Label

BIMBANG KEMALANGAN GANGGU KEHAMILAN (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA berusia 21 tahun dan baru enam bulan berumah tangga. Sehingga kini saya masih belum hamil.

Masalahnya kini, ketika dua bulan berkahwin, saya ada mengurut perut dan pinggang kerana terbabit dalam kemalangan jalan raya yang mengakibatkan buah pinggang saya bengkak serta kencing berdarah.

Pada bulan berikutnya, haid saya hanya dua hari yang saya alami selama tiga bulan berturut-turut. Mengesyaki kemungkinan saya sakit atau hamil, doktor mengatakan ada ketulan di dalam rahim.

Doktor tidak dapat memastikan apa ketulan itu tetapi saya juga melihat ketulan itu waktu imbasan. Kemudian, saya merujuk ke klinik lain tetapi doktor yang memasukkan sejenis alat ke dalam rahim saya ketika itu menyatakan tiada apa yang kelihatan.

Doktor itu juga menyatakan saya sihat dan hanya berlaku pertukaran hormon kerana baru berkahwin. Apakah pandangan doktor mengenai hal ini? Apakah yang harus saya lakukan?

Rita
Sungai Besi, Kuala Lumpur

JAWAPAN

BERDASARKAN pemeriksaan doktor kedua, saya andaikan anda sebenarnya menjalani pemeriksaan imbasan ultrabunyi menggunakan alat yang dimasukkan ke dalam faraj (bukannya ke dalam rahim).

Secara perbandingan, teknik ini lebih jelas berbanding jika imbasan ultrabunyi itu dilakukan menggunakan alat yang diletakkan ke atas abdomen atau perut anda.

Bagaimanapun, tidak salah jika anda menjalani pemeriksaan kali ketiga, seelok-eloknya dengan pakar sakit puan untuk kepastian.

Lebih elok lagi sekiranya anda masih menyimpan gambar imbasan ultrabunyi kali pertama dahulu. Jika benar ada ketulan di dalam rahim, jenis ketulan itu bergantung kepada kedudukannya sama ada di dalam dinding rahim atau di dalam ruang rahim.

Stres kemalangan diketahui boleh mengganggu hormon sehingga mengakibatkan masalah ovulasi, lazimnya ia bersifat sementara saja.

Sama penting juga adalah untuk anda menjalani pemeriksaan buah pinggang. Kecederaan buah pinggang yang dialami sewaktu kemalangan dulu boleh menyebabkan gangguan kekal dan menjadi lebih teruk sewaktu kehamilan.

Ini kerana sewaktu kehamilan, berlaku stasis (perlambatan) aliran air kencing daripada buah pinggang menuruni saluran ureter ke dalam pundi kencing.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan