Label

BUANG TIUB FALLOPIO TAK GANGGU HAID (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA berusia 35 tahun dan ada dua anak. Sebelum ini saya pernah hamil luar rahim dan sudah pun dibuang sebelah kanan.

Selepas setahun pembedahan itu, saya hamil, tetapi keguguran. Masalahnya, selepas saya keguguran, haid tidak teratur dan dalam sebulan, dua kali saya didatangi haid hingga ke hari ini. Adakah masalah itu menyebabkan saya tidak boleh hamil?

Emma
Petaling Jaya, Selangor

JAWAPAN

SAYA andaikan anda dulu mengalami kandungan luar rahim di dalam tiub fallopio kanan (kandungan luar rahim boleh berada di mana saja termasuk di dalam tiub fallopio, tempat yang paling kerap). Anda dinasihatkan mendapatkan maklumat lanjut daripada doktor yang melakukan pembedahan terbabit mengenai keadaan organ pelvis anda yang dapat dilihat sewaktu pembedahan itu, sama ada anda mempunyai penyakit endometriosis, PID dan seumpamanya.

Bagaimanapun, sekiranya benar anda hamil selepas itu (walaupun keguguran), ini membuktikan tiub fallopio kiri anda masih tidak tersumbat dan berfungsi. Walaupun dengan satu tiub saja, anda masih berpeluang untuk hamil sekiranya tiub itu berfungsi elok. Namun, dijangka peluang hamil tidaklah setinggi sebelumnya kerana pada setiap bulan, lazimnya hanya sebelah saja ovari (sama ada ovari kanan ataupun ovari kiri) yang mengalami ovulasi. Sekiranya ovulasi dalam bulan itu berlaku dari ovari kanan, maka peluang anda untuk hamil tipis memandangkan kini tiub fallopio kanan sudah tiada lagi.

Haid yang tidak teratur mungkin berpunca daripada faktor lain, bukannya disebabkan oleh pembedahan terbabit. Ramai yang menyangka sekiranya tiub fallopio dibuang (satu atau kedua-duanya) maka haid juga boleh terganggu, ini tidak benar.

Eloklah anda mendapatkan rawatan doktor. Pada usia anda kini, kesuburan wanita juga dijangka semakin menurun.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

1 ulasan:

  1. doktor bolehkah saya hamil lagi jika kedua dua tiub fallapio saya dibuang akibat hamil diluar rahim ?

    BalasPadam