Label

DISISIH IBU MENTUA PERCAYA BOMOH (DANG SETIA)

SAYA bukan menantu pilihan kerana perkahwinan saya tidak mendapat restu keluarga suami. Ini menyebabkan saya disisihkan keluarga mentua.

Biarpun sudah melahirkan dua cucu untuk keluarga mentua, mereka masih menyalahkan saya.

Lebih memeritkan apabila masalah kakak ipar yang gagal mendapat anak walaupun 10 tahun berumah tangga juga didakwa berpunca daripada badi saya.

Ini berikutan ibu mentua sangat percaya kepada tahyul dan bomoh serta banyak menghabiskan duit bagi tujuan itu.

Saya kerap meluahkan kekecewaan itu kepada suami dan dia hanya mampu menyuruh saya bersabar. Kini hampir tiga tahun saya menahan cercaan ibu mentua yang mendakwa saya wanita malang dan hanya membawa beban kepada keluarganya.

Saya tertekan dan ikutkan hati tidak mahu menjenguk ibu mentua lagi. Namun apakan daya, suami bertekad mahu saya berusaha terus mengambil hati ibunya.

RUWAIDA
Kuala Pilah, Negeri Sembilan

Puan menghadapi dugaan hebat apabila hubungan dengan keluarga mentua tidak harmoni sebagaimana menantu lain. Cukup melukakan hati, biarpun saudari berusaha membahagiakan mentua dengan kelahiran cucu, tuduhan liar pula diterima.

Apapun, pada pandangan Dang Setia, hati ibu mentua perlu ditawan.

Ini bermakna apa diperkatakan suami adalah benar kerana keikhlasan serta kesungguhan menawan hati mentua dapat membantu puan. Bersabarlah.

Hati ibu mentua puan tak ubah seperti kerak nasi. Apabila direndam, akan lembut juga.

Mungkin tempoh tiga tahun masih tidak mencukupi buat puan mengambil hati ibu mentua.

Cuba kenali kesukaan serta benda yang dibencinya sebagai strategi memikat hatinya.

Pinta bantuan suami memberi senarai berkenaan sambil meminta pertolongan ipar duai untuk memujuk ibu mentua supaya bersangka baik pada puan.

Selain itu, jangan lupa meminta suami menasihati ibunya yang taksub terhadap bomoh kerana ia menyimpang jauh daripada jalan diredai Allah.

Ini kerana bertemu bomoh adalah amalan syirik yang dibenci Allah SWT, sebagaimana firman-Nya dalam Surah An-Nisa’ ayat 48, bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain daripada (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barang siapa mempersekutukan Allah, sesungguhnya ia berbuat dosa besar.”

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan