SOALAN
SAYA dan suami berusia 33 tahun serta sudah berkahwin selama sembilan tahun. Saya tidak pernah mengamalkan apa-apa perancangan keluarga sama ada suntikan, pil mahupun kaedah 'buang luar'.
Saya kini mempunyai dua anak dan anak bongsu sudah mencecah lima tahun. Saya dan suami sudah hampir empat tahun mengimpikan anak lagi tetapi hampa.
Kitaran haid saya normal dan tiada sebarang masalah kesihatan, begitu juga suami. Saya cuma pernah diberitahu doktor sewaktu ingin melahirkan anak pertama, tulang pelvik saya jauh ke dalam oleh itu, doktor perlu memasukkan jarinya lebih dalam untuk memeriksa bukaan.
Sewaktu hendak melahirkan anak kedua, bidan yang memeriksa bukaan saya menyatakan yang saya belum masa untuk melahirkan walaupun saya sudah merasakannya. Akibatnya, saya melahirkan anak kedua di atas katil wad.
Adakah tulang pelvik yang jauh ke dalam salah satu sebab sukar hamil? Sejak setahun lalu saya pergi berurut dan mengamalkan pengambilan makanan kesihatan tambahan yang dikatakan mampu membantu untuk hamil tetapi masih hampa.
Apakah masalah yang saya hadapi?
Mama Moden,
Petaling Jaya
JAWAPAN
SEMBILAN tahun lalu, anda berada pada usia 24 tahun dan masih berada pada kemuncak tahap kesuburan wanita. Setelah melahirkan anak pertama, anda sepatutnya masih mempunyai tahap kesuburan yang tinggi dan terus hamil memandangkan anda tidak mengamalkan kaedah pencegah kehamilan yang berkesan.
Anda mempunyai 15 hingga 25 peratus peluang hamil pada setiap kali kitaran haid selama lapan tahun berikutnya. Berkemungkinan sebenarnya anda mempunyai masalah atau penyakit berkaitan kesuburan yang kini mungkin menjadi semakin nyata.
Pemeriksaan doktor dapat membantu mengenalpasti masalah terbabit. Masalah yang anda alami sewaktu kelahiran anak pertama dan kedua lazimnya tiada kaitan dengan kesuburan.
Saiz pelvis yang dalam mungkin melambatkan proses kelahiran bayi memandangkan bayi perlu turun lebih jauh untuk dilahirkan. Ini tiada kaitan dengan kehamilan.
Namun, anda tidak semestinya mempunyai tulang pelvis yang jauh atau dalam kerana pemeriksaan dalaman sewaktu kelahiran adalah untuk mengukur tahap kepala bayi sudah turun serta saiz bukaan pintu rahim.
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan