Label

WANITA RESAH URI KE BAWAH (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA berusia 34 tahun dan kini hamil anak kedua. Kandungan saya kini memasuki bulan ketiga. Selepas menjalani ujian ultrabunyi doktor memberitahu keadaan uri saya berada di bawah.

Bagaimanakah ia boleh berlaku sedangkan kandungan pertama tidak bermasalah sebegini? Apakah yang perlu saya lakukan? Apakah rawatan untuk menaikkan kembali uri? Bolehkah saya berurut untuk menaikkan uri?

Fina,
Kuala Lumpur

JAWAPAN

KEADAAN uri di bawah lebih bergantung kepada lokasi perlekatan embrio pada dinding rahim. Bagi embrio yang melekat di bahagian atas, ia tidak mempunyai masalah ini.

Sebaliknya, jika ia melekat di bahagian bawah rahim, uri yang kemudian terbentuk juga berada di bawah. Namun, tidak semua keadaan uri bawah akan kekal di bawah.

Uri mungkin ‘beralih kedudukan’ ke atas disebabkan pengembangan atau kenaikan dinding rahim terutama selepas berlaku pembentukan segmen bawah yang mampu menjarakkan kedudukan uri dari pintu rahim.

Jika uri sudah ‘naik’ ke atas, ia tidak akan turun semula. Namun, dalam 10 peratus kes, ia kekal di bahagian bawah dinding rahim apabila anda memasuki bulan ketujuh dan anda dikatakan mengalami keadaan plasenta previa (yang bermaksud uri di bawah).

Plasenta previa lebih ditemui dalam keadaan berikut:


- Grandmultipara iaitu sudah melahirkan lima anak atau lebih sebelumnya

- Usia

- Pernah mengalami plasenta previa dalam kehamilan terdahulu

- Pernah menjalani pembedahan Caesarean

- Kehamilan kembar

- Merokok

- Pernah menjalani D&C

- Kedudukan bayi tidak normal

Beberapa panduan boleh diguna pakai:

- Memilih untuk bersalin di hospital yang dilengkapi kemudahan bersalin pembedahan Caesarean dan pembedahan histerektomi (jika perlu), bekalan darah dan unit rawatan rapi (termasuk bayi).

- Mengikut lawatan antenatal secara berjadual.

- Pemakanan mencukupi dan mengambil tambahan pil zat besi bagi memastikan paras hemoglobin darah yang optimum (ujian darah antenatal bagi paras hemoglobin dan kumpulan serta jenis rhesus darah lazimnya sudah dilakukan pada masa ini).

- Bersedia untuk kemasukan wad bagi tempoh yang lama (lebih bergantung kepada jenis plasenta previa, episod pendarahan dan jarak masa dari rumah ke hospital). Ini termasuk membuat persiapan persalinan serta mengaturkan hal ehwal penjagaan anak dan suami.

- Segera ke hospital sekiranya mengalami pendarahan walaupun sedikit.

Corak pendarahan lazimnya tidak menentu, ia boleh menjadi banyak secara tiba-tiba dan berterusan atau sebaliknya berhenti dengan sendirinya.

- Bersedia untuk menjalani pembedahan Caesarean (kecuali plasenta previa kecil yang tidak disertai masalah pendarahan).

Lazimnya, pembedahan ini dijalankan sekitar dua minggu lebih awal dari tarikh jangkaan bersalin berikutan ketika itu janin sudah cukup matang. Jika menunggu lebih lama, ia mendedahkan risiko pendarahan atau didatangi sakit bersalin.

- Faham kemungkinan tumpah darah serta keperluan pemindahan darah.

Tiada rawatan untuk ‘menaikkan’ uri. Kepercayaan berurut dapat menaikkan atau sengkak anggota peranakan wanita (termasuk uri) tidak tepat.

Uri tidak boleh dipisahkan daripada dinding rahim kecuali hanya selepas bayi dilahirkan. Uri juga tidak dapat dialihkan kedudukannya.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan