Label

KANDUNGAN MOLAR BERPOTENSI JADI KANSER (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA berusia 26 tahun dan mempunyai dua anak berusia enam dan empat tahun. Pada Julai 2003, saya disahkan hamil dan dijangka bersalin pada April 2004 tetapi pada Februari 2004, saya mengalami keguguran anggur (molar pregnancy) walaupun pada masa itu, kandungan saya sudah berusia lingkungan tujuh bulan.

Saya dinasihatkan membuat pemeriksaan susulan dan tidak boleh hamil sekurang-kurangnya dua tahun dari tarikh itu. Disebabkan jadual kerja padat, saya tidak membuat pemeriksaan susulan.

Apakah kesannya mengabaikan pemeriksaan itu? Untuk pengetahuan doktor, saya kini tidak mengamalkan sebarang kaedah merancang kehamilan namun hingga kini masih tidak hamil. Adakah tahap kesuburan boleh menurun disebabkan perkara berkenaan?

Fidza,
Taman Johor Jaya, Johor

JAWAPAN


KANDUNGAN
anggur (molar pregnancy) kebiasaannya dikesan pada tiga bulan pertama kehamilan. Ia boleh memberikan tanda loya, muntah, pening kepala yang terlampau disebabkan kandungan hormon kehamilan (ß-hCG) yang berlebihan.

Pemeriksaan ultrabunyi juga dapat mengesan kandungan molar sebelum ia menyebabkan tanda yang lebih teruk seperti pendarahan banyak. Sebaik saja dikesan, kandungan molar perlu dikeluarkan melalui proses “suction&curettage” dan disahkan melalui ujian makmal.

Sangat jarang kandungan molar tidak dapat dikesan sehingga tujuh bulan melainkan jika ia bersifat separa molar. Ini dapat disahkan melalui pemeriksaan makmal (ujian histopatologi) ke atas uri terbabit. Di dalam kandungan molar lengkap pula, tiada bayi wujud melainkan hanya tisu molar saja (menyerupai gugusan anggur kecil).

Wanita yang mengalami kandungan molar dinasihatkan tidak hamil dalam masa dua tahun pertama atas sebab berikut:

- Kandungan molar berpotensi menjadi sejenis kanser (choriocarcinoma).

- Pemeriksaan susulan bertujuan mengesan kanser terbabit dan memberi rawatan (kemoterapi). Peluang sembuh dengan rawatan dilaporkan tinggi sehingga 100 peratus.

- Ujian darah (ß-hCG) dilakukan bagi mengesan kemungkinan kandungan molar aktif semula atau menjadi kanser.

- Kehamilan juga menyebabkan kehadiran hormon yang sama (ß-hCG), ini menyebabkan sukar membezakan sama ada seseorang turut mengalami pengaktifan semula molar ataupun kanser. Dalam hal ini, rawatan kemoterapi terpaksa diberi (walaupun sebenarnya ia mungkin tidak perlu).

Kandungan molar tidak menyebabkan wanita sukar hamil berikutnya. Malah, golongan ini dinasihatkan mengamalkan kaedah pencegah kehamilan untuk mengelakkan mereka hamil buat tempoh seperti di atas. Untuk memastikan anda tidak mempunyai keadaan lanjutan kesan kehamilan molar terdahulu anda perlu menjalani pemeriksaan doktor serta pemeriksaan kesuburan.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan