Label

BENIH PEROKOK BERMUTU RENDAH (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA sudah menjalani pelbagai ujian kesuburan seperti ujian darah, pap smear dan tahap hormon progesteron. Doktor mendapati tahap hormon saya rendah dan nilai sperma suami adalah enam juta.

Adakah pengambilan pil hormon clomid boleh membantu saya untuk hamil? Adakah nilai sperma suami dikira normal, subur atau kurang subur?

Saya dan suami berusia 32 tahun, sudah berkahwin selama empat tahun dan belum mempunyai zuriat. Suami saya juga seorang perokok tegar.

Jika saya sudah mengambil pil subur lebih tiga kali, bolehkah saya bertukar kepada suntikan kesuburan untuk membolehkan saya hamil?

Saya juga inginkan penjelasan mengenai suntikan kesuburan yang tidak mempunyai kesan antiestrogenik dan kosnya.

Saya ingin melakukan rawatan permanian berhadas (IUI) untuk mendapat anak kembar, berapakah anggaran kos diperlukan dan prosedur yang perlu dilakukan? Benarkah pendapat mengatakan jika hamil melebihi usia 31 tahun, kebarangkalian mendapat anak kembar lebih tinggi biarpun pasangan suami isteri itu tidak mempunyai keturunan kembar?

Neeza,
Simpang Rengam, Kluang

JAWAPAN

SAYA andaikan tahap hormon anda rendah merujuk kepada paras hormon progesteron. Keputusan ujian ini boleh dipakai jika haid anda berikutnya jatuh kira-kira seminggu selepas tarikh ujian dilakukan.

Jika benar anda mengalami masalah ovulasi, ubat kesuburan boleh diambil. Lazimnya pil kesuburan yang mengandungi bahan clomiphene citrate akan diberi dalam kuantiti sebanyak 50 hingga 100 miligram setiap hari selama lima hari bermula sama ada pada hari kedua, ketiga, keempat atau kelima mengikut bilangan hari kitaran haid anda.

Pengambilan pil ini pada waktu malam (berbanding siang) pula dapat membantu mengurangkan kesan sampingan memandangkan anda sedang tidur pada waktu kesan sampingan timbul.

Seeloknya sewaktu pengambilan pil kesuburan ini, pemantauan ke atas hasilnya (bilangan telur yang besar) dilakukan secara imbasan ultrabunyi melalui faraj (imbasan trans-vaginal) bermula selepas tujuh hingga 10 hari mula mengambilnya, susulan pemantauan ke atas ovulasi turut dibuat secara ultrabunyi transvaginal ataupun secara ujian darah progesteron.

Dengan adanya ovulasi, anda mungkin akan dinasihatkan untuk meneruskan rawatan selama tiga hingga enam kali mengikut kesesuaian.

Bilangan sperma suami juga kurang mencukupi untuk membuahkan kehamilan secara pil kesuburan dan hubungan seks saja, peluangnya ada tetapi rendah.

Secara purata kira-kira 100 juta sperma terkandung dalam setiap ejakulasi lelaki. Dalam keadaan bilangan sperma kurang daripada 20 juta/setiap mililiter air mani dan berjumlah keseluruhan kurang daripada 40 juta, rawatan tambahan secara IUI lebih sesuai.

Selain bilangan sperma, maklumat mengenai pergerakan dan bentuk sperma juga penting.

Perokok tegar lebih berisiko mempunyai masalah bilangan sperma yang kurang dan peratus sperma yang bergerak juga kurang serta perlahan atau lambat.

Berhenti merokok dapat mengubah komposisi ini, ubat yang meningkatkan hormon testosteron mungkin dapat menambah bilangan sperma, tetapi seeloknya diambil untuk sekurang-kurangnya tiga bulan.

Teknik IUI bertujuan mendekatkan jarak perjalanan sperma ini.

Dalam hubungan seks, air mani diejakulasi ke dalam penghujung faraj, sperma perlu berenang dari dalam faraj menembusi serviks (pintu rahim) kemudian merentasi ruang dalaman rahim menuju ke tiub falopio kanan dan kiri sehingga ke penghujung tiub ini untuk bertemu dengan ovum (jika ada) bagi membolehkan persenyawaan berlaku.

Teknik IUI pula memasukkan sperma terus ke dalam ruang rahim menggunakan tiub khas, dalam erti kata lain IUI menjadikan jarak perjalanan sperma ini lebih dekat atau pendek.

Bagi meningkatkan peratus kejayaan, lazimnya air mani 'dicuci' terlebih dulu untuk memilih sperma yang elok saja. IUI tidak membanyakkan bilangan ovum, bilangan ovum dipertingkatkan dengan pengambilan ubat kesuburan.

Kemungkinan kehamilan kembar lazimnya terjadi dengan pengambilan ubat kesuburan (jika ia menghasilkan lebih daripada satu telur).

Ini bermakna, sekiranya anda menjalani IUI tanpa mengambil sebarang pil atau suntikan kesuburan, rawatan kesuburan ini tidak meningkatkan peluang kehamilan kembar.

Sebaliknya pengambilan pil atau suntikan kesuburan meningkatkan peluang kehamilan kembar walaupun tanpa IUI. Malah, kemungkinan bilangan kembar tiga, empat atau selebihnya juga boleh berlaku.

Memandangkan kehamilan kembar adalah kehamilan berisiko tinggi dan kurang sesuai untuk menyatakannya sebagai suatu peluang, kehamilan kembar adalah suatu risiko.

Suntikan kesuburan lebih berisiko untuk kehamilan kembar memandangkan potensinya lebih dalam menghasilkan bilangan telur yang banyak.

Ini penting untuk dipantau, malah risiko keadaan stimulasi berlebihan (OHSS) yang boleh membahayakan nyawa juga boleh berlaku sekiranya dosnya berlebihan.

Secara amnya, suntikan kesuburan tidak mengandungi sifat antiestrogenik dan lebih berkesan dalam membuahkan kehamilan, tetapi kosnya jauh berbeza sehingga memakan ratusan atau ribuan ringgit, seseorang mungkin tidak perlu mengambil suntikan kesuburan.

Selain kehamilan kembar akibat penggunaan ubat kesuburan (memandangkan bilangan telur yang dihasilkan boleh menjadi banyak), kembar juga boleh berlaku secara semula jadi sama ada secara keturunan ataupun dengan peningkatan usia walaupun tanpa penggunaan ubat kesuburan.

Dalam setiap kitaran haid, lazimnya hanya satu telur dikeluarkan sewaktu ovulasi, malah dalam wanita yang mempunyai masalah anovulasi pula tiada telur dihasilkan. Sebab itulah, ramai antara kita sama ada tidak hamil ataupun hamil dengan seorang janin pada sesuatu kitaran haid.

Ujian pap smear bukanlah ujian kesuburan. Bagaimanapun ia penting dilakukan sebagai saringan penyakit prakanser serviks. Anda tidak menyatakan status kedua-dua tiub falopio anda.

Ia lazimnya diuji menggunakan sinaran-x (disebut HSG) ataupun secara pembedahan laparoskopi. Sekiranya kedua belah tiub falopio tersumbat, pilihan rawatan yang sesuai adalah secara persenyawaan tabung uji (IVF). IUI memerlukan sekurang-kurangnya satu tiub falopio yang berfungsi dan tidak tersumbat.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan