SAYA ibu kepada dua orang anak. Anak sulung berusia dua tahun sembilan bulan dan adiknya berusia 10 bulan.
Kini saya hamil anak ketiga dengan usia kandungan baru sebulan.
Saya melahirkan kedua-dua anak saya menerusi pembedahan Caesarean.
Adakah saya boleh bersalin normal untuk anak ketiga ini? Sekiranya anak ketiga juga dilahirkan menerusi pembedahan, adakah ia mendatangkan kesan kepada rahim saya?
IBU INGIN TAHU
Kuala Lumpur
ANDA mungkin kurang jelas dengan penerangan doktor yang merawat anda sewaktu kehamilan atau kelahiran terdahulu.
1. Setelah pembedahan Caesarean, ibu lazimnya dinasihatkan untuk menjarakkan kehamilan bagi membolehkan parut pada dinding rahim ‘sembuh’ serta menjadikan kesihatan ibu optimum sebelum hamil semula.
2. Selepas dua kali pembedahan Caesarean, kelahiran seterusnya adalah secara pembedahan Caesarean juga. Malah, pembedahan ini dilakukan dua minggu dari tarikh jangkaan bersalin secara elektif. Ini bagi mengelakkan anda didatangi kontraksi bersalin yang boleh melemahkan rahim terutama pada kawasan parut sehingga menyebabkan parut terbabit merekah dan berlaku pendarahan teruk yang membahayakan nyawa anda dan janin atau bayi.
3. Memilih untuk bersalin secara normal juga meningkatkan risiko rahim pecah (parut merekah) kepada sebanyak empat kali ganda berbanding wanita lain. Ini kerana semakin banyak pembedahan pada rahim, keutuhan dinding rahim semakin lemah dan tidak mampu bertahan terutama sewaktu sakit bersalin (kontraksi rahim).
4. Dalam kehamilan ini, doktor juga akan memeriksa lebih mendalam misalnya pada uri sama ada ia tumbuh ke dalam parut dinding rahim (plasenta accreta).
5. Persediaan doktor dalam melakukan pembedahan juga mengambil kira:
Memastikan paras hemoglobin darah anda berada pada tahap optimum.
Memeriksa laporan pembedahan terdahulu dan mengambil tahu mengenai kesukaran atau masalah yang didapati sewaktu pembedahan terbabit misalnya keadaan perlekatan, ketebalan dinding rahim dan seumpamanya.
Menyediakan darah terlebih dulu bagi menghadapi kemungkinan anda mengalami pendarahan dan memerlukan pemindahan darah.
Kemudahan pembedahan, waktu pembedahan, persediaan doktor bius dan seumpamanya.
6. Anda juga mungkin dinasihatkan untuk tidak hamil lagi selepas ini kerana risiko yang diterangkan di atas.
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan