Saya remaja perempuan 16 tahun dan mempunyai rakan baik lelaki. Dia bersekolah di asrama dan kami akrab disebabkan tinggal berjiran.
Biarpun dia di asrama, dia sering menghubungi saya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) mahupun panggilan.
Hendak kata bercinta, rasanya kurang tepat kerana tidak pernah sekalipun dia lafazkan cinta kepada saya.
Namun, dia gemar bergurau memanggil saya ‘sayang’ atau ‘intan payung’ setiap kali memujuk. Saya gembira dengan layanan serta perhatian diberikan. Maklumlah, setakat ini hanya dia rakan lelaki paling akrab.
Cuma ada kala saya keliru sama ada perasaan saya ada padanya atau hanya sebagai kawan. Bagaimana rasanya jatuh cinta Dang Setia ?
YUMI
Paka, Terengganu
Jangan menyimpan harapan selagi saudari tidak pasti dengan perasaan rakan baik itu. Adakah dia berkata demikian hanya sekadar bergurau mahupun mengambil hati berbanding mempunyai perasaan cinta terhadap saudari?
Dang Setia bimbang ia hanya andaian disebabkan saudari terlebih dulu sukakan si dia. Lebih elok saudari dapatkan dulu pengakuan rakan baik sebelum menyimpan angan-angan si dia menyukai saudari.
Ia mengelak saudari terjerumus dalam kekecewaan kerana menyimpan harapan si dia mencintai saudari.
Selaku sahabat rapat, tentu saja saudari mengetahui cara terbaik memastikan sama ada rakan lelaki itu menyukai saudari.
Jika malu berhadapan, sms serta laman sosial tentu saja langkah terbaik. Bukan saja tidak perlu berhadapan, ia cara terpantas untuk mendapatkan jawapan.
Malah mungkin dengan cara demikian, rakan lelaki lebih terbuka untuk berterus terang.
Saudari sendiri bebas meluahkan emosi mahupun memberi reaksi tanpa melihat dia. Di samping itu hubungan persahabatan saudari dengannya mungkin dapat diselamatkan menerusi cara sama.
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan