ANTARA simptom HSV jenis 1 ialah gelembung cecair sama ada putih atau kuning di bibir akibat sentuhan dengan individu yang ada jangkitan. |
JANGKITAN herpes genitalis ialah penyakit kelamin disebabkan virus HSV (Human Simplex Virus) yang dijangkiti melalui hubungan seks dengan individu yang membawa kuman virus itu. Virus HSV ada dua iaitu HSV1 dan HSV11.
HSV1 dipercayai dijangkiti melalui sentuhan kulit mukosa mulut individu yang ada jangkitan itu kepada individu sihat seperti kanak-kanak atau orang dewasa.
Tidak hairan jika kanak-kanak kelihatan mengalami gelembung kecil di kulit bibir yang menyakitkan dan biasa dikenali sebagai ‘cold sore’ atau ‘ kudis sejuk’ atau kayap mulut.
HSV11 pula dijangkiti melalui hubungan seks. Ada kemungkinan juga HSV11 berjangkit daripada mulut ke mulut dan HSV1 berjangkit ke anggota kelamin melalui seks oral.
Apabila jangkitan terserlah, bahagian bibir atau anggota kelamin terasa sakit dan beberapa hari kemudian akan muncul gelembung kecil mengandungi cecair putih kuning.
Kadangkala individu terkena jangkitan akan demam seketika dan selepas itu baru berlaku kemunculan gelembung.
Cecair dalam gelembung kulit ini mengandungi kuman virus HSV dan jika bergesel boleh menjangkiti tempat yang digesel seperti mata atau kepada pasangan atau sesiapa saja.
Apabila jangkitan reda dan mula sembuh, virus akan menyerap ke dalam urat saraf dan menetap di dalam badan dan boleh muncul semula pada masa depan.
Bagi sesiapa yang menghidap HSV, jangkitan itu akan kekal selama-lamanya walaupun ia tidak ‘kronik’ seperti peringkat awal jangkitan.
Apabila sistem daya tahan penyakit badan kuat, virus itu mula dihapuskan sistem pertahanan dalam badan. Jarang jangkitan HSV hilang daripada badan, iaitu kuman HSV tiada lagi dalam badan.
Bagaimanapun, oleh kerana perkara ini jarang berlaku, kebanyakan pakar masih kekal dengan pendapat bahawa jangkitan kuman HSV akan kekal selama-lamanya walaupun ia tidak muncul atau aktif.
Begitupun, jangkitan boleh berlaku lagi jika terkena jangkitan baru melalui hubungan kelamin atau seks rambang. Jangkitan HSV ada rawatannya.
Ubat pembunuh kuman virus seperti Zovirax sangat mujarab, tetapi rawatan ini perlu dikendalikan doktor.
Jangkitan HSV tidak mengganggu sistem reproduktif, iaitu ia tidak menyebabkan kemandulan atau mengakibatkan masalah kesuburan.
Namun, ia boleh menyebabkan keguguran janin jika ketika wanita itu hamil peringkat awal dan terkena jangkitan atau jangkitan dalaman menjadi aktif, ia boleh mengancam ketumbesaran janin dan menyebabkan keguguran.
Untuk maklumat pembaca, ramai individu tidak tahu mereka pembawa kuman HSV dalam darah mereka kerana tidak pernah ada simptom.
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan