Saya guru di utara tanah air dan tinggal berjauhan dengan suami yang bekerja di pantai timur.
Perkahwinan kami sudah mencecah tiga tahun dan masih tidak mempunyai cahaya mata. Saya pernah membuat pemeriksaan di hospital tetapi tiada masalah.
Hubungan saya dan suami menjadi dingin serta baru-baru ini, ketika dia pulang bercuti, reaksinya cukup berbeza. Dia mudah marah dan mengelak untuk tidur bersama.
Sudahlah berjauhan dan apabila pulang, dia kerap memarahi saya walaupun hanya kerana perkara remeh. Ini membuatkan saya berasa diketepikan.
Malah saya syak dia menjalin hubungan dengan wanita lain apabila dia kerap menyorok telefon serta sentiasa ingin bergegas pulang ke rumah sewanya.
Hairan saya melihat perubahannya yang drastik itu. Apabila menonton drama di televisyen, saya berasa makin curiga dengan sikap suami. Berdosakah saya mempunyai tanggapan sedemikian?
RUSLINA
Batu Kawan, Pulau Pinang
Dalam situasi puan yang terpaksa berjauhan dengan suami serta tambah dingin setiap kali berjumpa, tentu saja perasaan curiga bakal timbul dalam perhubungan.
Bagi Dang Setia adalah satu normal dan tiada salahnya isteri mempunyai perasaan curiga serta cemburu. Dilihat pula pada perlakuan suami sudah berubah 360 darjah, tentu saja wajar bagi puan mempertikaikan layanannya terhadap puan.
Namun dalam suasana dingin, jalan penyelesaian lebih diplomasi dalam membincangkan hala tuju rumah tangga puan diperlukan. Melihat kepada usia, tidaklah terlalu kritikal menimbulkan isu ketiadaan anak sebagai punca kepada konflik ini. Sedangkan lebih ramai lagi pasangan menghadapi masalah seperti puan berhadapan isu itu jauh lebih lama.
Tidak dinafikan mungkin disebabkan tiada kehadiran anak, menyumbang kepada ketegangan dalam perkahwinan. Sekali lagi peranan puan memujuk suami untuk berbincang bagi mengelak kekusutan itu berpanjangan.
Luahkan perasaan kurang selesa mengenai sikapnya yang jauh berbeza. Malah senaraikan perubahan menyebabkan puan mengesyaki dia tidak jujur terhadap puan. Elak mengasak bertubi-tubi kerana itu boleh mendorong kepada pertelingkahan.
Jika suami enggan mengaku, jangan memaksa. Beri nasihat iaitu minta suami bersabar sambil terus berikhtiar untuk memulihkan hubungan. Selain itu, berbanyaklah doa agar jodoh puan dan suami berpanjangan.
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan