BAYANGKAN pasangan berkahwin gagal mengadakan hubungan seks kerana suami gagal menembusi faraj, walaupun isteri bersedia. Namun, si isteri dapat berasa sesuatu, seolah-olah isi di dalam ruang faraj yang menghalang kemasukan zakar!
Keadaan itu mengakibatkan suami menjadi hampa dan kedua-dua pasangan menghabiskan sentuhan intim di luar faraj. Persoalannya, berapa lama pasangan itu mampu bersabar untuk tidak melakukan hubungan seks penetratif.
Masalah lebih besar berlaku apabila isteri gagal hamil dan bagi yang prihatin, mereka berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan kesuburan. Ketika itu, baru masalah sebenar dikenal pasti.
Penghalang yang dimaksudkan itu boleh membabitkan cista daripada mukosa faraj atau pangkal rahim yang panjang.
Apabila cista dibedah buang atau pangkal rahim yang panjang dipendekkan, masalah penghalang selesai dan kehamilan boleh berlaku.
Bagaimanapun, jika pasangan itu tidak berjumpa doktor, pasti masalah berkenaan tidak diketahui dan hubungan mereka terus menjadi hambar dan tanpa zuriat.
Laporan Kes:
Saya pernah mengendalikan kes seperti ini. Sepasang suami isteri berjumpa saya mengenai masalah kesuburan dan selepas pemeriksaan rutin 'Pap Smear' dilakukan, saya dipanggil untuk membuat pemeriksaan. Yang jelas kelihatan, pangkal rahimnya panjang sehingga kelihatan di muka pintu faraj.
Wanita itu tiada selaput dara lagi, tetapi dia mengalami masalah melakukan persetubuhan dan suaminya kerap memberitahu ada sesuatu menghalang kemasukan zakar.
Pembedahan untuk mengecilkan pangkal rahim dilakukan, sekali gus memulihkan keadaan apabila pasangan itu dapat melakukan persetubuhan tanpa apa-apa halangan dan akhirnya wanita itu hamil beberapa bulan selepas pembedahan.
Wanita dinasihat menjalankan pemeriksaan kendiri anggota sulit atau 'Vulval Self Examination' supaya tahu mengenai anggota sulit mereka dan tidak rasa kekok untuk memanipulasinya ketika bersama suami.
Dengan kepekaan itu, mereka tahu jika wujud sesuatu yang luar biasa untuk dirujuk kepada doktor. Jangan berdiam diri dan menderita dalam diam apabila mengalami masalah kepada anggota sulit seperti berasa pedih atau kesakitan ketika 'bersama' kerana kemungkinan ada sesuatu yang tidak kena.
Sebagai persediaan awal, lakukan pemeriksaan kendiri dengan menggunakan cermin tangan dan meneliti anggota sulit dalam keadaan cahaya terang supaya dapat memahami masalah dan mudah memberitahu doktor apabila berjumpa doktor untuk pemeriksaan.
Perlu diingatkan, anggota sulit wanita mempunyai bibir besar, bibir kecil dan 'vestibule' atau bahagian antara bibir kecil, yang mana ada pembukaan lubang kencing di atas dan pembukaan lubang faraj di bawah.
Pembukaan lubang faraj kelihatan seperti isi berkumpul apabila wanita itu mencengkam otot lantai pelvik (otot kemut) dan wujud kerenggangan apabila kemutan dilegakan.
Bagi wanita yang mempunyai selaput dara, akan kelihatan cebisan isi mengelilingi pembukaan faraj. Kadangkala cebisan isi itu tiada dan ini boleh terjadi apabila selaput dara itu tipis atau tiada secara semula jadi.
Jarang ada selaput dara yang menutupi pembukaan faraj. Jika ini berlaku, wanita itu tidak mengalami kedatangan haid dan mungkin berasa tidak selesa di bahagian bawah perut.
Apabila diperiksa dari luar, bahagian di paras ari-ari kelihatan ketulan berbentuk seperti rahim. Namun, jika doktor memeriksa anggota sulit, kelihatan pembukaan faraj tertutup dan selaput yag menutupi pembukaan faraj mengembung.
Jika bahagian ini ditebuk, akan keluar darah haid yang bertakung selama ini. Keadaan ini dikenali sebagai 'Hymenocolpos' dan cara merawatnya ialah dengan menebuk selaput dara yang menutupi pembukaan faraj.
Bagaimanapun, perlu diingatkan selepas proses ini, seseorang wanita itu masih dara kerana belum melakukan persetubuhan.
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Rahsia Rumahtangga Bahagia! Klik Disini!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan