Label

WANITA 5 ANAK ALAMI MASALAH DALAM RAHIM (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA berumur 44 tahun, sudah berkahwin selama 24 tahun dan mempunyai lima anak. Anak sulung berusia 22 tahun dan bongsu 10 tahun. Masalahnya, sejak hamil anak sulung, urat di kaki timbul kebiru-biruan. Ia tidak sakit kecuali bila cuaca sejuk dan rasa bisa waktu kedatangan haid.

Saya hanya menyapu minyak apabila tidak tahan sakit dan hingga kini, urat di kaki masih ada.

Apabila saya didatangi haid, ia datang dengan begitu banyak bersama darah beku.

Pada hari pertama dan kedua haid, saya terpaksa menghabiskan kira-kira 15 tuala wanita.

Perkara ini berlaku sejak tiga tahun lalu yang dialami setiap bulan.

Saya juga kerap buang air kecil malah hampir 20 minit sekali sejak setahun lalu. Saya sering berurut dan selepas berurut barulah saya rasa lega sedikit tetapi hanya bertahan dua hingga tiga bulan. Setiap kali berurut, bidan akan menaikkan bahagian peranakan.

Sehingga kini, saya tidak pernah bertanyakan masalah saya pada mana-mana doktor. Saya tidak tahu sama ada ia adalah penyakit atau perkara biasa bagi wanita sudah berumur seperti saya.

Untuk pengetahuan doktor, saya tidak pernah mengambil pil perancang atau menggunakan alat mencegah hamil sejak berkahwin.

Saya berharap doktor dapat memberi nasihat kerana ia mengganggu kehidupan saya.

Rusiah,
Masai, Johor

JAWAPAN

ANDA dinasihatkan berjumpa doktor pakar sakit puan untuk pemeriksaan. Berkemungkinan haid yang banyak ada kaitan dengan penyakit pada rahim (uterus).

Anda juga mengalami tanda tekanan dalam abdomen yang meningkat, ini boleh berlaku akibat kehadiran ‘bengkak’ rahim seperti ketumbuhan dan seumpamanya sehingga menekan pundi kencing. Ia turut menyebabkan anda kerap membuang air kecil, selain punca timbulnya urat pada kaki (dinamakan varicose vein).

Lazimnya ia membabitkan bengkak bersaiz besar sehingga memberi kesan kepada tekanan ini, kehadiran bengkak ini sering disalah anggap oleh wanita sebagai kegemukan.

Pendarahan haid yang banyak juga tidak sihat untuk dibiarkan berterusan. Ia boleh mengundang komplikasi lain yang berkaitan dengan kekurangan darah sehingga boleh memberi kesan kepada jantung seseorang. Segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan.

Untuk makluman, kaedah pencegah kehamilan terutama pil perancang tidak menyebabkan haid berlebihan, malah sebaliknya ia mengatur haid serta mengurangkan kuantiti pendarahan haid.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan