Label

TAK MAHU SUSU BADAN (SAKIT PUAN)

SAYA baru melahirkan anak pada pertengahan September lalu secara pembedahan. Semasa dalam pantang, lima kali saya dimasukkan ke wad hospital yang sama tempat saya bersalin. Ini kerana luka pembedahan saya terbuka dan dijangkiti kuman dari bilik unit rawatan rapi.

Sepanjang saya dimasukkan ke wad, saya membawa anak ke hospital dan cuma kali terakhir saya tinggalkan bayi bersama ibu kerana saya tidak mampu menjaganya dengan baik akibat sakit di tempat luka dan demam.

Saya juga mengalami kemurungan dan emosi tidak stabil hingga menyebabkan perlu berjumpa kaunselor. Sepanjang di hospital, saya diberi antibiotik kerana disangka demam itu berpunca daripada jangkitan kuman dalam rahim.

Selepas pulang ke rumah, apabila usia anak cukup sebulan, dia tidak mahu menyusu badan sampai sekarang. Bayi saya hanya merasa puting dengan lidah dan selepas itu terus menjerit tidak mahu susu badan. Adakah ia berpunca daripada pengambilan antibiotik menyebabkan susu badan berasa payau?

Bagaimana mahu memaksa bayi saya ini menyusu badan semula? Untuk pengetahuan doktor, saya memang ada memberi susu botol ketika usianya empat hari kerana pada waktu itu susu saya sangat kering dan tidak sempat untuk dipenuhkan semula menyebabkan saya tiada pilihan.

Bayi saya menangis kerana dahaga susu dan saya pula tidak cukup susu. Saya pelik kerana doktor marahkan saya kerana menurut teori mereka, susu badan tidak pernah tidak cukup. Saya rasa mungkin hal itu berlaku kepada sesetengah wanita saja kerana susu badan saya kosong pada malam hari sehingga payudara lembik.

Harap doktor dapat memberi pandangan.

Yang risau,
Kuala Lumpur

KEBANYAKAN hospital kini bertaraf hospital rakan bayi. Terdapat kumpulan kakitangan yang terlatih untuk membimbing dan menggalakkan ibu menyusu badan.

Anda boleh bertanya dan mendapatkan tunjuk ajar daripada mereka. Jika masalah anda membabitkan kurang jumlah air susu dihasilkan, ia memerlukan kesungguhan dan kesabaran untuk menghasilkannya dalam kuantiti yang lebih semula. Beberapa teknik manual boleh diajar oleh kumpulan berkenaan.

Pada masa sama, cuba galakkan bayi menyusu dengan menggunakan payudara anda sebelum menyuap susu yang diambil daripada bekas takungan dengan menggunakan sudu (teknik ini boleh diajar oleh kumpulan penyusuan).

Apabila air susu sudah mencukupi, bolehlah anda terus menggunakan teknik menyusu badan dan kemudiannya bertukar kepada suapan menggunakan sudu apabila bayi menolak penyusuan badan. Ini bermakna anda perlu bersedia dengan susu badan yang sudahpun diperah ke dalam cawan atau bekas.

Elakkan penggunaan botol kerana ini akan tambah menyukarkan bayi untuk menyusu badan.

Masalah ‘blues’ selepas bersalin ada dialami oleh kebanyakan wanita tetapi pada tahap yang rendah serta pulih dalam masa dua hingga tiga minggu. Eloklah anda mendapatkan bantuan pakar seperti pakar perbidanan ataupun pakar psikiatri sebelum ia bertukar menjadi tahap kemurungan ataupun lebih teruk lagi, psikosis.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan