Label

KECELARUAN GENDER

Penyaringan MRI boleh menentukan ia semula jadi dan bukan dibuat-buat individu

DISFORIA Gender atau kecelaruan gender didefinisikan sebagai keadaan di mana penghayatan individu itu bercelaru antara perasaan gender sendiri dengan jantina anggota kelaminnya.

Transeksualisme paling ketara mengenai kecelaruan gender apabila individu yang mempunyai anggota kelamin tertentu tetapi berasa begitu yakin yang dia golongan jantina sebaliknya.

Mengikut kajian Prof Louis Gooren, kemungkinan fenomena transeksualisme berlaku ialah satu transeksual lelaki dalam 15,000 lelaki manakala satu transeksual perempuan dalam 35,000 perempuan.

Manifestasi fenomena transeksualisme berlaku ketika seseorang itu dalam proses pengenalan diri mengenai jantina. Dia akan berasa dirinya berbeza dengan kehendak hatinya dan kadangkala dia serba salah apabila lebih cenderung bergaul dengan individu daripada jantina sebaliknya.

Secara tersembunyi, dia akan memakai pakaian jantina yang sebaliknya, sekali gus berasa dirinya dekat dengan jantina itu. Perasaan untuk mendekati jantina yang dianggap jantina nalurinya akan menjadi lebih ketara apabila dia memasuki alam remaja dan menghayati pergolakan hormon seksual serta mengalami ketumbesaran anggota kelamin.

Dia akan berasa perubahan dirinya lebih jauh daripada kehendak diri sehingga berasa tertekan. Kepada yang dapat mengawal kehendak diri, mereka akan ikut haluan masyarakat.

Namun, bagi yang lebih mengikut kehendak diri, mereka akan melakukan apa juga yang difikirkan sesuai untuk menikmati naluri mereka seperti berpakaian dan mendapat rawatan yang dapat mendekatkan mereka kepada jantina diidamkan.

Golongan ini sanggup melakukan apa saja yang difikirkan dapat mendekatkan kepada jantina keinginan mereka sehingga kadangkala boleh mendatangkan kesusahan kepada mereka.

Mereka yang berasa tertekan dan tidak dapat mengawal diri tidak akan teragak-agak mengambil keputusan yang boleh memudarat atau memusnahkan diri sendiri seperti menjalani pembedahan perubahan anggota jantina atau membunuh diri akibat kekecewaan.

Mengenali identiti diri dan fenomena transeksualisme

Pengenalan mengenai jantina seseorang satu proses yang dinamik dan tertakluk kepada baka penentuan jantina dengan 'sex chromosomes' XX untuk perempuan dan XY untuk lelaki, hormon testosterone dan 'anti-mullerian hormon'.

Selain itu, ia membabitkan pelbagai faktor spesifik seperti alam sekitaran dan kesan perubahan kepada individu mengikut masa ketumbesaran.

Proses pengenalan jantina individu adalah di otak atau minda. Justeru, penetapan jantina seseorang itu hanya menjadi nyata apabila bahagian otak yang mempengaruhi penetapan satu-satu jantina mulai terbentuk dan berfungsi.

Sebagai contoh, bahagian 'Hypothalamus' dan 'Pre-Optic Nucleus' (PON) otak mengawal perilaku seksual dan bahagian ini lebih besar dalam otak lelaki daripada perempuan.

Nukleus 'thestria Terminalis' (BSTc) untuk lelaki 44 peratus lebih besar daripada perempuan.

Transeksual lelaki ke perempuan mempunyai BSTc terbentuk dan bersaiz perempuan dan begitu juga sebaliknya. Perubahan ini dapat dikenali dengan ujian canggih melalui penyaringan dengan MRI.

Ini boleh menentukan sama ada Disforia Gender atau fenomena transeksual itu berlaku secara semula jadi dan bukan dibuat-buat oleh individu itu.

Pendekatan Perubatan

Sebahagian besar individu yang masuk dalam golongan transeksual mengalami kekeliruan mengenai diri mereka daripada aspek identiti seksual. Mereka perlu menjalani bimbingan untuk mengenali diri dengan lebih dekat lagi, dan ini mungkin perkara awal yang perlu dilakukan.

Mereka juga perlu tahu perbezaan identiti seksual yang lain seperti homoseksual, transvertisme, fetishisme dan lain-lain supaya dapat menetapkan kedudukan mereka.

Perkara lain yang perlu diberi bimbingan ialah kemudahan untuk mereka yang inginkan penukaran jantina dan batasan undang-undang berkaitan identiti asas seperti kad pengenalan.

Perkara lain yang turut dibimbangi termasuk juga penggunaan hormon seks seperti hormon kelelakian (Testosterone) dan hormon kewanitaan (Estrogen), selain pembedahan plastik sehingga perkara yang mungkin merungsingkan mereka daripada aspek kehidupan sosial.

Mereka yang sudah menjalani pelbagai bimbingan dan bantuan sosial dapat menikmati kehidupan yang selesa dengan identiti fizikal dan suasana kehidupan yang mereka inginkan.

Dengan keadaan sedemikian, mereka boleh jadi individu yang dapat membangunkan negara seperti individu lain.

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan