Label

WANITA TERTEKAN SETAHUN KAHWIN BELUM HAMIL (SAKIT PUAN)

SAYA sudah mendirikan rumah tangga selama setahun tetapi masih belum hamil. Umur saya 32 tahun, saya jadi tertekan apabila orang sekeliling bertanya mengenai kehamilan.

Untuk pengetahuan doktor, kitaran haid saya normal dengan berat badan 47 kilogram tetapi setiap kali hendak didatangi haid, saya cuma mengalami kegatalan pada alat sulit dan sedikit keputihan.

Tapi keadaan itu tidak lama cuma sehari sebelum didatangi haid. Selepas itu kegatalan itu hilang. Apa saja yang diberitahu oleh rakan mengenai ubat-ubatan untuk menggalakkan kesuburan sudah saya cuba tetapi masih belum hamil.

Saya semakin risau. Apakah yang menyebabkan saya sukar untuk hamil? Adakah cara lain atau ubat-ubatan untuk meningkatkan peluang saya hamil?

LYZA
Kuala Lumpur

SETELAH setahun, hampir 85 peratus wanita berjaya hamil. Eloklah anda menjalani pemeriksaan kesuburan tanpa menunggu lebih lama lagi kerana pada penghujung tahun kedua, hanya sekitar tujuh peratus daripada kumpulan awal wanita terbabit yang berjaya hamil sendirian.

Kadangkala, ia berpunca daripada sebelah pihak saja sama ada anda ataupun suami, kadangkala ia berpunca daripada kedua-dua pihak.

Hanya 10 peratus pasangan yang didapati tidak mempunyai apa-apa masalah berkaitan. Walaupun anda dan suami mungkin tidak mempunyai masalah dan termasuk dalam golongan 10 peratus itu, teknik mudah seperti inseminasi sperma (IUI) dapat meningkatkan peluang kehamilan golongan ini kepada empat hingga lima kali ganda.

Tidak perlu rasa malu untuk mendapatkan rawatan kesuburan, peluang kejayaan rawatan semakin rendah apabila usia wanita semakin meningkat. Saya tidak dapat menjawab persoalan punca anda masih belum hamil.

Faktor haid teratur tidak bermakna faktor lain yang mempengaruhi kesuburan juga normal.

Anda juga dinasihatkan menjaga pemakanan berkhasiat, mengambil pil asid folik (bukan ubat kesuburan), tidak merokok serta tidak mengambil minuman alkohol dan kerap mengadakan hubungan seks; berselang sehari atau berselang dua hari sejurus selepas anda bersih daripada haid.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan