SOALAN
SAYA berumur 36 tahun dan sudah mendirikan rumah tangga selama lapan tahun tetapi masih belum dikurniakan cahaya mata. Pada 2002, saya dikesan mempunyai endometriosis pada ovari kiri sebesar 8 x 10 sentimeter.
Doktor menyarankan supaya saya dibedah segera tetapi tidak membuang ovari. Menurut doktor, ovari saya hanya 30 peratus dalam keadaan baik manakala ovari kanan normal. Sejak 2003, pelbagai cara saya usahakan untuk hamil sama ada moden atau tradisional namun tiada tanda untuk hamil.
Saya mencuba kaedah permanian berhadas (IUI) sebanyak tiga kali tetapi tidak berjaya kerana masalah sperma suami yang kurang bilangannya. Pada Mei 2007, saya disarankan mencuba kaedah teknik persenyawaan tabung uji secara menyuntik sperma terus ke dalam telur (ICSI) oleh pakar. Saya diberi ubat subur Buserelin dan Ganol F.
Saya berjaya menghasilkan 17 telur tetapi hanya dua saja yang disenyawakan tetapi saya gagal hamil. Menurut pakar embrio, telur saya tidak sihat. Persoalannya, apakah yang menyebabkan telur saya tidak sihat dan adakah ubat untuk mengatasi masalah saya ini? Adakah saya berpeluang untuk hamil?
Untuk pengetahuan puan, saya kini mengambil asid folik 400 mikrogram setiap hari dan suami mengambil tribestan dan anti fr.
Suzainee,
Kuantan, Pahang.
JAWAPAN
SEWAKTU rawatan ICSI dulu, anda dikatakan mempunyai peratus persenyawaan yang rendah (hanya dua embrio daripada 17 telur iaitu 12 peratus saja). Ini berbeza dengan kadar persenyawaan yang dilaporkan secara am (50 hingga 80 peratus). Beberapa faktor mungkin menyumbang kepada kadar yang rendah ini termasuk:
- Kualiti telur. Walaupun usia wanita dikaitkan dengan kualiti telur, usia wanita lazimnya tidak menurunkan kadar persenyawaan, ia hanya menurunkan peluang kehamilan. Pada usia 35 hingga 39 tahun, peratus persenyawaan sepatutnya tidak berbeza (masih di antara 50 hingga 80 peratus) walaupun kualitinya rendah, peluang kehamilan dengan kaedah tabung uji menjadi rendah dengan hanya sekitar 25 peratus.
Ini disebabkan keadaan embrio aneuploidy yang terbentuk lebih pada wanita berusia. Embrio aneuploidy lazimnya sukar untuk melekat pada dinding rahim. Jadi, walaupun embrio dimasukkan kembali ke dalam ruang rahim, jika embrio itu bersifat aneuploidy, tidak berlaku perlekatan maka tidak berlaku kehamilan.
Dalam keadaan anda, kualiti telur yang dimaksudkan menurunkan peluang persenyawaan mungkin merujuk usia anda dan waktu penuaiannya. Berkemungkinan telur diambil masih ‘mentah’ (belum matang) atau sebaliknya ‘terlalu masak’ (terlalu matang) pada waktu ia dituai iaitu disedut keluar melalui prosedur aspirasi folikel telur (lazimnya disebut OPU).
- Kualiti sperma seperti persenyawaan sangat rendah jika menggunakan sperma tidak bergerak. Masalah mikro-delesi kawasan AZF pada kromosom Y boleh menyebabkan kegagalan persenyawaan malah jika berhasil, embrionya juga berkualiti rendah.
- Kemahiran atau pengalaman pakar embrio melakukan tusukan ICSI.
- Kualiti atau kawalan piawaian makmal IVF/ICSI terbabit. Anda masih berpeluang untuk hamil. Gagal kali pertama tidak semestinya bermakna gagal kali kedua. Seeloknya persediaan awal dibuat dengan meneruskan pengambilan pil asid folik dalam persediaan 400 mikrogram atau lima miligram setiap malam. Ujian darah bagi mengesan paras Ca125 juga boleh dilakukan bagi mengetahui keadaan penyakit endometriosis anda.
Pemerhatian menunjukkan paras Ca125 yang masih tinggi mengurangkan peluang kehamilan, malah jika berjaya hamil (disahkan melalui ujian darah kelak), ia lebih berisiko untuk mengalami keguguran. Anda mungkin sudah menjalani ujian sedemikian sebelum ini, maka parasnya bolehlah dibandingkan.
Kali ini, dos ubat suntikan hormon FSH (hormon kesuburan) yang sesuai boleh diketahui melalui rawatan yang lalu. Seeloknya dos ini dimulakan dan diteruskan sama kerana peningkatan mendadak boleh menghasilkan atau lebih siri telur berbeza kematangannya, ini menjejaskan kualiti telur sewaktu dituai kelak.
Anda tidak menjelaskan situasi sperma air mani suami. Bilangan dan kualiti sperma yang terlalu rendah menandakan ia kurang sesuai dengan teknik lain melainkan hanya ICSI saja. Jika bilangan dan kualitinya sederhana rendah, anda mempunyai pilihan sama ada IUI, IVF ataupun ICSI.
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan