Label

GATAL, KEPUTIHAN AKIBAT JANGKITAN KUMAN (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA berumur 22 tahun dan sudah berkahwin. Saya mengalami gatal pada kemaluan dan keluar keputihan yang berketul-ketul daripada faraj.

Sejak kebelakangan ini saya gagal memuaskan suami saya kerana kemaluan saya terasa sakit ketika bersama. Apakah punca dan cara mengatasinya?

Mieza,
Petaling Jaya, Selangor

JAWAPAN

KEPUTIHAN disertai gatal-gatal lazimnya adalah tanda jangkitan kuman. Jika dibiarkan berlarutan, ia boleh menyebabkan perubahan pada permukaan faraj serta pintu rahim (kemerahan, luka, peradangan dan seumpamanya), akibatnya anda mudah sakit pada bahagian terbabit. Malah ia juga boleh menjangkiti organ berhampiran seperti pundi kencing.

Walaupun kebanyakan jangkitan faraj diakibatkan oleh kulat Candida dan rawatannya berbentuk pil (pessary) yang dimasukkan ke faraj, ia tidak semestinya berlaku untuk semua keadaan.

Seeloknya jalani pemeriksaan dalaman, sedikit sampel keputihan terbabit diambil untuk pemeriksaan makmal mengambil masa beberapa hari sahaja.

Ujian ini dinamakan Culture & Sensitivity. Bukan sahaja jenis kuman dapat dikenalpasti, malah ubat yang sesuai dan yang tidak sesuai turut disenaraikan.

Selain itu, anda juga dinasihatkan mengamalkan teknik mengelakkan jangkitan berlaku semula. Ini termasuk:

- Mencuci atau mengelap kemaluan dari arah hadapan ke arah belakang dan bukan sebaliknya. Ia dapat mengelakkan kuman dari bukaan dubur yang terletak berhampiran memasuki faraj.

- Lebih kerap menyalin seluar dalam, terutama jika anda mudah berpeluh atau selepas melakukan aktiviti senaman.

- Memakai seluar dalam daripada kapas dan bukannya nilon (ini dapat mengurangkan pengewapan pada kawasan terbabit).

- Teknik “Sitz bath” juga dapat membantu. Berendam di dalam besen yang mengandungi air (air paip sama ada sejuk ataupun suam sudah memadai) bercampur sedikit garam. Lakukan selama kira-kira 10 minit dua kali sehari.

Jangkitan dijangka sembuh dalam seminggu, peradangan faraj mungkin mengambil masa lebih lama untuk kembali normal semula. Seeloknya anda mengelak hubungan seks ketika masih dalam rawatan.

Ini dapat mengurangkan risiko jangkitan pada pasangan serta risiko jangkitan semula kepada anda. Ia juga dapat memberi masa untuk luka (jika ada) pada faraj sembuh.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan