SAYA sudah tiga kali bersalin pramatang iaitu ketika kandungan mencecah 24 hingga 28 minggu. Anak saya dapat bertahan selama seminggu saja.
Apakah punca keadaan ini? Adakah saya berpeluang untuk mendapat zuriat yang sihat seperti orang lain?
Lynn,
Kuala Lumpur
SAYA pasti anda sudah pun menjalani ujian berkait dengan bersalin pramatang.
Memandangkan ketiga-tiga kelahiran terbabit berlaku dalam trimester kedua (14 hingga penghujung 27 minggu), ada kemungkinan ia berkait dengan serviks (pangkal rahim) yang lemah. Keadaan ini dinamakan inkompetens serviks.
Ia lebih kerap berlaku pada wanita yang pernah menjalani prosedur membabitkan trauma kepada serviks seperti prosedur D&C dan seumpamanya.
Lazimnya usia kandungan sewaktu kelahiran kedua bertahan lebih lama sedikit berbanding kandungan pertama, kandungan ketiga pula dapat bertahan lebih lama sedikit berbanding kandungan kedua.
Jika benar, anda memerlukan prosedur menahan serviks daripada membuka lebih awal; sama ada secara jahitan yang dinamakan cerclage ataupun secara penggunaan alat khas menjerutnya. Alat ini akan dibuka beberapa minggu sebelum jangkaan bersalin.
Selain inkompetens serviks, terdapat juga kemungkinan lain termasuk penyakit dalaman ibu dan jangkitan kuman tertentu. Dapatkan maklumat daripada doktor yang menjaga kelahiran kedua dan ketiga anda kerana kandungan keempat juga mempunyai risiko kelahiran pramatang.
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan