SAYA berusia 28 tahun dan berkahwin selama setahun tiga bulan. Sehingga kini saya belum hamil dan ingin hamil secepat mungkin.
Untuk pengetahuan doktor, haid saya normal dengan kitaran 30 hari. Setiap kali tiba waktu subur, saya mengalami sakit di bahagian pinggang, kadang-kadang kesakitan itu seakan-akan senggugut.
Adakah ini salah satu tanda ketidaksuburan atau ovari saya bermasalah?
Berapakah anggaran kos rawatan di hospital swasta untuk rawatan kesuburan? Harap doktor dapat membantu.
Nur,
Selangor
JIKA anda ingin hamil secepat mungkin, segera dapatkan bantuan pakar sakit puan kesuburan. Dalam masa setahun mencuba, seramai 85 hingga 90 peratus wanita seusia anda sudahpun hamil. Eloklah anda menjalani pemeriksaan, suami juga perlu menjalani ujian air mani.
Kos pemeriksaan kesuburan bergantung kepada jenis ujian yang dilakukan dan jenis ubat yang diberikan. Caj perundingan dan pemeriksaan ultrabunyi lazimnya hampir sama.
Jenis ujian yang dilakukan sepatutnya tidak secara rutin bagi setiap pesakit. Contohnya, jika sewaktu ultrabunyi pelvis mendapati bilangan kantung telur awal (folikel antral) mencukupi dan kitaran haid pula teratur serta tidak mempunyai simptom berkaitan, saya tidak menyarankan pesakit saya menjalani ujian darah hari ketiga FSH, LH, estradiol, fungsi tiroid mahupun prolaktin kerana kemungkinan besar, keputusannya normal, malah ia hanya menambah kos pesakit.
Bagaimanapun, ini bergantung kepada cara merawat doktor masing-masing.
Ada kemungkinan sakit yang anda alami adalah sakit ovulasi yang dinamakan ‘mittelschmerz’. Tetapi ada juga kemungkinan kadang-kadang anda mengalami pendarahan daripada kantung folikel ovulasi (cyst hemoragik), pembesaran kantung telur ovulasi (cyst luteal) ataupun penyebab lain.
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan