SOALAN
SAYA berusia 25 tahun, berkahwin pada akhir 2006 dan hingga kini masih belum dikurniakan zuriat.
Saya mempunyai haid yang tidak tetap sejak di zaman bujang lagi.
Baru-baru ini, saya disahkan mempunyai ovari polisistik (PCOS) dan doktor menyarankan supaya saya menurunkan berat badan.
Doktor juga memberikan saya ubat Metformin, Reductil dan Yasmin, tetapi saya cuma mengambil pil Metformin dan Reductil saja.
Memandangkan saya masih belum hamil, saya tidak berani untuk mengambil pil Yasmin kerana ia merupakan sejenis pil perancang. Untuk memaksa haid keluar saya mengambil Provera.
Adakah saya boleh hamil selepas atau ketika pengambilan pil Yasmin itu? Apakah saya masih boleh hamil selepas memakan pil berkenaan?
Adakah benar pesakit PCOS tidak boleh hamil?
JAWAPAN
BENAR pil Yasmin adalah sejenis pil berhormon yang lazimnya digunakan untuk mencegah kehamilan atau merancang keluarga.
Ia bertindak secara menghalang ovulasi (pengeluaran telur). Ini bermakna jika diambil mengikut aturan, anda tidak boleh hamil ketika pengambilannya.
Selepas menghentikan pengambilan mana-mana pil perancang keluarga, ovulasi mungkin (tidak semestinya) lambat kembali seperti sebelum mengambil pil terbabit.
Ada yang terus hamil bulan berikutnya, ada pula yang mengambil masa beberapa bulan atau lebih lama.
Namun, bagi diri anda, tahap kesuburan anda awalnya perlu diperiksa dahulu sebelum meletakkan sebab kepada pil Yasmin ini.
Tambahan pula selepas suatu jangkamasa pengambilan mana-mana pil perancang ini, usia wanita itu sudah pun semakin meningkat yang turut menurunkan tahap kesuburannya berbanding sewaktu mereka lebih muda.
Tidak semua pesakit PCOS mengalami masalah kesuburan. Malah ada yang mudah hamil tanpa sebarang masalah. Ada pula yang mengalami masalah lain yang tidak berkaitan dengan kesuburan.
Memandangkan ia sejenis sindrom, seseorang yang mempunyai ovari polisistik boleh sama ada tidak mengalami sebarang masalah atau gangguan ataupun mengalami satu atau lebih atau semua masalah di bawah:
- Gangguan kitaran haid yang jarang-jarang dan sedikit kuantitinya
- Berlebihan hormon lelaki (testosteron) sehingga menampakkan lebihan bulu roma pada kawasan misai, betis, kulit muka berminyak dan berjerawat
- Masalah anovulasi (ketiadaan pengeluaran telur) sehingga mengganggu kesuburan
- Berlebihan berat badan
- Berlebihan hormon insulin
- Peningkatan risiko penyakit kardiovaskular (jantung) dan diabetes mellitus (kencing manis)
- Peningkatan risiko hiperplasia endometrium rahim dan kanser endometrium rahim
Anda juga harus ingat, penambahan berat badan (lebih-lebih lagi secara mendadak) juga boleh menghalang ovulasi.
Adakalanya, berat badan berlebihan ini mempunyai kaitan dengan PCOS. Ini memerlukan lebih kesungguhan untuk mengurangkannya.
Mulakan dan teruskan dengan pengurangan kalori makanan serta senaman yang berjadual atau rutin. Anda mungkin memerlukan nasihat pakar pemakanan dan bukan saja bergantung kepada pil untuk menurunkan berat badan anda.
Rawatan kesuburan dalam pesakit PCOS lazimnya dimulakan dengan pemberian pil kesuburan memandangkan ia murah dan mudah diambil.
Pemantauan menggunakan ultrabunyi dapat menilai keberkesanan ubat ini (dalam dos berbeza-beza) dalam merangsang pembesaran folikel telur di dalam ovari anda.
Peratus kejayaan dapat ditingkatkan dengan bantuan teknik permanian berhadas (IUI - intra uterine insemination). Langkah seterusnya pula lebih rumit, mungkin memerlukan pembedahan, suntikan hormon kesuburan dan rawatan secara persenyawaan tabung uji (IVF).
Turutan atau pilihan rawatan ini bergantung kepada pengalaman dan kemahiran doktor masing-masing. Lebih penting lagi adalah menjaga pemakanan anda serta amalan hidup sihat untuk menangani peningkatan risiko penyakit jantung serta kencing manis yang lazimnya (jika muncul) berlaku pada lewat usia.
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan