MERANCANG kewangan bermula apabila seseorang itu merancang perbelanjaan harian. Hampir setiap kanak-kanak mendapat wang saku harian apabila pergi ke sekolah. Namun, tidak semua yang tahu bagaimana untuk membelanjakan wang tersebut. Kadangkala tanpa disedari, wang saku harian habis dibelanjakan. Berikut adalah beberapa faktor yang boleh membantu pelajar merancang kewangan:
Rancang Perbelanjaan
Apabila mendapat wang, rancanglah perbelanjaan. Perbelanjaan yang dirancang merupakan amalan yang boleh menjamin masa hadapan yang cerah. Jadikan tabiat suka menyimpan sebagai satu amalan kehidupan seharian. Setiap kali menerima wang saku, rekodkan jumlah yang diterima. Rekodkan perbelanjaan yang ingin dilakukan pada hari tersebut, supaya dapat melihat anggaran simpanan yang akan dibuat. Cuba sedaya upaya untuk tidak berbelanja lebih daripada peruntukan berbelanja yang dirancang.
Belanja Dengan Bijak
- Satu lagi petua merancang kewangan adalah dengan mengetahui cara-cara bagaimana membelanjakan wang dengan bijak. Cara berbelanja dengan bijak bermakna berbelanja apabila perlu dan membeli barang yang perlu sahaja.
- Jangan meminjam wang daripada sesiapapun semata-mata kerana gagal mengawal perbelanjaan. Bagi pelajar yang dapat mengawal perbelanjaan pula, elakkan daripada meminjamkan wang kepada kawan-kawan.
- Jangan berbohong kepada ibubapa semata-mata kerana ingin mendapatkan wang
- Jangan meminta sesuatu yang di luar kemampuan ibubapa.
Pastikan Sentiasa Mempunyai Wang Di Tangan
Elakkan berbelanja sehingga wang di tangan kehabisan. Ini disebabkan wang perlu digunakan pada bila-bila masa.
Menyimpan Wang, Biarlah Di Tempat Selamat
Baki wang yang ada di tangan setelah berbelanja perlulah direkodkan dan disimpan di tempat yang selamat. Bank merupakan institusi penerima simpanan selamat di samping dapat memberi pendapatan kepada wang yang disimpan. Minta bantuan guru atau ibubapa untuk mengetahui cara untuk membuka akaun simpanan dengan bank.
Melabur Wang Untuk Mendapatkan Pulangan
Jadikan wang sebagai alat untuk menghasilkan pendapatan dan memberi hasil pulangan. Jumlah wang disimpan di bank akan bertambah nilainya apabila bank memberi faedah kepada simpanan tersebut.
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan