Pertimbang kemampuan kewangan dulu sebelum miliki kediaman bagi elak terpaksa ikat perut
MEMILIKI kediaman adalah satu keperluan namun, dengan keadaan harga rumah yang semakin menghimpit dan membebankan, membeli rumah bagaikan satu perkara yang memeningkan.
Jumlah pendapatan yang diperoleh setiap bulan hanya melayakkan pembeli mendapatkan rumah jenis flat namun, jauh di sudut hati semua orang mengimpikan rumah selesa dan besar.
Perkara utama yang perlu difikirkan sebelum membuat keputusan membeli rumah adalah melihat kemampuan kewangan sendiri. Ini kerana tidak semua individu bekerja dan mempunyai pendapatan tetap mampu membayar ansuran bulanan bagi kediaman mahal atau mewah, malah ada juga yang tidak mampu membeli kediaman kos rendah sekalipun.
Untuk memudahkan perancangan, kita perlu membuat pengiraan dengan menolak semua perbelanjaan termasuk hutang, simpanan dan pelaburan. Baki yang tinggal digelar sebagai lebihan dan ia menjadi penanda aras menentukan rumah jenis apa yang harus dibeli. Perkara ini penting kerana ia menentukan hala tuju kewangan kita berikutan ia menjadikan pemilik rumah dapat mengawal dan merancang perbelanjaan lebih bijak.
Untuk membeli rumah, perkara pokok yang perlu diambil kira adalah lokasi kerana lokasi yang baik, pembelian itu boleh dianggap sebagai pelaburan menguntungkan.
Sekiranya jumlah lebihan seseorang individu setiap bulan sekitar RM500, ia mungkin cukup sekiranya rumah itu berada pada lokasi setara.
Ada lokasi perumahan yang menyediakan kediaman jenis semi-D pada harga kurang RM250,000 dan ada juga lokasi yang menetapkan harga sehingga RM700,000 untuk rumah jenis sama. Perbezaan ini disebabkan lokasi kerana bagi kawasan belum matang, harga rumah ditawarkan masih murah, namun berbeza untuk lokasi pusat bandar kerana harganya mungkin mencecah tiga kali ganda.
Maka, kita perlu memilih lokasi bertepatan dengan kemampuan kewangan dan sekiranya bayaran bulanan RM500 itu hanya sesuai untuk kediaman jenis apartmen atau flat, maka ia pemilihan tepat.
Saya akui timbul pendapat bahawa lebih baik membeli rumah diidamkan walaupun setiap bulan, agak 'sakit' sedikit membayar ansuran berbanding menyewa bertahun-tahun. Pendapat itu mungkin tidak berapa benar kerana dengan menyewa, individu itu masih mampu menyimpan bagi membuat pembayaran pendahuluan lebih tinggi walaupun dia terpaksa menyewa hampir 10 tahun.
Ini kerana pembeli juga perlu memikirkan mengenai simpanan kecemasan, insurans, pendidikan anak atau perbelanjaan bulanan dan tidak seharusnya membelanjakan gaji yang ada hanya untuk membuat pembayaran ansuran rumah saja.
Sebagai pembeli, apa yang lebih penting adalah kita perlu bezakan antara keperluan dan keinginan. Apa yang diperlukan adalah rumah untuk dijadikan tempat tinggal sekeluarga. Apa yang diidamkan adalah rumah mewah dua tingkat lot tepi.
Namun, sebagai permulaan, sekiranya keadaan kewangan belum mengizinkan kita memiliki rumah mewah dua tingkat lot tepi, langkah terbaik mendapatkan kediaman selesa adalah mengikut kemampuan.
Tidak salah bermula dengan kediaman lebih kecil sesuai keadaan kewangan kerana itu lebih baik berbanding terpaksa mengikat perut semata-mata kerana ansuran bulanan yang tinggi.
Setiap individu yang bekerja pasti menerima kenaikan gaji atau pangkat dan jika tiba masanya, rumah pertama yang kecil itu boleh dijual dan keuntungannya boleh dijadikan pendahuluan rumah diidamkan.
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan