SAYA berkahwin selama empat tahun, tetapi belum mempunyai cahaya mata. Pada awal perkahwinan saya didapati mengandung di luar rahim dan menjalani pembedahan kecil.
Saya diberitahu pembedahan kecil itu bertujuan memotong tiub fallopio saya di bahagian kanan. Selepas setahun, saya mengajak suami berjumpa pakar sakit puan di hospital dan menjalani pemeriksaan untuk mendapatkan cahaya mata.
Kami didapati sihat dan normal manakala saya juga diberi ubat kesuburan, tetapi sampai sekarang saya masih tidak hamil.
Saya juga pernah mendapatkan rawatan tradisional dengan urutan. Tukang urut itu memberitahu saya mempunyai masalah rahim dan perut. Saya juga selalu mengalami kekejangan di bahagian rahim.
Buat pengetahuan doktor, saya hanya didatangi haid selama tiga hari iaitu alirannya banyak pada hari pertama dan sedikit pada hari kedua manakala hari ketiga, haid saya kering.
Apakah benar kata-kata tukang urut itu? Apakah yang perlu saya lakukan memandangkan saya benar-benar inginkan cahaya mata?
Linda,
Selangor
JIKA tukang urut anda dapat memberitahu penyakit anda berdasarkan urutan, saya pula tidaklah lebih bijak untuk memberikan telahan hanya berdasarkan soalan dan pernyataan anda di ruangan ini saja. Seeloknya anda mendapatkan pemeriksaan pakar, jika boleh dapatkan pemeriksaan pakar sakit puan kesuburan.
Apakah punca anda mengalami kehamilan luar rahim (ektopik) dahulu? Kadangkala, penyakit yang menyebabkan kehamilan ektopik di sebelah tiub boleh menyebabkan kerosakan tiub lagi satu. Hal ini lazimnya akan diberitahu oleh doktor sehari selepas pembedahan dan diterangkan lebih lanjut sewaktu lawatan susulan ke klinik kemudiannya.
Sekiranya tiub fallopio kanan anda sudah dipotong, adakah bermakna ia dibuang? Jika benar, ini bermakna anda hanya mengharapkan tiub fallopio kiri saja untuk hamil tanpa kaedah persenyawaan tabung uji (IVF).
Adakah anda sudah menjalani ujian tiub fallopio kiri sama ada secara ujian sinaran-X yang dinamakan HSG ataupun pembedahan laparoskopi?
Sekiranya tiub kiri anda masih tidak tersumbat, anda boleh hamil tetapi seeloknya menggunakan bantuan ubat kesuburan untuk cuba mendapatkan telur subur daripada ovari kiri. Tanpanya, peluang anda hamil boleh dikatakan hampir tiada sekiranya anda subur daripada ovari kanan untuk bulan atau kitaran terbabit kerana telurnya tidak dapat memasuki tiub fallopio kanan.
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan