Label

INGIN ANAK KEEMPAT (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA berusia 31 tahun dan memiliki tiga anak, dua perempuan, seorang lelaki. Ketiga-tiganya dilahirkan melalui pembedahan caesarean akibat masalah darah tinggi dan juga diabetes pada kelahiran ketiga.

Saya juga pernah keguguran sebanyak dua kali. Setelah tiga orang anak, saya dinasihati agar mengikat rahim supaya tidak mengandung lagi.

Apa yang ingin saya tanyakan, adakah rahim semestinya diikat agar tidak mengandung selepas tiga kelahiran melalui pembedahan? Dan adakah betul makluman doktor yang merawat saya bahawa kelahiran keempat adalah berisiko tinggi dan sukar dibuat kerana lapisan kulit perut telah melalui tiga pembedahan?

Saya mengharapkan agar doktor dapat menjawab soalan saya ini kerana kadangkala saya berasa tertekan kerana saya tidak dapat mengandung lagi. Rasa kecewa dan sedih akan datang bila saya melihat perempuan lain mengandung.

Myra,
Selangor

JAWAPAN

WALAUPUN puan masih muda iaitu 31 tahun, daripada apa yang puan maklumkan di sini, puan nampaknya ada banyak masalah seperti darah tinggi dan kencing manis semasa mengandung.

Biasanya masalah ini akan bertambah serius apabila umur meningkat dan juga ketika dalam kandungan yang seterusnya.

Biasanya seseorang wanita yang telah melalui tiga kali pembedahan akan dinasihatkan mengikat rahim terutamanya jika lapisan rahimnya sudah nipis atau didapati struktur-struktur seperti pundi kencing dan ususnya melekat pada bahagian rahim.

Dalam keadaan ini pembedahan seterusnya akan membahayakan ibu dan juga anak dalam kandungan.

Dalam beberapa kes di mana selepas tiga kali pembedahan, didapati struktur-struktur seperti pundi kencing dan usus tidak begitu melekat kepada rahim serta bahagian lapisan rahim juga tidak nipis.

Jika wanita ini turut tidak mempunyai banyak masalah kesihatan, maka pembedahan kali keempat akan dibenarkan tetapi tiup fallopian wanita berkenaan perlu diikat ketika menjalani pembedahan kali keempat ini supaya tidak mengandung lagi.

Dr Fatima Najla
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan
Pusat Perubatan Kelana Jaya

(Sumber Utusan Malaysia)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

1 ulasan:

  1. saya wanita yang juga berusia dalam 34 tahun dan suda 3 kali pembedahan. dan suda di mandulkan. tetapi saya suda berkahwin untuk kali ke 2 dan suami saya menginginkan anak dari rahim saya. boleh kah saya mengandung lagi dengan cara ivf tabung uji? saya tak ada masalah penyakit dari kelahiran pertama hingga ke tiga. bayi saya cuma songsang. suami pertama saya yang meminta doktor menutup terus saluran fallopian sbb dia xmau anak lagi. anak saya yang terakhir sekarang suda berusia 9 tahun. harap saya dapat kabar yang mengembirakan daripada doktor. sebab suami saya sngt2 menginginkan anak bersama saya dan saya sanggup buat apa saja untuk tunaikan hasrat dia.

    BalasPadam