Label

HAID TIDAK MENENTU (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA berumur 22 tahun dan sudah berkahwin. Haid saya tidak menentu iaitu lazimnya selepas melakukan hubungan kelamin dengan suami, saya tidak akan didatangi haid berbulan lamanya sehingga tiga atau empat bulan.

Doktor hanya memberikan pil untuk membolehkan haid saya kembali seperti biasa. Buat masa ini, kami tidak bercadang menimang cahaya mata kerana tinggal berjauhan.

Pada masa sama, saya mengalami masalah keputihan yang banyak, berwarna kekuningan dan sedikit berbau. Adakah saya menghadapi sebarang penyakit? Apakah pandangan doktor mengenai hal ini?

Nurul,
Kampung Melayu Pandan, Johor Bahru.

JAWAPAN

GANGGUAN
haid yang anda alami mungkin mempunyai kaitan dengan masalah ketiadaan pengeluaran telur secara teratur yang sepatutnya berlaku sekali dalam setiap kitaran haid. Ini dinamakan anovulasi.

Ia boleh disahkan menggunakan ujian darah hormon progesteron, namun memandangkan kitaran haid anda tidak menentu sehingga tiga atau empat bulan, sukar menentukan hari sesuai untuk ujian darah dilakukan.

Ada beberapa punca anovulasi, kebanyakannya bersifat sementara, antaranya tekanan persekitaran.

Pemberian ubat hormon untuk mendatangkan haid yang lazimnya mengandungi hormon progestin (menyamai hormon progesteron dihasilkan kantung yang sudah mengeluarkan telur) hanya menggantikan kekurangan hormon progesteron dalam tubuh, dengan harapan jika tekanan persekitaran diatasi, ovulasi akan berlaku sendiri kemudian, haid pula akan kembali pulih tanpa anda memerlukan ubat berkenaan lagi.

Namun, jika anovulasi berlaku akibat penyakit lain, anda mungkin terpaksa bergantung kepada ubat terbabit untuk mendapat haid. Seeloknya anda berjumpa pakar sakit puan untuk mengenal pasti punca gangguan haid dialami, dan rawatan bersesuaian dapat diberikan.

Masalah keputihan yang berbau dan banyak daripada biasa pula mungkin disebabkan jangkitan kuman. Kebiasaannya kuman terbabit kulat Candida, namun tidak mustahil ia disebabkan kuman lain. Ini tiada berkaitan dengan gangguan haid anda.

Keputihan lazimnya mudah diubati. Berjumpa doktor untuk pemeriksaan dan rawatan.

Langkah berikut dapat membantu mengelakkan ia berulang lagi:

Membersihkan kemaluan bahagian luar memadai menggunakan air dan sabun mandi biasa saja. Membersihkan sehingga bahagian dalam faraj (douching) hendaklah di elakkan kerana ia boleh menukar pH persekitaran vagina dan merosakkan koloni bakteria sihat di dalamnya serta mengundang pembiakan kuman lain.

Malah, douching juga boleh menyebabkan perebakan jangkitan kuman ke bahagian lebih atas sehingga ke dalam ruang rahim, tiub falopio dan ruang pelvis serta menyebabkan jangkitan pelvis (PID).

Mengelap kemaluan dari bahagian hadapan (bukaan faraj) ke bahagian belakang (bukaan dubur) dan bukan sebaliknya. Ini dapat mengelakkan kuman dari dubur memasuki faraj dan saluran kencing yang terletak pada bahagian hadapan.

Lebih kerap menukar seluar dalam atau memastikan ia kering, terutamanya setelah aktiviti seperti bersenam, berenang dan berpeluh. Ketika haid, tuala wanita juga hendaklah ditukar lebih kerap. Elakkan memakai seluar dalam yang diperbuat daripada nilon atau bahan sintetik, sebaiknya memakai seluar dalam yang diperbuat daripada kapas.

Elakkan penggunaan bendasing pada seluar dalam atau tuala wanita yang mungkin menyebabkan radang seperti pewangi dan serbuk talkum atau herba.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan