Label

MAHU TAMBAH ANAK (SAKIT PUAN)

ANAK saya kini sudah berusia empat tahun tetapi dia masih menyusu badan. Dalam keadaan begini, apakah peratusan saya untuk hamil lagi?

Selain itu, adakah kedudukan wanita di atas suami semasa melakukan hubungan seks juga menyebabkan peratus kehamilan yang rendah?

Murni,
Selangor

SEKIRANYA
anda masih didatangi haid terutama jika haid anda itu teratur, penyusuan badan lazimnya tidak mengganggu kesuburan.

Bagaimanapun, eloklah anda menjalani pemeriksaan termasuk ujian darah prolaktin dan imbasan ultrabunyi untuk mengesahkannya. Dengan ovulasi yang teratur dan tanpa penyakit pada rahim atau tiub fallopio, peratus anda hamil sama seperti golongan seusia anda.

Saya belum pernah membaca kajian yang menyatakan kedudukan wanita di atas sewaktu hubungan seks menyebabkan peratus kehamilan yang rendah.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

BIMBANG BELUM HAMIL LAGI (SAKIT PUAN)

SAYA berkahwin selama empat tahun, tetapi belum mempunyai cahaya mata. Pada awal perkahwinan saya didapati mengandung di luar rahim dan menjalani pembedahan kecil.

Saya diberitahu pembedahan kecil itu bertujuan memotong tiub fallopio saya di bahagian kanan. Selepas setahun, saya mengajak suami berjumpa pakar sakit puan di hospital dan menjalani pemeriksaan untuk mendapatkan cahaya mata.

Kami didapati sihat dan normal manakala saya juga diberi ubat kesuburan, tetapi sampai sekarang saya masih tidak hamil.

Saya juga pernah mendapatkan rawatan tradisional dengan urutan. Tukang urut itu memberitahu saya mempunyai masalah rahim dan perut. Saya juga selalu mengalami kekejangan di bahagian rahim.

Buat pengetahuan doktor, saya hanya didatangi haid selama tiga hari iaitu alirannya banyak pada hari pertama dan sedikit pada hari kedua manakala hari ketiga, haid saya kering.

Apakah benar kata-kata tukang urut itu? Apakah yang perlu saya lakukan memandangkan saya benar-benar inginkan cahaya mata?

Linda,
Selangor

JIKA
tukang urut anda dapat memberitahu penyakit anda berdasarkan urutan, saya pula tidaklah lebih bijak untuk memberikan telahan hanya berdasarkan soalan dan pernyataan anda di ruangan ini saja. Seeloknya anda mendapatkan pemeriksaan pakar, jika boleh dapatkan pemeriksaan pakar sakit puan kesuburan.

Apakah punca anda mengalami kehamilan luar rahim (ektopik) dahulu? Kadangkala, penyakit yang menyebabkan kehamilan ektopik di sebelah tiub boleh menyebabkan kerosakan tiub lagi satu. Hal ini lazimnya akan diberitahu oleh doktor sehari selepas pembedahan dan diterangkan lebih lanjut sewaktu lawatan susulan ke klinik kemudiannya.

Sekiranya tiub fallopio kanan anda sudah dipotong, adakah bermakna ia dibuang? Jika benar, ini bermakna anda hanya mengharapkan tiub fallopio kiri saja untuk hamil tanpa kaedah persenyawaan tabung uji (IVF).

Adakah anda sudah menjalani ujian tiub fallopio kiri sama ada secara ujian sinaran-X yang dinamakan HSG ataupun pembedahan laparoskopi?

Sekiranya tiub kiri anda masih tidak tersumbat, anda boleh hamil tetapi seeloknya menggunakan bantuan ubat kesuburan untuk cuba mendapatkan telur subur daripada ovari kiri. Tanpanya, peluang anda hamil boleh dikatakan hampir tiada sekiranya anda subur daripada ovari kanan untuk bulan atau kitaran terbabit kerana telurnya tidak dapat memasuki tiub fallopio kanan.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

BELUM HAID SEJAK BERSALIN (SAKIT PUAN)

SAYA baru melahirkan anak kedua pada hujung September lalu. Anak saya tidak menyusu badan sepenuhnya kerana kekurangan susu.

Masalahnya, saya masih tidak didatangi haid hingga kini kerana sudah tiga bulan bersalin manakala anak saya pula tidak menyusu badan. Adakah keadaan ini dianggap normal?

Juliana,
Kampung Bendang, Jitra, Kedah

SUDAHKAH
anda menjalani ujian kehamilan? Jika ujian air kencing (UPT) negatif, anda dinasihatkan berjumpa doktor untuk kepastian kerana ada ujian pengesahan (ujian darah) yang lebih tepat.

Bagaimanakah kitaran haid anda sebelum hamil dahulu? Adakah anda mengalami masalah sewaktu proses bersalin baru-baru ini seperti tumpah darah berlebihan, terpaksa menjalani prosedur tambahan dan seumpamanya?

Adakah anda mengambil sebarang ubat doktor mahupun produk sampingan lain? Persoalan ini perlu diselidiki sebelum doktor anda dapat memberikan jawapan.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

SAKIT BELAKANG KETERLALUAN (SAKIT PUAN)

ANAK sulung saya kini masuk 11 bulan dan saya juga kini disahkan hamil lagi. Rupa-rupanya kandungan saya ini sudah masuk dua bulan.

Masalahnya kini, saya mengalami sakit belakang yang keterlaluan hingga mengganggu prestasi kerja termasuk kerja di rumah. Ia bukan sekadar lenguh, sebaliknya seolah-olah terasa seperti patah pinggang.

Saya tidak mengalami alahan teruk cuma loya pada waktu pagi. Ditambah dengan sakit belakang, pengalaman ketika muntah waktu pagi jadi lebih teruk hingga ada kalanya saya menangis terutama ketika terbongkok-bongkok muntah dan batuk.

Apakah penyebab masalah ini? Apakah yang harus saya lakukan? Buat pengetahuan doktor, anak sulung saya masih menyusu badan dan saya juga mengambil susu formula kehamilan sebagai persediaan untuk anak yang bakal lahir ini.

Zila,
Kuala Lumpur

BERDASARKAN pengalaman merawat wanita hamil, kebanyakan wanita mudah mengalami masalah apabila kehamilan terbabit tidak dijangka atau dirancang. Sebaliknya wanita lebih ‘kuat’ menempuh simptom awal kehamilan sekiranya kehamilan berkenaan sememangnya ditunggu-tunggu kecuali dalam kehamilan kembar atau jika terdapat penyakit lain seperti hipertiroid.

Sudahkah anda menjalani pemeriksaan doktor perbidanan? Adakah kandungan anda didapati tiada masalah? Bagaimanakah dengan perihal kehamilan sehingga kelahiran terdahulu, adakah terdapat sebarang masalah? Adakah doktor perbidanan anda berpendapat anda perlu menjalani pemeriksaan pakar tulang? Adakah anda diberikan suplemen pil kalsium?

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

'POWER' TIDAK SEMESTINYA HEBAT (SAKIT TUAN)

SAYA pernah ditanya sama ada ‘power ejakulasi’ iaitu ejakulasi dinamik seperti air mani terpancut keluar jauh adalah lebih baik daripada ejakulasi yang keluar biasa atau menitis. Jawapan saya, jika air mani masuk ke dalam faraj, kehamilan boleh berlaku. Ia semudah itu.

Masih ramai tidak faham mengenai air mani dan berfikiran ejakulasi ‘power’ adalah hebat, namun isteri masih belum hamil.

Jangan salah sangka. Sebenarnya, air mani keluar akibat tekanan cengkaman otot sistem ejakulasi dan otot lantai pelvis. Jika anda mengawal otot lantai pelvis ketika mencapai ejakulasi, ia akan terbantut atau tidak terasa.

Perkara menahan kemut atau mengemut ketika ejakulasi biasanya dilakukan bagi mengawal masalah cepat klimaks dan kesannya ialah ejakulasi tidak terasa seperti biasa.

Ada juga lelaki mempunyai otot lantai pelvis (otot kemut) yang kurang aktif dan tentu dia akan mengalami masalah ejakulasi tidak terasa.

Jika itu masalah sebenar, cara paling mudah untuk mengatasinya ialah dengan mengamalkan senaman kemut atau ‘Kegel’.

Kini dengan terapi Elektro Magnetik Pelvi-Center, lelaki yang otot lantai pelvisnya lemah dapat menjadikannya lebih kuat. Maklumat mengenai terapi itu ada dalam laman www.Pelvicenter Malaysia.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

PENDEKATAN MENGARUT (SAKIT TUAN)

SAYA lelaki berumur lingkungan 20-an dan belum berkahwin. Sejak setahun lalu, saya sering mengalami rasa sakit di bahagian kelangkang ketika keluar air mani sewaktu tidur pada waktu malam.

Saya berjumpa doktor di klinik kesihatan dan dimaklumkan kemungkinan saluran uretra saya sempit dan menyarankan supaya lebih kerap mengeluarkan air mani.

Persoalan saya, apakah cara terbaik untuk menangani masalah ini dan adakah bahaya jika saya menggunakan ‘mastubator’ untuk mengeluarkan air mani?

INSAN RESAH
Gombak

ADA
banyak sebab kenapa anda rasa kurang selesa kepada bahagian kelangkang dan mimpi basah tiada kaitannya. Jika mahu lakukan aktiviti melancap sebagai pendekatan perawatan masalah itu, anda akan menjadi ‘masturbator’ atau 'pelancap tegar!' Malah, pendekatan ini mengarut!


Bahagian kelangkang ialah tempat penginapan otot lantai pelvis atau otot kemut. Jika anda mengalami mimpi basah, tentu otot kemut akan mencengkam secara bertalu-talu dengan kuat dan ini mengakibatkan ia tegang dan tertekan.

Jadi isunya ialah otot lantai pelvis yang tegang, bukan salur kencing sempit! Saya dapati kini di pasaran gelap ada pelbagai peralatan bantuan seks haram dan satu daripadanya ialah alat ‘masturbator’ elektronik untuk kegunaan lelaki.

Alat itu berbentuk corong ‘faraj’, ‘salur dubur' atau ‘salur mulut’. Apabila memasukkan ereksi ke dalam corong dan memetik suis, corong diperbuat daripada silikon atau latek itu akan menggetar dan lelaki akan mencapai ejakulasi.

Jika menggunakan alat itu, zakar anda terdedah kepada benda luar biasa (tak semacam faraj tulen!) dan jika ketagih, anda tidak akan dapat mencapai ejakulasi dengan isteri apabila berkahwin.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

SUAMI TIBA-TIBA KURANG BERNAFSU (SAKIT TUAN)

SEJAK akhir-akhir ini suami tiada nafsu untuk melakukan hubungan kelamin. Ia berlaku sejak saya kembali daripada berkursus di Hutan Belum, Gerik. Dia kata tiada nafsu untuk berasmara dan saya perlu menggodanya terlebih dulu. Pernah sekali ketika berasmara, tiba-tiba dia hilang konsentrasi dan apabila saya tanya, dia mengatakan pening.

LIA
Sepang

MATI PUCUK
boleh berlaku secara tiba-tiba walaupun lelaki itu tiada masalah.

Mati pucuk begini dikenali sebagai mati pucuk situasi.

Situasi ini berlaku secara tiba-tiba dan kerap berlaku apabila pasangan wanita mahukan seks intim. Keadaan sama juga boleh berlaku apabila isteri merancang seks pada waktu subur.

Bayangkan perasaan hampa isteri. Untuk lelaki, dia yang sepatutnya memulakan dan dia yang sepatutnya ‘menawan’ pasangan dan bukan sebaliknya.

Perkara ini boleh berlaku juga apabila si suami keletihan akibat onani. Jika bergantung kepada aktiviti onani setiap kali isteri ‘keluar’, suami sukar mencapai ereksi dan ejakulasi tanpa rangsangan visual dan mental.

Saya syorkan golongan suami jangan tonton video lucah, nanti hilang kehangatan syahwat dan sukar mahu beraksi dengan isteri. Selain itu, ada suami memang ada masalah mencapai atau mengekalkan ereksi.

Ini mungkin kesan amalan gaya hidup tidak sihat seperti merokok, minuman keras, tak bersenam dan obes.

Jika suami ada penyakit seperti tekanan darah tinggi atau peningkatan kolesterol dan kini memakan ubat, kemampuan mencapai ereksi menjadi tercabar dan kerap mengalami masalah seperti sukar mencapai ereksi padat atau mengekalkannya.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

KELUAR LENDIR NANAH CAMPUR DARAH (SAKIT TUAN)

SAYA mendapati ada lendir keluar daripada zakar suami seperti nanah tapi cair. Selain itu, air maninya bercampur darah yang berwarna coklat gelap, seolah-olah dia memancutkan darah dan bukan air mani.

Sejak akhir-akhir ini, dia memberitahu turut berasa sengal-sengal pada buah zakar.

ISTERI RISAU
Klang

TAHNIAH
kerana menjadi isteri prihatin tetapi lebih elok jika suami puan sendiri bersuara. Tanpa pemeriksaan doktor, masalah sebenar sukar dipastikan.

Berdasarkan keterangan anda, mungkin ada jangkitan salur kencing kerana lelehan seperti nanah keluar dan kemungkinan jangkitan itu menular ke bahagian dalaman dan merebak ke pundi prostat.

Ini kerana air mani yang sebenar mengandungi banyak cecair daripada pundi prostat dan kelihatan berwarna coklat. Ini petanda kesan keradangan dan ia menular ke buah zakar sehingga suami rasa sakit.

Jika dibiarkan dan kebetulan masalahnya akibat jangkitan, dia boleh mengalami kerosakan kilang sperma dan mungkin boleh jadi mandul. Segera dapatkan rawatan.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

MALU PAYUDARA KECIL (SAKIT PUAN)

Kehamilan lazimnya menjadikan payudara wanita membesar sehingga terpaksa menukar saiz pakaian dalam.

SAYA baru sebulan berkahwin dan masalahnya saya mempunyai payudara yang kecil. Sebenarnya saya malu pada suami dengan keadaan payudara yang kecil itu sedangkan saya kini berumur 21 tahun.

Adakah sebarang cara yang berkesan dan selamat untuk membesarkan payudara? Apakah pandangan doktor mengenai produk mengepam payudara dan krim membesarkan payudara yang ada di pasaran?

Idah
Petaling Jaya, Selangor.

ISTERI DARA (SAKIT PUAN)

Dalam keadaan seriau, anggota sulit wanita menjadi kering, manakala bibir besar dan bibir kecil mengecut serta menyempit.

MASIH dara walaupun sudah berkahwin beberapa bulan. Persoalan ini pernah dibincangkan dalam ruangan bicara kesihatan yang biasanya dibangkitkan oleh wanita yang ada perasaan seriau atau ngeri untuk bersama pasangan.

Dalam keadaan seriau, anggota sulit wanita menjadi kering, manakala bibir besar dan bibir kecil mengecut serta menyempit.

Situasi ini juga dikenali sebagai ‘mati putik’, ibarat putik tidak berkembang menjadi bunga seperti mati pucuk yang berlaku kepada golongan lelaki, di mana ereksi tidak berlaku.

Semua ini berlaku akibat kegagalan tindak balas seksual kerana perasaan seriau. Setiap kali pasangan cuba melakukan tusukan, mereka mencengkam otot pembukaan lubang najis atau mengemut.

Mereka terus terasa sakit yang amat sangat ketika itu dan pasangan mereka terasa seperti ada halangan di depan pintu faraj! Apa yang berlaku sebenarnya ialah mereka tidak dapat mengawal pembukaan faraj.

PURA-PURA PUAS (SAKIT PUAN)

SEORANG wanita berusia 20-an dan baru setahun berkahwin mengadu tidak pernah kenal erti klimaks hingga terpaksa berpura-pura demi memuaskan suami. Apa yang berlaku sebenarnya?

Tindak balas rangsangan seksual wanita tidak sama dengan lelaki dan berbeza juga antara sesama wanita.

Jika wanita yang menghayati rangsangan seksual tidak sampai ke kemuncak rangsangan, dia tidak rasa apa-apa perubahan kepada dirinya, menyebabkan dia berlakon atau berpura-pura seperti wanita yang mencapai klimaks, mengikut kefahamannya.

Mengikut kajian rambang yang pernah dilakukan di negara membangun, 25 peratus (%) wanita berpura-pura mencapai klimaks dan saya pasti bilangan wanita Malaysia mungkin lebih daripada itu dan perlakuan itu bukan luar biasa!

Secara semula jadi, apabila wanita mengalami rangsangan seksual, anggota kelaminnya bergelora dan bahagian yang sensitif kepada sentuhan seperti bibir besar, bibir kecil, klitoris dan bahagian antara bibir kecil atau ‘vestibule’ (semua ini dikenali sebagai ‘vulva’) dan bahagian atas faraj (yang mengandungi G-spot) turut terangsang apabila tersentuh.

Apabila sentuhan itu sangat merangsangkan, wanita itu sampai ke kemuncak rangsangan, yang mana bahagian pembukaan faraj mencengkam, bahagian dalam faraj mengembang dan serviks menurun di penghujung faraj dan bergetar.

Proses ini berlaku sekelip mata dan jika wanita itu berkehendakkan rangsangan diteruskan, dia akan mencapai klimaks sama untuk beberapa kali atau ia terhenti dengan keadaan wanita itu rasa puas.

Ada kalanya rangsangan G-spot membawa kepada ejakulasi untuk wanita itu dan ia mungkin keluar secara pancutan atau meleleh.

Jika wanita itu mencengkam otot lantai pelvis (otot kemut) ketika dia berasa seperti hendak kencing (sebenarnya perasaan awal klimaks), ejakulasi tidak berlaku atau cecair pekat keluar secara meleleh.

Mungkin untuk peringkat permulaan, anda perlu kenali anggota kelamin anda. Ketahui mengenai klitoris, bibir kecil dan besar, vestibule, pembukaan faraj dan bahagian antara lubang kencing dengan lubang najis (bahagian yang dikenali sebagai perinium).

Sentuh dan ketahui perasaan yang dirasai supaya anda dapat mengenali perasaan yang memberahikan supaya dapat memberi tumpuan kepada perasaan itu apabila dirangsang oleh pasangan ketika bersetubuh supaya mudah mencapai klimaks.

Jika anda rasa geli untuk menyentuh anggota kelamin atau rasa anggota kelamin anda hodoh atau pelik untuk menyentuhnya, anda tidak dapat menghayati keseronokan dan keghairahan menyentuh anggota seksual itu kerana perasaan negatif itu.

Apabila anda mula mengenali anggota kelamin, vulva dan selesa dengan sentuhan yang dilakukan, anggota itu menjadi sensitif kepada sentuhan dan mudah berinteraksi ketika bersetubuh dengan pasangan.

Apabila anda mula menghayati ‘vulva consciousness’, anda boleh beri tumpuan kepada sentuhan yang diberi pasangan anda kepada bahagian itu dan memandu pasangan untuk meningkatkan rangsangan melalui dayungan dan geselan, mudah anda mencapai klimaks.

Sebilangan besar wanita mendapati posisi wanita di atas lebih memberangsangkan dan memudahkan mencapai klimaks kerana dia memandu gerakan yang merangsang anggota kelamin yang sensitif.

Ini sedikit tips untuk mempunyai vulva yang sensitif dan segar supaya mudah mencapai klimaks:

Sememangnya vulva wanita sangat sensitif dan bertindak balas kepada sentuhan. Lakukan sentuhan pada vulva anda setiap kali selesai mandi dengan menggunakan krim pelembap sesuai.

Saya syorkan anda gunakan krim yang dirumus khusus untuk kesegaran dan keintiman anggota sulit wanita yang mengandungi beberapa herba dan membantu meningkatkan sensitiviti dan kesegaran, selain melembutkan dan melindungi anggota itu daripada kuman, kulat dan virus.

Krim perapi vulva yang mempunyai aroma feminin ala ketimuran ini dapat meningkatkan perasaan dan tindak balas rangsangan jika dipakai setiap kali selepas mandi atau membersihkan vulva.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Rahsia Rumahtangga Bahagia! Klik Disini!

USAH ABAI BENGKAK (SAKIT TUAN)

SAYA pasti ramai di kalangan kita terutamanya lelaki mengalami masalah ‘bengkak’ atau bonjolan di badan dan tidak kurang juga pada buah zakar dan kemaluan. Masalah ini adakalanya serius dan kadang kala tidak merbahaya.

Bagaimanapun, ketulan atau bonjolan terbabit mempunyai saiz yang berbeza-beza. Ada yang kecil dan ada juga yang besar seperti bola tenis dan ia tidak mustahil akan lebih membesar jika tiada rawatan dilakukan.

Begitupun, sebahagian besar lelaki biasanya bersikap endah tak endah mengenai sebarang perubahan kecil pada anggota badan terutamanya apabila berkaitan bahagian alat sulit. Sehinggalah ketulan itu membesar seperti yang saya katakan tadi, barulah mereka berasa risau dan sebagainya.

Saranan saya, jika anda mengalami masalah bengkak, bonjolan atau ketulan tidak kira kecil atau besar, segera berjumpa doktor dan dapatkan rawatan. Tanpa pemeriksaan, kita tidak akan tahu adakah masalah itu merbahaya atau tidak.

Kemungkinan, ketulan atau bonjolan itu adalah perubahan pra kanser atau tanda awal penyakit berbahaya. Jadi jangan sesekali memandang remeh mengenai perkara ini. Sebaiknya segera rujuk kepada doktor pakar kerana ada kalanya penyakit itu boleh mengancam nyawa sekiranya ia berada pada tahap kritikal.

Kebanyakan kes yang saya kendalikan, ramai lelaki tidak mengambil berat ketulan di buah zakar sehingga ia benar-benar jelas kelihatan atau membesar. Selepas menjalani pemeriksaan bonjolan atau ketulan berkenaan adalah kanser buah zakar.

Oleh itu, pemeriksaan sokongan seperti ujian imbasan dan sebagainya akan dilakukan doktor untuk mengetahui kandungan bonjolan berkenaan.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

SAKIT KETIKA BERDIRI (SAKIT TUAN)

SAYA sering mengalami rasa sakit dan senak di bahagian buah zakar. Kesakitan ini jika berlarutan boleh dirasai sehingga ke pinggang. Rasa sakit itu akan ketara apabila saya berdiri namun akan lega apabila saya baring terlentang.

Pada mulanya saya menyangka jika saya mempunyai inguinal hernia, namun tiada tanda-tanda benda asing berada dalam kantung zakar saya. Malah tiada bonjolan di abdomen saya. Sejak-sejak ini, saya kerap merasa sakit berbanding beberapa tahun yang lalu yang mana hanya dalam beberapa kali dalam setahun.

Kaer
Selangor

DALAM peringkat remaja, ketumbesaran buah zakar berlaku bersamaan perubahan fizikal yang lain yang ada kaitan dengan perkembangan pada peringkat akhil baligh.

Hormon testosterone dihasilkan buah zakar dengan tahap yang tinggi untuk menampung ketumbesaran otot, anggota kelamin, buah zakar, ketumbuhan bulu roma dan penghasilan sperma selain membuatkan lelaki remaja itu mudah teruja seksual.

Anda mengalami semua perubahan itu termasuk perasaan teruja seksual yang membuatkan anda mudah mencapai ereksi.

Dalam keadaan teruja seksual, perjalanan darah ke anggota kelamin anda meningkat, ini termasuk juga kedua-dua buah zakar anda dan ketika itu anda boleh rasa buah zakar anda ‘besar’ dan pembuluh darah kembang dan kerandut buah zakar memadat.

Semua perubahan ini sedikit sebanyak membuatkan anda rasa senak. Apabila anda melepaskan perasaan syahwat dengan onani, anda akan rasa lega dan selesa.

Bengkak buah zakar atau buah zakar yang ‘congested’ atau kembang akibat kemasukan darah yang banyak yang membuatkan anda terasa senak akan lega.

Kerandut yang padat itu pun juga lega. Secara tak langsung anda sudah mula membiasakan diri anda untuk melakukan onani setiap kali anda teruja seksual yang membuatkan anda rasa tidak selesa itu, untuk menjadi sedia kala.

Apabila anda hentikan perbuatan onani itu, anda mula rasa ‘congestion’ atau kebengkakan buah zakar anda kekal dan membuatkan anda rasa tidak selesa. Mahu atau tidak, anda terpaksa melegakan perasaan buah zakar tertekan itu melalui onani.

Sebenarnya, anda boleh tuam kedua-dua buah zakar anda dengan pek ais. ‘Congestion’ buah zakar akan lega dan anda tidak perlu memaksa diri melakukan onani semata-mata untuk kelegaan senak buah zakar.

Anda bukan seorang yang mengalami masalah ini. Ramai lelaki muda yang mengalami masalah yang sama dan mereka juga melakukan onani semata-mata untuk melegakan perasaan senak itu. Bukankah lebih baik melegakan buah zakar yang kembang hangat dengan ais.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

SUKAR BUANG AIR BESAR (SAKIT TUAN)

SAYA sering mengalami masalah membuang air besar. Najis saya seakan-akan terlalu keras dan ia sering melukakan dan membuatkan dubur saya bengkak.

Malah saya juga sering mengalami pengeluaran cecair putih air mani. Adakah masalah ini berkaitan?

Azmi
Kuala Lumpur

NAJIS ialah sisa makanan yang ketinggalan selepas bahan berkhasiat diserap mukosa usus. Pergerakan usus dalam kawalan urat saraf, melalui pergerakan ‘peristalsis’ atau pergerakan setiap kali anda makan dan minum.

Senaman seperti berjalan juga dapat mengaktifkan pergerakan otot usus dan memudahkan anda membuang air besar. Jika anda makan makanan yang kurang serat, maka najis anda sedikit dan liat. Lebih berat lagi jika anda kurang minum air yang akan membuatkan najis anda kering.

Jika anda makan makanan yang mengandungi banyak serat seperti buah buahan dan sayur sayuran maka serat yang kekal dalam usus anda itu akan memudahkan pergerakan sisa makanan ke usus besar dan memudahkan pengeluarannya dari usus besar.

Jika anda masih mengalami masalah najis keras dan liat, anda perlu jumpa doktor Gastroenterologis kerana itu bidang mereka.

Mengenai pengeluaran cecair seperti air mani ketika meneran ia sebenarnya adalah air mazi yang keluar ketika anda meneran membuang air besar atau air kecil. Ia perkara biasa dan bukanlah masalah seperti yang anda sangkakan.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

PURATA MULA AKIL BALIGH 12 TAHUN (SAKIT TUAN)

SEMPENA cuti persekolahan, ramai ibu bapa bertanya mengenai proses berkhatan untuk anak-anak mereka. Namun, apa yang menarik minat saya ialah pertanyaan demi pertanyaan berkisarkan mengenai tempoh baligh kanak-kanak lelaki.

Malah, saya juga pasti ramai ibu bapa turut tidak jelas mengenai isu ini. Di sini, ingin saya terangkan bahawa kanak-kanak lelaki dan perempuan mula menunjukkan perubahan keseluruhan fizikal ke ke peringkat dewasa seawal usia lapan tahun untuk perempuan dan 10 tahun untuk lelaki.

Purata fenomena akil baligh bermula dari usia 12 tahun dan mula mantap pada umur 18 tahun. Fenomena ini lebih awal bagi kanak-kanak perempuan jika dibandingkan dengan lelaki. Perbezaannya dua hingga tiga tahun.

Kemunculan akil baligh bermula dengan tumbesaran badan yang serentak dengan tumbesaran anggota reproduktif yang mana untuk lelaki akan berlaku tumbesaran buah zakar, kerandut dan zakar.

Bagi remaja lelaki yang kerap melakukan onani, air mani mula menjadi dan keluar dengan banyak dan kepada mereka yang jarang atau tidak melakukan onani, akan mengalami mimpi basah.

Kemunculan pertama air mani itu dikenali sebagai ‘spermache’ dan ini antara petanda mutlak pencapaian akil baligh untuk kanak-kanak lelaki. Secara serentak terjadi perubahan akil baligh yang lain seperti kemunculan bulu roma di bahagian ketiak, tundun zakar, kerandut buah zakar, dada, betis, tangan, dagu dan atas bibir.

Bulu roma ini ada kaitan dengan baka dan bukan petanda mutlak akil baligh. Selain itu tumbesaran otot dan struktur badan mengikut bentuk badan lelaki dewasa dan ketinggian mula bertambah. Pundi Apokrin di bahagian muka dan badan mula aktif dengan kemunculan jerawat selain penghasilan bau badan.

Sesetengah individu yang sedang menjalani perubahan akil baligh mendapati perubahan itu agak ‘kurang’ atau tidak lancar seperti kawan mereka.

Sebenarnya mereka tidak sedar yang perubahan itu sedang berlaku kerana mereka tidak melihatnya sendiri seperti yang mereka lihat pada kawan. Malah ibu bapa juga boleh nampak perubahan yang berlaku pada anak mereka.

Jika tidak berlaku, saya pasti ibu bapa akan membawa anak mereka berjumpa doktor. Inilah tanda akil baligh bagi kanak-kanak lelaki dan ibu bapa boleh melihat perubahan itu sendiri terhadap anak mereka.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

KELUAR CECAIR PUTIH (SAKIT TUAN)

SAYA menghadapi masalah cecair putih susu seolah-olah air mani keluar selepas membuang air kecil. Selepas membuat pemeriksaan doktor, saya didapati normal dan hanya diberi antibiotik.

Namun, masalah itu tetap berulang. Saluran kencing juga pedih dan testis saya juga berasa sakit. Harap doktor dapat membantu saya. Terima kasih.

AMI
Selangor

CECAIR
jernih keluar sebaik selesai membuang air kecil atau air besar ketika mengemut adalah dari pundi Cowpers atau pundi prostat atau cecair mukosa salur kencing. Kadangkala ia campuran semua cecair dari pundi berkenaan.

Amalan mengemut atau meneran ketika selesai buang najis, sedikit sebanyak mempengaruhi pengeluaran cecair itu.

Jarang sekali ketika bangun tidur dan ketika buang air kecil, fenomena penghasilan cecair jernih disebutkan tadi boleh berlaku.

Ini mungkin ketika itu pundi prostat dan Cowpers kembang akibat ereksi pagi atau ketika sedang kencing dan melakukan kemutan selepas selesai, maka cecair jernih itu akan keluar.

Jika salur kencing mengalami jangkitan akibat terdedah kepada penyakit kelamin, cecair yang keluar akan berbeza.

Pengeluarannya lebih banyak dan pekat serta berwarna kuning jika anda terkena jangkitan Gonorrhea.

Namun, jika cecair melekit-lekit dan melekat pada seluar dalam, ia adalah virus NGU atau Chlamydia atau Mycoplasma. Ia membuatkan anda terasa sakit ketika buang air kecil.

Jika jangkitan itu amat ketara, rasa sakit ketika kencing seakan-akan jarum panas menembusi salur kencing.

Ada juga situasi jangkitan boleh berlaku daripada pundi kencing menular ke salur kencing. Ini amat jarang dan simptomnya ialah kerap membuang air kecil selain berlaku pengeluaran cecair jernih dari salur kencing.

Seks oral juga boleh menyebabkan keradangan salur kencing akibat terkena jangkitan kuman dari mulut pasangan, walaupun tidak melakukan seks penetratif.

Saya cadangkan elok anda memberhentikan mengemut ketika membuang air besar atau air kecil bagi mengurangkan cecair terbabit keluar.

Jika masih keluar, anda boleh lapik penghujung zakar dengan tisu. Jika mahu menunaikan solat, tidak perlu mandi wajib kerana itu air mazi.

Ubat resdung pernah disarankan untuk mengurangkan keciciran cecair jernih itu tetapi ia tidak praktikal kerana ia boleh mengganggu ereksi.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

BELUM SEDIA TIMANG ANAK (SAKIT TUAN)

SAYA berumur 25 tahun dan baru berkahwin bulan lalu. Saya ingin bertanya mengenai persetubuhan kerana kami suami isteri merancang untuk tidak mempunyai anak dalam masa dua tahun kerana pelbagai faktor.

Sewaktu penetrasi, adakah kebarangkalian air mani terkeluar sedikit walaupun tiada ejakulasi?

Kadangkala saya rasakan ejakulasi tetapi zakar masih menegang dan meneruskan penetrasi.

Adakah yang keluar itu air mani? Saya rasa apabila sudah mengendur, barulah air mani sudah keluar.

Apakah cara mengelakkan air mazi keluar tiba-tiba kerana saya perasan ada cecair pada seluar dalam sama ada sewaktu bercumbu dengan isteri atau pada keadaan tidak ghairah.

INGIN TAHU
Kuala Lumpur

ANDA dan pasangan merancang untuk menimang cahaya mata selepas dua tahun berkahwin dan kini mengelakkan kemungkinan mencapai kehamilan setiap kali anda dan pasangan berintiman.

Anda mudah teruja seks dan mudah menghasilkan air mazi. Ini perkara biasa untuk orang muda.

Didapati sperma juga ada dalam air mazi, iaitu ketika anda teruja seks dan ketika anda sedang bercumbuan dan ketika salurkan ereksi ke dalam faraj mengandungi sperma, walaupun bilangan sperma tidak banyak jika dibandingkan dengan sperma dalam air mani.

Jadi, ada kemungkinan isteri anda boleh hamil. Anda menyatakan terasa macam anda mencapai klimaks atau terasa ejakulasi.

Sudah tentu cecair yang keluar itu air mani dan mengandungi sperma.

Maka selama ini anda dan pasangan terdedah kepada kemungkinan mencapai kehamilan kerana tidak mengamalkan kaedah merancang keluarga.

Anda dan pasangan perlu mendapatkan maklumat dan keterangan perancangan keluarga daripada doktor pengamal merancang keluarga.

Malah ada pelbagai maklumat mengenai merancang keluarga yang boleh dibaca menerusi Internet.

Saranan saya, lebih baik menggunakan kondom setiap kali melakukan seks. Anda juga perlu tahu cara menggunakan kondom.

Selain itu pasangan anda boleh mengamalkannya pil hormon merancang keluarga atau mendapat suntikan hormon atau menggunakan susuk hormon dan pelbagai cara yang menjadi pilihan anda berdua.

Anda dan pasangan boleh pergi ke mana-mana klinik perancang keluarga LPPKN atau KKM atau Persatuan Merancang Keluarga terdekat atau dapatkan maklumat di mana-mana pengamal perubatan berdekatan.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

BOLEH AMBIL UBAT RESDUNG? (SAKIT TUAN)

SAYA sering mengeluarkan air mazi ketika bangun tidur, lepas membuang air kecil dan juga ketika sedikit terangsang. Ini menyukarkan saya untuk bersolat. Untuk pengetahuan doktor, saya baru empat bulan berkahwin.

Saya sering melakukan onani ketika bujang tetapi selepas berkahwin saya meninggalkan tabiat ini. Perkara ini terjadi sebelum saya berkahwin lagi. Menurut pembacaan saya, masalah ini dikenali sebagai resdung zakar dan ia boleh diubati dengan mengambil ubat resdung Antihistamines seperti Piriton dan Polaramine.

Tetapi doktor mencadangkan untuk mengambil mengikut nasihat doktor. Boleh saya dapatkan ubat ini dari farmasi berdekatan saja dan makan mengikut saranan daripada ahli farmasi itu? Terima kasih.

Mal
Kuala Lumpur

BAGI lelaki, air mani keluar secara sedar melalui ejakulasi yang berlaku akibat kemuncak rangsangan seksual, sama ada melalui persetubuhan atau melalui sentuhan dengan tangan. Air mani juga boleh keluar dalam mimpi dan situasi ini dikenali sebagai mimpi basah dan jarang kali dikenali sebagai ‘Spermatorrhea’.

Jarang kali air mani boleh keluar akibat rangsangan mental, tanpa sentuhan kepada anggota kelamin dan ini berlaku akibat klimaks mental. Jika air mani keluar tanpa klimaks, situasi ini dikenali sebagai Spermatorrhea dan ini dianggap sebagai penyakit mengikut kefahaman perubatan tradisional Cina dan India.

Situasi ini tidak boleh disamakan dengan pengeluaran air mazi. Air mazi biasa kelihatan ketika lelaki dalam keadaan teruja seks. Jika ia keluar dengan banyak, situasi ini dikenali sebagai resdung zakar. Istilah resdung atau selesema itu hanya dikaitkan kepada hidung, iaitu mukosa dalam hidung menghasilkan banyak hingus dan cecair jernih akibat proses keradangan. Tapi pengeluaran air mazi pula tiada kaitan dengan keradangan!

Ia lebih kepada tindak balas rangsangan seksual untuk menyediakan salur kencing licin untuk tujuan ejakulasi. Secara kebetulan, pengeluaran air mazi ini berlebihan dan membuatkan individu itu kurang selesa. Keadaan ini boleh membuatkan perasaan teruja seks tadi merudum.

Jadi tidak hairan jika perkara ini dianggap suatu ‘penyakit’ oleh pengamal perubatan. Mengenai perawatan ‘masalah’ resdung zakar ini, tiada pendekatan yang boleh dianggap sesuai atau rawatan tepat atau rawatan yang boleh menyelesaikan masalah ini.

Ubat resdung yang biasa digunakan individu yang kena resdung hidung tidak seratus peratus sesuai. Malah untuk sebilangan besar daripada mereka yang mengamalkan ubat itu, mereka mengantuk dan ereksi mereka kurang mantap dan air mazi masih keluar, tapi tidak banyak seperti sebelum memakan ubat.

Ubat resdung mengurangkan kemasukan darah dalam mukosa salur kencing dan juga otot zakar dan untuk lelaki yang memang ada masalah atau gangguan pencapaian ereksi yang padat, akan mengalami masalah ereksi jika memakan ubat resdung hidung itu.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

KAEDAH SELAMAT RANCANG KELUARGA (SAKIT TUAN)

SAYA berumur 29 tahun dan sudah berkahwin 3 tahun namun masih belum bersedia untuk menimang cahaya mata. Saya kerap mengadakan hubungan seks dua kali seminggu. Untuk pengetahuan doktor isteri saya kerap mengambil pil Postinor 2 selepas kami melakukan hubungan seks untuk mengelak mengandung.

Apakah kesan terhadap isteri saya yang kerap mengambil ubat berkenaan? Adakah ia akan mendatangkan kesan kepada rahim dan bayi dalam kandungan isteri saya jika kami ingin memiliki anak pada tahun hadapan?

Ingin Bertanya
Kuala Lumpur

ANDA dan pasangan merancang keluarga dengan menggunakan pil yang khusus untuk merancang keluarga secara kecemasan. Kaedah ini dikenali sebagai kaedah kontraseptif 'Emergency' biasanya dikhususkan kepada pasangan kelamin yang jarang melakukan hubungan seks.

Ia membabitkan pasangan perempuan memakan pil yang dimaksudkan itu dalam masa 24 jam selepas bersetubuh.

Jika anda kerap melakukan hubungan seksual dengan pasangan anda, cara ini tidak digalakkan kerana hormon dalam pil yang isteri anda makan itu boleh membuatkan putaran haid isteri tidak teratur.

Putaran haid boleh menjadi cepat atau lewat. Jika terlewat, pasti anda berasa khuatir jika kehamilan berlaku. Cara kaedah merancang keluarga dengan Postinor 2 ini menghalang kehamilan ialah ia boleh melewatkan ovulasi atau jika ovulasi berlaku, ia dapat mengganggu perjalanan sperma dan telur.

Jadi, ada kemungkinan kehamilan boleh berlaku sebanyak 5%. Selain itu tiada apa-apa masalah dan anda tidak perlu risau.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

BAKAR 100 KALORI (SAKIT TUAN)

BUKAN seorang dua lelaki mengadu kepada saya mereka sering ‘tewas’ ketika bersama isteri. Kebanyakan mereka mengalami masalah cepat klimaks, gagal mengekalkan ereksi dan zakar sukar mahu mencapai ereksi. Ingin saya tekankan di sini, hubungan kelamin ialah aktiviti fizikal yang lasak.

Dengan hanya melakukan adegan pemanasan sahaja ia mampu membakar 100 kalori dan jika aktiviti itu diteruskan untuk satu tempoh yang panjang, sudah pasti ia memenatkan.

Jika teruja seks, degupan jantung meningkat dan tahap pernafasan juga meningkat. Malahan, semua otot badan akan bergerak dan berfungsi, semua ini memerlukan tenaga.

Pada awal perkahwinan, menjadi perkara biasa untuk kedua-dua pasangan muda beraksi dengan cergas. Tenaga yang didapati ialah daripada makanan yang ketika itu memang amat menyelerakan. Jadi tidak hairan jika pada awal perkahwinan semua sistem yang mengawal fungsi syahwat akan bergelora dan aktif.

Perlu diingat, ketika melakukan seks, pasangan tidak kira lelaki atau perempuan perlu dalam keadaan yang baik, sihat dan tidak tertekan.

Lumrah pada zaman ini, pasangan suami isteri akan bekerja. Jadi, ketika mahu melakukan hubungan seks pada waktu malam, mereka sering kali berada dalam keadaan penat.

Jika penat atau letih, ia akan mengganggu fungsi syahwat baik lelaki dan perempuan. Lelaki akan lebih cepat terasa kesannya apabila gagal mencapai ereksi atau tidak tahan lama. Tekanan atau ‘stress’ juga memainkan faktor penting dalam hubungan suami isteri.

Sudah pasti, dalam keadaan itu fungsi tubuh badan menjadi lemah atau kurang bertenaga. Jika anda memaksa diri untuk beraksi seksual dengan pasangan sudah tentunya sistem fizikal yang kurang aktif akibat kepenatan menunjukkan kelemahannya. Malah, tidak kurang juga lelaki yang gagal melakukan tusukan faraj kerana zakar gagal ereksi.

Tip daripada saya, elakkan beraksi selepas melakukan ibadah atau sebelum tidur. Anda perlu tahu kekuatan badan dan cara serta masa terbaik untuk bersama pasangan. Ini bukan saja untuk kaum lelaki namun ia akan memberikan keseronokan kepada isteri.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

JENIS, SAIZ BERBEZA (SAKIT TUAN)

SAYA menghadapi masalah zakar yang seakan-akan terkulai walaupun saya boleh melakukan ejakulasi. Saya ingin bertanya adakah ia tanda mati pucuk dan adakah sperma yang keluar itu kemungkinan tidak subur kerana bilangan yang sedikit?

Saya juga mudah untuk ejakulasi. Sebenarnya, saya melakukan kesilapan iaitu sering onani sejak di bangku sekolah menengah lagi. Sekarang saya berusia pertengahan 20-an. Kebimbangan ini mula timbul apabila saya akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi.

Abdul
Melaka

SEBILANGAN lelaki mempunyai zakar yang jenis berjuntai, seakan-akan terkulai yang kemudiannya kelihatan besar ketika erek dan sebilangan lelaki yang lain pula mempunyai zakar jenis kecil dan kecut ketika tidak erek dan membesar dan memanjang ketika erek.

Anda mungkin daripada golongan lelaki yang mempunyai zakar yang berjuntai atau kelihatan terkulai. Ini bukan petanda mati pucuk atau apa-apa yang menandakan masalah. Anda masih muda dan mustahil mengalami masalah ereksi atau cepat klimaks kerana anda belum berkahwin lagi dan belum bersama dengan pasangan anda.

Kebanyakan lelaki yang pernah melakukan onani suatu ketika dahulu dan berhenti mendapati ereksi mereka mula meragam dan zakar mereka kelihatan kecil atau 'terkulai'. Ia kelihatan kecil dan tak bermaya kerana tidak dirangsang lagi. Tapi jika amalan onani itu diteruskan takut akan berlaku masalah lain pula.

Jadi apa yang anda lakukan itu, iaitu tidak lagi meneruskan amalan onani memang baik. Anda perlu yakin kepada kesihatan seksual anda.

Anda sihat dan mengalami ereksi pagi itu petanda yang fungsi zakar anda sempurna. Anda perlu amalkan gaya hidup sihat. Jaga makanan dan pastikan berat badan anda kekal ideal.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

TIDAK MAHU ISTERI KECEWA (SAKIT TUAN)

SAYA lelaki berumur 24 tahun. Sejak berumur 18 tahun saya sering beronani tetapi tidak mengamalkan seks bebas. Kini, saya mengalami masalah untuk aktiviti seks kali pertama sehinggakan sering terpancut awal. Selain itu, saya juga mengambil masa yang lama untuk menegangkan zakar walaupun selepas dirangsang oleh pasangan.

Malah, zakar saya juga kadangkala mengendur selepas penetrasi secara tiba-tiba. Apakah masalah yang saya hadapi kini?

Jika boleh, saya mahukan penyelesaian terhadap masalah saya kerana saya baru saja berkahwin dan tidak mahu isteri saya berasa kecewa.

ASIM
Kelantan

HAID TAK TERATUR (SAKIT PUAN)

SEJAK awal perkahwinan, haid saya normal dan sebulan selepas itu saya hamil, namun apabila mencecah usia dua bulan, saya keguguran. Saya sangka pada awal kehamilan tidak perlu melakukan cucian dan selepas keguguran, haid saya tidak normal.

Kadang-kadang hampir empat atau lima bulan saya tidak datang haid dan apabila berjumpa doktor, dia mengatakan itu masalah biasa.

Disebabkan haid tidak normal, seorang rakan mencadangkan supaya saya mengambil ubat Norcolut dan selepas itu, haid datang seperti biasa, tetapi darah yang keluar itu berwarna merah cair.

Saya mahu hamil lagi dan saya pun mengambil ubat Clomid. Saya makan waktu haid selama lima hari berturut-turut, tetapi saya tidak didatangi haid manakala perut saya kerap mengalami sakit keterlaluan.

Apabila dilakukan pemeriksaan UPT, hasilnya negatif. Saya ingin tahu, adakah keadaan ini akibat tidak melakukan cucian selepas keguguran sebelum ini?

Adakah saya masih berpeluang untuk hamil lagi? Adakah saya perlu melakukan cucian berkenaan walaupun sudah lama keguguran?

Siti Hawa,
Gombak, Selangor

2 TAHUN KAHWIN BELUM ADA ANAK (SAKIT PUAN)

SAYA berusia 28 tahun dan suami, 29 tahun. Kami sudah berkahwin selama dua tahun, tetapi masih belum dikurniakan anak.

Kitaran haid saya normal setiap bulan cuma saya ada beberapa soalan. Adakah warna darah haid yang gelap coklat kehitaman adalah normal?

Saya pernah lumpuh satu badan suatu ketika dulu, jadi adakah ia menyukarkan saya untuk mendapatkan cahaya mata?

Siti,
Kuala Lumpur

KEDUDUKAN RAHIM TERBALIK (SAKIT PUAN)

SAYA berusia 23 tahun dan masih belum berkahwin. Saya pernah mengalami sakit pinggang yang begitu teruk tahun lalu. Hasil pemeriksaan doktor menyatakan saya tidak mengalami sebarang simptom penyakit.

Disebabkan tidak berpuas hati dengan jawapannya, saya berjumpa tukang urut dan dimaklumkan peranakan saya jatuh. Tukang urut itu mengurut peranakan saya dan selepas itu kitaran haid mula tidak teratur serta sukar untuk membuang air besar.

Pada awal tahun ini, saya berjumpa seorang lagi tukang urut (refleksologi dan akupuntur). Tujuan asal hanya untuk mengurut badan, tetapi tanpa memberitahu, dia menyatakan kedudukan peranakan saya terbalik dan tidak seperti kedudukan asal.

Dia juga memberitahu, sepatutnya kedudukan peranakan berbentuk seperti cawan dan tidak boleh diusik sekiranya pesakit masih anak dara kerana bahagian itu terlalu sensitif. Selepas itu, dia membetulkan semula kedudukan peranakan dan kitaran haid kembali teratur serta tiada masalah untuk membuang air besar.

Sebagai wanita, saya bimbang dengan apa yang dimaklumkan tukang urut berkenaan. Saya bimbang sekiranya saya tidak boleh hamil kerana peranakan saya pernah ‘diusik’ memandangkan saya akan berkahwin tidak lama lagi. Saya juga risau sekiranya peranakan saya rosak jika tidak mendapat pemeriksaan awal. Saya berharap doktor dapat memberi pandangan mengenai hal ini.

Norasikin,
Selangor

DARAH HAID BERKETUL-KETUL (SAKIT PUAN)

SAYA mengalami haid tidak teratur iaitu kadang-kadang lambat seminggu, kadang-kadang lambat beberapa hari.

Haid saya juga lambat bulan ini, cuma saya risau kerana haid yang banyak berbanding kebiasaan. Kali ini ia keluar berketul-ketul, adakalanya banyak, adakalanya sedikit.

Saya sebenarnya tidak pernah mengalami keadaan sedemikian dan baru-baru ini, saya pula tergelincir di tangga. Adakah ia antara punca keadaan haid saya ini?

Yang Risau,
Kuala Lumpur

KEPUTUSAN HAMIL PALSU (SAKIT PUAN)

SUDAH dua bulan isteri saya tidak didatangi haid selepas haid terakhir iaitu pada Oktober. Sebelum dia didatangi haid terakhir itu, kami ada bersama.

Baru-baru ini, dia melakukan ujian kehamilan dan disahkan tidak hamil. Adakah kitaran haid lambat disebabkan masalah kesihatan? Adakah saya perlu merujuk kepada klinik untuk pemeriksaan lanjut?

Ween,
Kuala Lumpur

SAKIT PINGGANG KETIKA SUBUR (SAKIT PUAN)

SAYA berusia 28 tahun dan berkahwin selama setahun tiga bulan. Sehingga kini saya belum hamil dan ingin hamil secepat mungkin.

Untuk pengetahuan doktor, haid saya normal dengan kitaran 30 hari. Setiap kali tiba waktu subur, saya mengalami sakit di bahagian pinggang, kadang-kadang kesakitan itu seakan-akan senggugut.

Adakah ini salah satu tanda ketidaksuburan atau ovari saya bermasalah?

Berapakah anggaran kos rawatan di hospital swasta untuk rawatan kesuburan? Harap doktor dapat membantu.

Nur,
Selangor

JIKA anda ingin hamil secepat mungkin, segera dapatkan bantuan pakar sakit puan kesuburan. Dalam masa setahun mencuba, seramai 85 hingga 90 peratus wanita seusia anda sudahpun hamil. Eloklah anda menjalani pemeriksaan, suami juga perlu menjalani ujian air mani.

Kos pemeriksaan kesuburan bergantung kepada jenis ujian yang dilakukan dan jenis ubat yang diberikan. Caj perundingan dan pemeriksaan ultrabunyi lazimnya hampir sama.

Jenis ujian yang dilakukan sepatutnya tidak secara rutin bagi setiap pesakit. Contohnya, jika sewaktu ultrabunyi pelvis mendapati bilangan kantung telur awal (folikel antral) mencukupi dan kitaran haid pula teratur serta tidak mempunyai simptom berkaitan, saya tidak menyarankan pesakit saya menjalani ujian darah hari ketiga FSH, LH, estradiol, fungsi tiroid mahupun prolaktin kerana kemungkinan besar, keputusannya normal, malah ia hanya menambah kos pesakit.

Bagaimanapun, ini bergantung kepada cara merawat doktor masing-masing.

Ada kemungkinan sakit yang anda alami adalah sakit ovulasi yang dinamakan ‘mittelschmerz’. Tetapi ada juga kemungkinan kadang-kadang anda mengalami pendarahan daripada kantung folikel ovulasi (cyst hemoragik), pembesaran kantung telur ovulasi (cyst luteal) ataupun penyebab lain.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

MASALAH HUBUNGAN INTIM (SAKIT PUAN)

SAYA berumur 26 tahun dan masalahnya, setiap kali bersama suami pasti pendarahan akan berlaku seperti darah haid.

Suami pula mengatakan saya tidak mempunyai lubang faraj untuk dia memasukkan zakarnya. Saya kasihankan suami yang tidak dapat menikmati kepuasan sepenuhnya. Harap doktor dapat membantu.

Idah,
Taman Kenanga, Melaka

KERAP KEJANG BAWAH PERUT (SAKIT PUAN)

KANDUNGAN isteri saya kini sudah memasuki empat bulan dan dia sering berasa kejang di bawah perut.

Apakah punca keadaan ini? Adakah ia menunjukkan tumbesaran bayi? Untuk pengetahuan doktor, ini anak pertama kami dan isteri saya berusia 29 tahun.

Adi,
Kuala Lumpur.

SUDAHKAH
isteri anda mengutarakan perkara ini kepada doktornya sewaktu menghadiri temu janji pemeriksaan antenatal?

Apakah yang diberitahu oleh doktornya selepas melakukan pemeriksaan kandungan? Apakah benar keadaan kejang terbabit berlaku dan adakah doktor juga dapat mengesannya sewaktu ia berlaku?

Adakah ia sebenarnya rahim atau kandungan saja? Pada usia kandungan empat bulan, rahim sudah pun menaik sehingga ke paras dua jari di bawah pusat. Ini dapat dirasai sebagai suatu bengkak di bahagian tengah pada ari-ari.

Kejang adalah istilah untuk pengecutan otot secara berterusan untuk tempoh berkenaan. Pengecutan otot (bukan kekejangan) mungkin ada dialami wanita sewaktu haid. Ia juga sememangnya dialami wanita hamil sewaktu kandungan memasuki bulan ketujuh (kontraksi Braxton Hicks) dan juga sewaktu kontraksi bersalin. Kadangkala pengecutan boleh berlaku berterusan dalam kes keguguran, kelahiran pramatang atau uri tertanggal (abruotio plasenta).

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

HARAP SEGERA TIMANG ANAK (SAKIT PUAN)

SAYA berusia 21 tahun dan suami saya berusia 23 tahun. Kami sudah hampir setahun berkahwin, tetapi masih belum mempunyai anak.

Suami saya pesakit buah pinggang yang menjalani CAPD (cuci air). Adakah saya berpotensi untuk hamil? Sekiranya ya, adakah kandungan saya kelak berkemungkinan menghadapi sebarang masalah?

Saya dan suami sangat berharap dapat menimang cahaya mata dalam masa terdekat.

Amira,
Selangor.

USIA anda masih muda, berkemungkinan besar anda tidak mempunyai masalah kesuburan bahagian ovari. Bagaimanapun, eloklah anda menjalani pemeriksaan kerana ia tidak semestinya begitu dan bahagian lain juga seperti tiub fallopio dan rahim penting untuk kesuburan wanita.

Adakah suami anda mempunyai masalah melakukan hubungan seks? Sekiranya dia tiada masalah ereksi dan ejakulasi, dia hanya perlu menjalani ujian analisa air mani saja. Jika analisa terbabit normal, ini bermakna tiada masalah, tetapi rawatan semudah IUI dapat meningkatkan peratus kehamilan sebanyak empat hingga lima kali ganda berbanding sekarang, itupun jika tiub fallopio anda normal.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

HAID MERAH JAMBU LEBIH 7 HARI (SAKIT PUAN)

SAYA berusia 47 tahun dan mempunyai empat anak yang dilahirkan secara normal. Sejak akhir-akhir ini, selepas habis haid (minggu lalu), setiap hari saya didatangi haid melebihi tujuh hari.

Apa yang menjadi keraguan apabila darah haid berkenaan berwarna kuning, merah jambu serta coklat cair yang membuatkan saya mengenakan tuala wanita setiap hari kerana darah keluar terlalu banyak dalam masa sehari.

Apakah punca keadaan ini? Adakah ia mendatangkan risiko pada diri saya? Adakah darah itu petanda saya bakal menghadapi menopaus?

Zaitun,
Shah Alam, Selangor.

ANDA disarankan segera menjalani pemeriksaan pakar sakit puan. Masalah berkaitan haid dalam kumpulan usia anda boleh berpunca daripada beberapa sebab sama ada punca gangguan hormon, ketumbuhan biasa ataupun sebaliknya ketumbuhan berbahaya.

Anda mungkin perlu menjalani ujian atau prosedur tambahan untuk memastikan ia bukan disebabkan oleh ketumbuhan berbahaya.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

KELIRU PENGAMBILAN PIL PERANCANG (SAKIT PUAN)

SAYA ada sedikit kemusykilan mengenai pengambilan pil perancang. Sekiranya saya terlupa untuk mengambil pil pada satu malam dan pada malam yang sama saya bersama suami, adakah sebarang kemungkinan saya hamil?

Untuk pengetahuan doktor, saya baru saja melahirkan anak keempat pada Ogos lalu.

Noriana,
Kuala Lumpur.

BENAR. Kemungkinan hamil sememangnya ada terutama jika anda terlupa mengambilnya melebihi 12 jam.

Untuk panduan am, pengguna pil perancang memerlukan komitmen yang tinggi kerana mereka perlu ingat untuk mengambilnya pada setiap hari yang dijadualkan dan pada waktu yang sama.

Sebagai panduan am juga, sekiranya terlupa mengambilnya, keberkesanannya mungkin masih ada jika dia segera mengambilnya apabila teringat dengan syarat ia tidak melebihi 12 jam. Kemudian, pengambilan pil terbabit disambung semula seperti biasa.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

BIMBANG ANAK ADA KEPUTIHAN (SAKIT PUAN)

SAYA mempunyai anak perempuan berusia lapan tahun. Akhir-akhir ini saya perhatikan ada keputihan dan kekuningan di seluar dalam anak saya.

Adakah ini perkara normal atau jangkitan kuman memandangkan usia anak saya baru lapan tahun?

Saya juga ingin tahu sama ada perkara ini tanda awal anak saya mengalami proses untuk datang haid.

Marina,
Kuala Lumpur

BAWA
anak anda berjumpa pakar sakit puan untuk pemeriksaan. Ada beberapa kemungkinan sama ada jangkitan kuman, perubahan hormon, kemasukan benda asing dan seumpamanya.

Jika ia disebabkan jangkitan kuman, kultur swab yang diambil pada bahagian berhampiran bukaan faraj mungkin ada menunjukkan hasil.

Doktor juga dapat memeriksa bahagian luar kemaluan anak. Sebelum gadis didatangi haid, lazimnya berlaku perubahan pada pertumbuhan payudara terlebih dulu. Adakah anak anda sudah mengalami perkembangan sedemikian?

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

MASALAH KETIKA HUBUNGAN INTIM (SAKIT PUAN)

SAYA seorang isteri berusia 26 tahun. Usia perkahwinan baru mencecah 10 bulan dan sehingga kini masih dara. Saya mempunyai masalah kurang air ketika bersama suami menyebabkan kami sukar melakukan hubungan suami isteri.

Setiap kali bersama, saya berasa sakit dan tidak selesa. Saya ingin meminta pendapat doktor cara mengatasi masalah ini supaya tidak berlarutan.

Ameena,
Selangor

TAK MAHU SUSU BADAN (SAKIT PUAN)

SAYA baru melahirkan anak pada pertengahan September lalu secara pembedahan. Semasa dalam pantang, lima kali saya dimasukkan ke wad hospital yang sama tempat saya bersalin. Ini kerana luka pembedahan saya terbuka dan dijangkiti kuman dari bilik unit rawatan rapi.

Sepanjang saya dimasukkan ke wad, saya membawa anak ke hospital dan cuma kali terakhir saya tinggalkan bayi bersama ibu kerana saya tidak mampu menjaganya dengan baik akibat sakit di tempat luka dan demam.

Saya juga mengalami kemurungan dan emosi tidak stabil hingga menyebabkan perlu berjumpa kaunselor. Sepanjang di hospital, saya diberi antibiotik kerana disangka demam itu berpunca daripada jangkitan kuman dalam rahim.

Selepas pulang ke rumah, apabila usia anak cukup sebulan, dia tidak mahu menyusu badan sampai sekarang. Bayi saya hanya merasa puting dengan lidah dan selepas itu terus menjerit tidak mahu susu badan. Adakah ia berpunca daripada pengambilan antibiotik menyebabkan susu badan berasa payau?

Bagaimana mahu memaksa bayi saya ini menyusu badan semula? Untuk pengetahuan doktor, saya memang ada memberi susu botol ketika usianya empat hari kerana pada waktu itu susu saya sangat kering dan tidak sempat untuk dipenuhkan semula menyebabkan saya tiada pilihan.

Bayi saya menangis kerana dahaga susu dan saya pula tidak cukup susu. Saya pelik kerana doktor marahkan saya kerana menurut teori mereka, susu badan tidak pernah tidak cukup. Saya rasa mungkin hal itu berlaku kepada sesetengah wanita saja kerana susu badan saya kosong pada malam hari sehingga payudara lembik.

Harap doktor dapat memberi pandangan.

Yang risau,
Kuala Lumpur

KEBANYAKAN hospital kini bertaraf hospital rakan bayi. Terdapat kumpulan kakitangan yang terlatih untuk membimbing dan menggalakkan ibu menyusu badan.

Anda boleh bertanya dan mendapatkan tunjuk ajar daripada mereka. Jika masalah anda membabitkan kurang jumlah air susu dihasilkan, ia memerlukan kesungguhan dan kesabaran untuk menghasilkannya dalam kuantiti yang lebih semula. Beberapa teknik manual boleh diajar oleh kumpulan berkenaan.

Pada masa sama, cuba galakkan bayi menyusu dengan menggunakan payudara anda sebelum menyuap susu yang diambil daripada bekas takungan dengan menggunakan sudu (teknik ini boleh diajar oleh kumpulan penyusuan).

Apabila air susu sudah mencukupi, bolehlah anda terus menggunakan teknik menyusu badan dan kemudiannya bertukar kepada suapan menggunakan sudu apabila bayi menolak penyusuan badan. Ini bermakna anda perlu bersedia dengan susu badan yang sudahpun diperah ke dalam cawan atau bekas.

Elakkan penggunaan botol kerana ini akan tambah menyukarkan bayi untuk menyusu badan.

Masalah ‘blues’ selepas bersalin ada dialami oleh kebanyakan wanita tetapi pada tahap yang rendah serta pulih dalam masa dua hingga tiga minggu. Eloklah anda mendapatkan bantuan pakar seperti pakar perbidanan ataupun pakar psikiatri sebelum ia bertukar menjadi tahap kemurungan ataupun lebih teruk lagi, psikosis.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

PENDARAHAN DI AWAL MENGANDUNG (SAKIT PUAN)

SAYA baru saja melahirkan bayi pramatang ketika usia kandungan lima bulan. Bayi saya itu dapat bertahan dua hari saja dan ini kandungan pertama saya.

Untuk pengetahuan doktor, di awal kandungan saya mengalami turun darah seperti haid dan selepas pemeriksaan, kandungan dalam keadaan baik dan doktor memberikan ubat menguatkan rahim.

Pada bulan kedua, berlaku lagi keadaan turun darah, diikuti dengan keadaan serupa dan terus bersalin. Saya ingin tahu cara untuk mengelakkan kelahiran bayi pramatang bagi kandungan seterusnya. Doktor menasihatkan supaya merancang kandungan pada tahun depan. Apakah persediaan yang harus saya lakukan?

Afia,
Kuala Lumpur

ADAKAH bayi yang dilahirkan didapati normal? Bagi mereka yang mengalami masalah pendarahan sedemikian, antara kemungkinan yang perlu difikirkan adalah sama ada janin terbabit normal atau sebaliknya.

Ada keadaan di mana keabnormalan hanya diketahui melalui ujian ultrabunyi secara mendalam dan ujian kromosom saja kerana secara luaran ia masih menunjukkan sifat normal tetapi mempunyai masalah dalaman seperti jantung, usus dan seumpamanya.

Anda perlu mengambil pil asid folik, tidak salah mengamalkannya dari sekarang. Ujian saringan kencing manis juga eloklah dijalani. Pengambilan pemakanan berkhasiat di samping suplemen multivitamin juga penting. Apabila hamil, anda mesti memaklumkan sejarah masalah kandungan pertama kepada doktor anda.

Beliau mungkin menambah langkah berjaga-jaga, termasuklah mengukur panjang saluran serviks (pangkal rahim) secara ultrabunyi trans-vaginal serta mengambil tindakan ‘menjahit’ serviks apabila kehamilan memasuki empat bulan.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

ENAM TAHUN TAK HAMIL (SAKIT PUAN)

SUDAH enam tahun saya berumahtangga, tapi sukar untuk hamil.

Kitaran haid saya baik dan dulu, saya pernah menghidap tibi, tetapi tidak serius.

Saya hanya mengambil ubat tibi selama setahun. Adakah pengambilan ubat itu menyebabkan saya sukar hamil hingga kini?

Selain itu, suami saya mengalami kegatalan pada alat sulitnya dan kadang-kadang terasa sakit semasa kencing dan melakukan hubungan kelamin.

Harap doktor dapat membantu.

Ain
Kuala Lumpur

ANDA sepatutnya sudah pun mendapatkan pemeriksaan pakar sakit puan berhampiran. Terdapat beberapa penyebab masalah kesuburan pada lelaki dan perempuan.

Penyakit tibi, sekiranya membabitkan peradangan dalam rahim (endometritis tibi) ataupun pelvis, juga boleh menyebabkan masalah kesuburan. Tidak semestinya pernah menghidap tibi paru-paru juga akan menghidap tibi pelvis atau endometritis.

Peluang kehamilan tanpa bantuan selepas dua tahun mencuba lazimnya hanya dua hingga empat peratus saja. Ini bukan saja berkait dengan penambahan usia wanita, tetapi mungkin juga disebabkan oleh perkembangan penyakit yang menjadi semakin kronik.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

HAID TAK TERATUR (SAKIT PUAN)

SAYA berusia 25 tahun dan mendirikan rumah tangga selama lima tahun. Saya mempunyai seorang anak berusia tiga tahun dan sejak beberapa bulan ini, saya mengalami masalah haid tidak teratur.

Haid saya mulai tidak teratur pada April lalu. Selama dua bulan saya tidak didatangi haid. Saya membuat pemeriksaan dan doktor mengesahkan yang saya tidak hamil.

Saya mula datang haid lagi pada 2 Julai dan berlanjutan hingga 17 Ogos lalu. Itupun selepas saya makan ubat berhenti pendarahan yang diberikan doktor.

Pada 17 September, saya didatangi haid sehingga 30 September. Ia terhenti beberapa hari dan haid datang semula pada 11 Oktober lalu sehinga kini. Darah yang keluar dalam kuantiti yang banyak dan berketul-ketul.

Saya terpaksa menukar tuala wanita tiga atau empat kali sehari. Cuma dalam beberapa hari ini darah haid saya keluar sedikit dan hanya perlu memakai panty liner. Kadang-kadang darah tidak keluar langsung, tetapi apabila saya mengelap dengan tisu, ada darah melekat pada tisu dalam bentuk berketul-ketul.

Saya tertekan memikirkan masalah ini. Saya harap doktor dapat membantu saya.

Neesa,
Selangor

DI negara kita kini semakin ramai doktor termasuk doktor pakar sakit puan. Anda boleh mendapatkan pemeriksaan awal daripada berterusan buntu atau rasa tertekan.

Masalah pendarahan haid pada usia anda lazimnya sama ada disebabkan komplikasi kehamilan atau keguguran, ketumbuhan biasa seperti polip ataupun gangguan hormon. Ketiga-tiga kumpulan ini mudah dirawat sama ada secara ubat-ubatan ataupun secara pembedahan.

Bagaimanapun, corak pendarahan haid sedemikian juga boleh disebabkan oleh penyakit serius yang boleh merebak sekiranya lewat ditangani. Justeru atas sebab inilah, anda dinasihatkan mendapatkan pemeriksaan doktor.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

TIGA KALI BERSALIN PRAMATANG (SAKIT PUAN)

SAYA sudah tiga kali bersalin pramatang iaitu ketika kandungan mencecah 24 hingga 28 minggu. Anak saya dapat bertahan selama seminggu saja.

Apakah punca keadaan ini? Adakah saya berpeluang untuk mendapat zuriat yang sihat seperti orang lain?

Lynn,
Kuala Lumpur

SAYA pasti anda sudah pun menjalani ujian berkait dengan bersalin pramatang.

Memandangkan ketiga-tiga kelahiran terbabit berlaku dalam trimester kedua (14 hingga penghujung 27 minggu), ada kemungkinan ia berkait dengan serviks (pangkal rahim) yang lemah. Keadaan ini dinamakan inkompetens serviks.

Ia lebih kerap berlaku pada wanita yang pernah menjalani prosedur membabitkan trauma kepada serviks seperti prosedur D&C dan seumpamanya.

Lazimnya usia kandungan sewaktu kelahiran kedua bertahan lebih lama sedikit berbanding kandungan pertama, kandungan ketiga pula dapat bertahan lebih lama sedikit berbanding kandungan kedua.

Jika benar, anda memerlukan prosedur menahan serviks daripada membuka lebih awal; sama ada secara jahitan yang dinamakan cerclage ataupun secara penggunaan alat khas menjerutnya. Alat ini akan dibuka beberapa minggu sebelum jangkaan bersalin.

Selain inkompetens serviks, terdapat juga kemungkinan lain termasuk penyakit dalaman ibu dan jangkitan kuman tertentu. Dapatkan maklumat daripada doktor yang menjaga kelahiran kedua dan ketiga anda kerana kandungan keempat juga mempunyai risiko kelahiran pramatang.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

DARAH TAK HENTI KELUAR (SAKIT PUAN)

SAYA mempunyai seorang anak gadis berusia 12 tahun. Anak saya mula datang haid pada 12 Ogos 2013.

Perkara yang amat merunsingkan saya apabila darah haid anak saya masih belum berhenti sehingga kini. Saya dimaklumkan darah haidnya keluar sedikit-sedikit.

Apakah yang perlu saya lakukan untuk membantu mengatasi masalah anak saya ini?

Razamah,
Petaling Jaya, Selangor

GADIS yang baru didatangi haid boleh mempunyai masalah sedemikian akibat hormon yang masih belum teratur. Ini lebih-lebih lagi jika dia mengalami stres, lazimnya stres peperiksaan atau berkaitan dengan perpindahan persekolahan.

Jika pemeriksaan doktor mendapati dia tidak mempunyai masalah lain berkait dengan sakit puan mahupun penyakit hormon lain, usahlah puan bimbang.

Doktor mungkin akan menasihatkan anak puan untuk mengambil pemakanan berkhasiat ataupun memberikannya suplemen zat besi bagi menampung kekurangan darah akibat haid berpanjangan.

Dia juga eloklah minum air mencukupi. Kadangkala, doktor akan memberikan pil hormon menyerupai hormon perancang keluarga bagi mengatur semula haidnya.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

KANAN BENGKAK, KIRI TERSUMBAT (SAKIT PUAN)

SAYA berumur 28 tahun dan berasal dari Ipoh, Perak. Usia perkahwinan saya hampir mencecah dua tahun.

Pada usia perkahwinan ini, saya masih belum dikurniakan cahaya mata. Pada awal perkahwinan dulu saya pernah mengalami keguguran seawal dua bulan kandungan. Saya juga pernah menjalani prosedur D&C dan sekarang saya mengikuti program di LPPKN.

Saya dan suami bercadang untuk menjalani rawatan permanian berhadas (IUI). Tetapi selepas menjalani HSG, doktor mengesahkan tiub kanan saya hydrosalpinx dan sebelah kiri pula tersumbat.

Jadi apa yang patut saya lakukan? Apakah kebarangkalian untuk saya hamil secara semula jadi? Saya masih dalam dilema dan tekanan yang teramat sangat. Faktor persekitaran yang dikelilingi ibu muda menjadikan keadaan saya lebih stres. Apakah rawatan yang perlu saya terima? Adakah keadaan saya berbahaya?

Izan
Kuala Lumpur

HYDROSALPINX adalah nama lain bagi tiub bengkak akibat kandungan cecair di dalamnya, lazimnya ia disebabkan oleh jangkitan atau peradangan pelvis seperti jangkitan kuman Chlamydia.

Selain itu, lazimnya tiub yang mengalami hydrosalpinx juga tersumbat di penghujungnya sehingga menyebabkan cecair berkumpul dan menjadikannya bengkak (jika tidak tersumbat di penghujungnya, cecair ini boleh keluar melalui penghujung tiub dan menyebabkan jangkitan dalam ruang pelvis).

Hydrosalpinx juga dapat dilihat melalui imbasan ultrabunyi trans-vaginal. Melalui HSG, dapat diketahui tiub hydrosalpinx tersumbat (di penghujungnya). Sekiranya benar tiub hydrosalpinx turut tersumbat, maka peluang hamil dengan IUI tiada kerana tiub kiri turut tersumbat.

Anda memerlukan rawatan secara IVF kerana IVF tidak memerlukan tiub yang utuh. Di LPPKN juga ada rawatan secara IVF dan saya percaya doktor anda sudah mencadangkan rawatan yang serupa.

Namun, kajian menunjukkan hydrosalpinx menurunkan peratus kehamilan IVF sehingga 50 peratus sekiranya tiub terbabit tidak ditutup pangkalnya. Ini kerana, cecair hydrosalpinx boleh merosakkan embrio, kawasan implantasi dalam rahim dan seumpamanya.

Pilihan lain adalah pembedahan membuka tiub fallopio. Walaupun peratus berjaya membuka agak tinggi, namun peratus kehamilan selepas itu masih rendah. Ini mungkin kerana keadaan dalaman ruang tiub yang sudah rosak sehingga menjadi tidak ‘aktif’ mengambil telur, menggerakkan sperma serta embrio dan menghasilkan cecair nutrisi untuk embrio walaupun kini sudah tidak tersumbat.

Selain itu, eloklah juga anda menerima rawatan ubat jangkitan pelvis.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

SEMBELIT TERUK KETIKA BERPANTANG (SAKIT PUAN)

SAYA berusia 25 tahun dan baru saja melahirkan anak pada Jun lalu.

Saya musykil kerana dalam tempoh berpantang, saya mengalami masalah sembelit dan sampai sekarang saya mengalami masalah buasir yang teruk.

Saya mengalami masalah selepas membuang air besar iaitu rasa yang amat sakit selepas membuang air.

Bermacam ubat saya ambil serta saya sudah mengunjungi klinik, tapi masalah tetap sama. Sampai ke satu tahap saya terpaksa mengambil ubat tahan sakit setiap kali selepas membuang air.

Saya juga ingin meminta bantuan doktor membabitkan haid saya kali ini yang sangat lama. Ia berlarutan lebih sebulan, tapi dalam kuantiti yang sedikit.

Musykil,
Seri Kembangan, Selangor.

KEBIASAANNYA buasir tidak menyebabkan kesakitan kecuali jika ia sudah mencapai tahap gangrene. Mungkin anda mengalami keadaan yang dinamakan fisur anus apabila najis yang keras menyebabkan luka belahan kecil pada bukaan dubur. Mungkin juga ia ada kaitan dengan trauma kelahiran dulu.

Adakah anda mengalami koyakan teruk sehingga ke arah belakang dan membabitkan kawasan dubur? Sembelit juga eloklah ditangani. Pemakanan berserat tinggi dan meminum air yang mencukupi dapat membantu mengelakkan sembelit.

Berkenaan haid berpanjangan, adakah anda mempunyai masalah serupa sebelum hamil dulu? Adakah anda mengamalkan pemakanan ubat atau produk tertentu yang sebenarnya mempunyai hormon? Jika anda sedang mengamalkan ubat berhormon bagi tujuan perancangan keluarga pula, adakah anda kerap terlupa mengambilnya atau mengambilnya pada waktu yang tidak menentu? Adakah anda mempunyai sejarah keluarga berpenyakit berbahaya?

Eloklah anda berjumpa doktor untuk mencari puncanya. Pendarahan berpanjangan juga boleh menjadikan anda tidak bertenaga akibat kekurangan darah.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

PANTANG DISENTUH MESTI GELI (SAKIT PUAN)

ISTERI saya seorang penggeli, apabila disentuh saja dia mesti berasa geli. Bagaimanakah untuknya mengurangkan rasa geli ini?

Riz
Kuala Lumpur.

IA bergantung kepada tahap keadaan isteri anda itu. Sekiranya ia memberi kesan kepada hubungan peribadi terutama antara anda berdua, bawalah dia berubat.

Secara profesional, seeloknya isteri anda mendapatkan panduan daripada pakar psikiatri kerana ini bidang mereka. Isteri anda akan dilatih teknik nyah sensitif secara berperingkat.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

3 TAHUN BELUM DIKURNIA ZURIAT (SAKIT PUAN)

SAYA sudah berkahwin hampir tiga tahun dan masih belum dikurniakan cahaya mata.

Saya mengalami masalah haid yang lewat sejak sebelum berkahwin lagi, paling lewat pun tidaklah sampai satu atau dua bulan.

Selepas berkahwin, haid saya bertambah lewat dan apabila saya membuat ujian air kencing, keputusannya negatif.

Pada masa sama, kadangkala keluar keputihan dan saya mengalami kegatalan. Apabila gatal saya hanya basuh dengan air suam. Apakah nasihat doktor?

Jue,
Perak.

TEMPOH
menunggu tiga tahun dan haid yang jarang-jarang kitarannya adalah dua petanda mungkin anda mempunyai masalah kesuburan. Anda sepatutnya sudah pergi berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan kesuburan.

Masalah keputihan tidak semestinya berkait dengan kesuburan. Lazimnya masalah keputihan dan kegatalan disebabkan oleh jangkitan kuman, ia mudah diubati cuma kadangkala ia berulang dan memerlukan rawatan ulangan.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

HAID LEWAT TIGA BULAN (SAKIT PUAN)

SAYA sudah lewat haid selama tiga bulan iaitu kali terakhir pada 7 Julai.

Baru-baru ini saya ada membuat pemeriksaan di klinik swasta dan diberitahu saya mempunyai PCOS. Saya ingin tahu mengenai kos rawatan di hospital kerajaan. Bagaimanakah bentuk rawatan dan kos perbelanjaannya? Saya kini tinggal di Meru, Klang.

Saya dan suami sudah berkahwin hampir setahun dan kami memang teringin untuk mendapat zuriat.

Gadis gelisah,
Meru, Klang

BENARKAH anda mempunyai PCOS? Adakah ini kali pertama anda mempunyai haid yang lewat ataupun adakah anda kerap mengalaminya sebelum ini? Sudahkah doktor anda mengenepikan kemungkinan penyakit lain yang juga memberikan kesan serupa iaitu haid tidak teratur?

Jika benar anda mempunyai PCOS, apakah komplikasi PCOS yang telah anda hadapi, selain haid tidak teratur? Adakah anda juga menjalani pemeriksaan mengesan kompikasi berkaitan PCOS? Bagaimanakah pula dengan berat badan anda, adakah anda termasuk dalam kategori obes ataupun adakah berat badan anda normal mengikut ketinggian anda?

Rawatan PCOS pelbagai kaedah dan juga mengikut kesan atau komplikasi yang dihadapi. Ia berlainan mengikut pesakit kerana tidak semua wanita mengalami kesemua kesan berkenaan. Malah, ada wanita yang mempunyai polisistik ovari apabila dilakukan imbasan ultrabunyi, tetapi tidak mengalami sebarang masalah berkaitan komplikasinya.

Jika haid anda tidak teratur atau jarang-jarang disebabkan ovulasi tidak teratur, doktor boleh memberikan anda ubat kesuburan untuk membantu menghasilkan telur matang dan seterusnya ovulasi. Jika doktor hanya memberikan ubat mendatangkan haid sedangkan anda masih mengalami kegagalan pembesaran telur dan ovulasi, maka ia akan kelihatan seolah-olah anda terpaksa bergantung kepada ubat mendatangkan haid itu.

Anda juga harus faham bahawa kegagalan ovulasi bukanlah satu-satunya penyebab masalah kesuburan. Eloklah anda dan suami menjalani pemeriksaan kesuburan secara teratur sekiranya berhasrat. Kos di hospital kerajaan sangat murah berbanding swasta. Namun, anda juga harus faham akan had rawatan yang diberikan kerana ia membabitkan peruntukan perbelanjaan yang banyak pada pihak kerajaan untuk menampungnya.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

PERNAH GUGURKAN KANDUNGAN (SAKIT PUAN)

SAYA bakal berkahwin pada tahun hadapan, namun yang menjadi kebimbangan saya adalah kisah silam saya yang mana saya pernah mengalami keguguran kerana memakan sejenis ubat herba bagi membuang kandungan saya yang ketika itu berusia dua minggu.

Saya akui kisah silam saya pernah melakukan hubungan dengan bekas teman lelaki. Saya sangat menyesal dan meninggalkannya kerana dia tidak mahu bertanggungjawab terhadap kandungan saya sehingga saya sanggup membuang kandungan saya dulu.

Persoalannya, adakah saya tidak boleh mengandung lagi kerana pernah menggugurkan kandungan? Saya pernah membaca wanita yang pernah menggugurkan kandungannya akan mengalami risiko sukar untuk mengandung pada masa hadapan.

Gadis bimbang,
Kuala Lumpur

APA yang anda lakukan adalah pengguguran kandungan, bukannya keguguran. Selain risiko melakukan pengguguran, keguguran yang mungkin (tidak semestinya) menyebabkan masalah kesuburan, anda juga mungkin berdepan dengan risiko lain yang berkait dengan amalan seksual sebelum perkahwinan, lebih-lebih lagi jika anda atau teman lelaki anda mempunyai teman seksual yang lain.

Apabila anda berkahwin kelak dan bercadang untuk terus hamil, bolehlah anda mencuba dahulu kira-kira enam bulan sebelum mendapatkan rawatan kesuburan. Bagaimanapun tidak salah jika anda ingin menjalani pemeriksaan kesuburan dengan lebih awal. Buat masa ini, eloklah anda menjalani ujian pap smear terlebih dulu.

Ini tiada kaitan dengan kesuburan, tetapi ia penting memandangkan anda pernah terdedah kepada hubungan seksual penetratif. Pada masa yang sama sewaktu ujian berkenaan, anda juga bolehlah menjalani ujian pengesanan kuman virus HPV yang berkaitan dengan hubungan seksual.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

KITARAN TIDAK NORMAL (SAKIT PUAN)

SAYA berusia 28 tahun dan berkahwin hampir lapan bulan. Kitaran haid saya selama 28 hingga 35 hari dan haid saya juga tidak banyak iaitu hanya tiga hingga empat hari saja. Adakah keadaan seperti ini normal? Adakah wanita mengalami sebarang masalah untuk hamil kerana mempunyai kitaran haid 35 hari?

Resah,
Kuala Lumpur

KITARAN
haid yang normal adalah di antara 25-35 hari. Segelintir wanita mempunyai kitaran haid yang tepat setiap kali, contohnya setiap 34 hari. Kebanyakan wanita lain pula didatangi haid dalam kitaran yang masih dianggap teratur walaupun ada sedikit perbezaan bilangan hari yang lazimnya tidak melebihi seminggu.

Sebahagian kecil wanita yang mempunyai masalah kesuburan pula mempunyai kitaran haid yang tidak teratur, ia lebih kepada jarang-jarang atau perbezaan kitaran melebihi semingu.

Mempunyai bilangan kitaran haid 35 hari pada setiap kitaran adalah suatu yang normal. Namun anda harus faham bahawa bukan kitaran haid sahaja yang penting untuk membolehkan wanita hamil. Juga, walaupun mempunyai kitaran haid yang tepat lazimnya dianggap subur (mengalami ovulasi), namun ia tidak semestinya begitu dalam setiap kes.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

AIR MAZI BERBAU BUSUK (SAKIT PUAN)

SETIAP kali melakukan hubungan seks bersama suami, air mazi saya mesti berbau busuk. Pada waktu biasa pun contohnya ketika bekerja, air mazi yang keluar sentiasa berbau dan membuatkan saya tidak selesa dengan bau itu.

Suami juga tidak selesa dengan bau air mazi saya ketika kami melakukan hubungan kelamin. Apakah punca keadaan ini? Harap doktor sedia membantu.

Ikin
Selangor

LELEHAN
berbau lazimnya disebabkan jangkitan kuman. Eloklah anda mendapatkan rawatan pakar sakit puan berhampiran. Tidak semua kuman dapat dikenalpasti melalui ujian kultur swab lelehan vagina. Kadangkala petanda jenis jangkitan dapat dikenali melalui ujian pap smear, contohnya jangkitan vaginosis bakteria. Doktor mungkin memberikan anda kombinasi antibiotik untuk beberapa hari.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

HAID TIDAK TERATUR (SAKIT PUAN)

SAYA berusia 26 tahun dan sudah berkahwin. Masalah saya selepas berkahwin, haid saya tidak teratur iaitu semakin lama semakin lewat, daripada seminggu sehinggalah ke tiga bulan. Selepas tiga bulan, saya tekad membuat pemeriksaan dan doktor memberikan pil hormon untuk membetulkan kitaran haid.

Selepas sebulan, saya didatangi haid, tetapi tempohnya agak lama iaitu 10 hari berbanding sebelum ini hanya tujuh hari. Ia keluar sedikit sedikit. Untuk bulan berikutnya, haid saya lewat dua minggu pula.

Saya buntu untuk mencari pakar sakit puan di sekitar Kuala Lumpur dengan bajet yang tidak terlalu besar. Harap doktor dapat memberi nasihat termasuk hospital yang menyediakan kos rawatan berpatutan.

Jannah,
Gombak, Selangor.

ANDA boleh mendapat-kan rawatan di hospital kerajaan atau pusat perubatan universiti di Lembah Klang ini dengan caj minimum untuk pendaftaran saja.

Caj perundingan, pemeriksaan dan ultrabunyi yang dikenakan oleh pakar swasta hampir sama kerana ia mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Persatuan Perubatan Malaysia. Di hospital kerajaan anda tidak perlu membayar caj terbabit.

Berapakah berat anda berbanding ketinggian? Adakah anda mempunyai masalah atau perubahan lain pada tubuh?

Lazimnya apabila wanita lewat haid dan disahkan bukan disebabkan kehamilan, doktor akan memberikan pil berhormon progestin. Ia menyerupai hormon progesteron yang tidak dihasilkan ovari sekiranya tidak berlaku ovulasi (pengeluaran telur). Maka, fasa pematangan lapisan haid menjadi lengkap dan wanita itu akan didatangi haid dalam masa seminggu setelah ia berhenti memakan ubat ini.

Bagaimanapun, kesannya hanyalah sementara dan setakat melengkapkan fasa kitaran haid. Ubat ini tidak merawat masalah ovulasi. Ini menjadikan wanita itu seolah-olah terpaksa bergantung kepada ubat ini untuk menggantikan hormon progesteron yang tidak dikeluarkan oleh ovarinya.

Doktor mungkin akan memberikan anda ubat subur, seeloknya ia dipantau kesannya ke atas pembesaran telur dan pematangan lapisan haid atau endometrium secara semudah menggunakan ultrabunyi.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

GATAL PADA FARAJ SETIAP BULAN (SAKIT PUAN)

SAYA berusia 18 tahun. Saya mengalami masalah gatal pada faraj hampir sebulan. Ini mengakibatkan bengkak pada luar faraj.

Selain itu, kegatalan terbabit turut merebak pada bahagian punggung saya dan saya menggaru kerana tidak tahan lantas ia menyebabkan bengkak yang amat teruk pada punggung saya.

Bagaimanakah cara untuk menghilangkan rasa gatal dan menghilangkan bengkak pada punggung dan luar faraj saya? Saya amat memerlukan bantuan doktor.

Mina,
Kuala Lumpur.

DENGAN keadaan anda kini, eloklah anda mendapatkan pemeriksaan pakar sakit puan. Jangkitan awal yang ringan mungkin kini sudah menjadi jangkitan kronik, malah mungkin sudah ada jangkitan lebih daripada satu kuman.

Dalam keadaan ini, doktor akan memberikan ubat antibiotik dan ubat antikulat am sementara menunggu keputusan ujian kultur kuman. Jika setakat memberikan ubat penahan gatal dan ubat bengkak saja, puncanya (kuman jangkitan) masih boleh terus merebak.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

PELINCIR KURANGKAN KEKERINGAN (SAKIT PUAN)

SAYA berumur 24 tahun dan sudah berkahwin selama enam bulan. Pada awal perkahwinan hubungan kelamin saya dan suami normal, tapi selepas dua bulan, walaupun saya dalam keadaan terangsang, faraj saya kering.

Perkara ini berlanjutan sampai sekarang. Kadang-kadang selepas bersama, zakar suami berasa gatal-gatal dan melecet. Apakah punca keadaan sedemikian?

Pada masa sama, faraj saya sakit dan ruam di sekeliling faraj pula mengambil masa berminggu-minggu untuk hilang.

Risau,
Selangor.

BERKEMUNGKINAN rangsangan yang dialami belum mencukupi. Sukar untuk mengukur rangsangan seksual wanita berdasarkan perasaan saja.

Wanita tidak mengalami ereksi seperti lelaki. Keluar cecair pelincir dari faraj (oleh kelenjar bartholin yang terdapat berhampiran pintu faraj) adalah salah satu petanda wanita sedang mengalami rangsangan walaupun tanpa disedarinya.

Anda boleh menggunakan bantuan pelincir yang boleh didapati di kebanyakan farmasi. Ini dapat mengurangkan kekesatan pada faraj. Jika tidak, geselan zakar boleh mengakibatkan permukaan faraj mudah melecet dan mengalami jangkitan kelak. Anda juga akan terasa pedih atau pijar dan ini kemudiannya menurunkan keinginan anda untuk meneruskan hubungan seksual terbabit.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme