jangkitan kumpulan kuman tertentu contohnya vaginosis bakteria dan seumpamanya.
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan