SAYA baru saja melahirkan bayi pramatang ketika usia kandungan lima bulan. Bayi saya itu dapat bertahan dua hari saja dan ini kandungan pertama saya.
Untuk pengetahuan doktor, di awal kandungan saya mengalami turun darah seperti haid dan selepas pemeriksaan, kandungan dalam keadaan baik dan doktor memberikan ubat menguatkan rahim.
Pada bulan kedua, berlaku lagi keadaan turun darah, diikuti dengan keadaan serupa dan terus bersalin. Saya ingin tahu cara untuk mengelakkan kelahiran bayi pramatang bagi kandungan seterusnya. Doktor menasihatkan supaya merancang kandungan pada tahun depan. Apakah persediaan yang harus saya lakukan?
Afia,
Kuala Lumpur
ADAKAH bayi yang dilahirkan didapati normal? Bagi mereka yang mengalami masalah pendarahan sedemikian, antara kemungkinan yang perlu difikirkan adalah sama ada janin terbabit normal atau sebaliknya.
Ada keadaan di mana keabnormalan hanya diketahui melalui ujian ultrabunyi secara mendalam dan ujian kromosom saja kerana secara luaran ia masih menunjukkan sifat normal tetapi mempunyai masalah dalaman seperti jantung, usus dan seumpamanya.
Anda perlu mengambil pil asid folik, tidak salah mengamalkannya dari sekarang. Ujian saringan kencing manis juga eloklah dijalani. Pengambilan pemakanan berkhasiat di samping suplemen multivitamin juga penting. Apabila hamil, anda mesti memaklumkan sejarah masalah kandungan pertama kepada doktor anda.
Beliau mungkin menambah langkah berjaga-jaga, termasuklah mengukur panjang saluran serviks (pangkal rahim) secara ultrabunyi trans-vaginal serta mengambil tindakan ‘menjahit’ serviks apabila kehamilan memasuki empat bulan.
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan