SOALAN
SAYA berusia 29 tahun dan mempunyai seorang anak berusia empat tahun. Berat badan saya adalah 165 kilogram (kg) dan ketinggian 170 sentimeter.
Saya tidak datang haid selama 10 bulan dan mengalami masalah haid selepas bersalin. Sebelum berkahwin, haid saya biasanya sekali dalam masa dua bulan. Selepas bersalin, ada kalanya ia datang sehingga lebih dua bulan berterusan atau saya tidak didatangi haid langsung.
Doktor memberitahu saya tidak bermasalah cuma haid terganggu disebabkan berat badan saya. Apakah nasihat dan risiko jika saya ingin mendapatkan cahaya mata lagi?
Sri,
Kelana Jaya, Selangor.
JAWAPAN
DENGAN berat badan berbanding ketinggian sedemikian, anda mempunyai indeks jisim badan sebanyak 56kg/m2. Ini termasuk dalam tahap obesiti morbid (kegemukan berpenyakit).
Pada ketinggian anda, berat badan yang sesuai adalah di antara 56 hingga 74kg saja untuk dikategorikan dalam berat badan ideal. Obesiti boleh menghalang pembesaran serta pengeluaran telur yang sepatutnya berlaku pada setiap kitaran haid.
Untuk hamil lagi juga tidak semudah biasa. Ini kerana obesiti boleh menurunkan kesuburan seseorang, malah jika berjaya hamil kelak, risiko keguguran bagi wanita obes juga meningkat kepada hampir 40 peratus berbanding hanya 15 hingga 20 peratus secara amnya.
Kehamilan juga boleh memberi masalah kesukaran berkaitan pemeriksaan fizikal ke atas kandungan, pergerakan sepanjang tempoh kehamilan, gambaran ultrabunyi yang kurang jelas, posisi bersalin yang terhad serta risiko pembentukan darah beku dalam saluran dan penyumbatan saluran paru-paru (thromboembolism).
Kebanyakan doktor tidak menggalakkan anda hamil dulu sebelum menangani masalah obesiti ini. Pemeriksaan doktor pakar sakit puan perlu untuk mengesan penyakit rahim dan ovari, lazimnya ia sukar dilakukan melalui pemeriksaan fizikal atau ultrabunyi melalui kulit abdomen saja, ia memerlukan bantuan teknik ultrabunyi melalui faraj.
Anda dinasihatkan menjalani pemeriksaan perubatan bagi mengesan penyakit lain yang berkaitan obesiti seperti darah tinggi, kencing manis, penyakit jantung, peningkatan paras kolesterol dan kanser rahim.
Berjumpalah pakar perubatan endokrinologi untuk masalah obesiti ini. Amalan diet seharian juga perlu diubahsuai mengikut nasihat pakar pemakanan.
Senaman perlu dilakukan secara berterusan sekurang-kurangnya tiga kali setiap minggu selama 30 minit setiap sesi.
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan