Label

APS PUNCA KEGUGURAN (SAKIT PUAN)

SOALAN

PADA 23 Januari lalu, saya keguguran dalam usia kandungan 22 minggu. Dua minggu sebelum itu saya sakit di bawah perut yang mengeras.

Saya agak ia disebabkan uri yang berada di bawah seperti dimaklumkan doktor waktu membuat imbasan. Saya dan suami dengan pengetahuan yang cetek kemudian pergi berurut, kononnya untuk menaikkan uri itu.

Malangnya, selepas berurut sakit tidak hilang lalu saya ke hospital. Selepas membuat ujian, doktor memberitahu uri saya normal tapi air ketuban kurang dan ada jangkitan pada air kencing.

Doktor beri saya ubat kapsul dan sebiji ubat untuk dimasukkan ke dalam vagina. Selepas makan dua kali, sakit saya hilang dan saya rasa lega tetapi selepas memasukkan ubat ke dalam vagina, keesokan harinya saya mengalami pendarahan seperti haid.

Doktor memberitahu air ketuban saya sangat kurang dan hampir seminggu, pendarahan saya berkurangan tetapi bayi saya meninggal dalam perut. Pada malamnya, ia keluar secara semula jadi.

Selepas sebulan, saya dikehendaki menjalani ujian darah yang dinamakan Lupus dan keputusannya positif. Doktor memberitahu ia adalah penyakit yang dinamakan APS dan perlu mendapat dua kali suntikan sehari jika saya hamil lagi untuk mengelak berlakunya keguguran.

Apakah yang dimaksudkan dengan APS? Saya ingin mendapat anak secepat mungkin tetapi perkara itu membuatkan saya takut.

Saya kini berusia 32 tahun dan berkahwin selama setahun empat bulan. Keguguran itu adalah kandungan pertama.

Puan Zura,
Kuala Lumpur

JAWAPAN

APS adalah singkatan kepada Anti-Phospholipid Syndrome. Dalam keadaan ini, tubuh bertindak membentuk auto antibodi menentang fosfolipid badannya sendiri sehingga mengakibatkan kesan buruk.

Fosfolipid (diambil daripada perkataan fosforus-lipid iaitu molekul lemak mengandungi fosforus) banyak terdapat di dalam badan contohnya pada membran selaput sel, ia juga terikat pada protein pengangkutnya yang turut menjadi mangsa auto antibodi ini.

Sistem imun badan tersalah anggap fosfolipid dan protein pengikatnya sebagai benda asing sehingga badan mula menghasilkan auto antibodi terhadapnya.

Seseorang yang mengalami APS dikesan mempunyai antibodi fosfolipid yang juga disebut anti-fosfolipid (aPL) di dalam darah. Ada sekitar 20 jenis aPL yang bersifat menentang fosfolipid termasuk protein pengikatnya, namun hanya dua jenis iaitu anti-kardiolipin (aCL) dan lupus anti-koagulan adalah yang utama, manakala yang selebihnya tidak memberi kesan penting.

APL yang dihasilkan kemudian membentuk ikatan dengan fosfolipid yang ada di dalam membran selaput sel organ dalaman badan dan mengurangkan penghasilan bahan prostacyclin (yang bersifat cenderung “mencairkan” darah).

Ini menjejaskan keseimbangan sistem pembekuan atau pencairan darah dan menyebabkan bahan thromboxane (yang sebaliknya bersifat cenderung menyebabkan pembekuan darah) menjadi lebih banyak dan menyebabkan pengecutan bukaan salur darah, pengumpulan platelet dan kejadian darah beku dalam salur darah di merata bahagian badan serta memberi kesan negatif.

APS disyaki setelah seseorang mengalami mana-mana keadaan berikut dan disusuli dengan pengesahan ujian darah:

- Pembentukan darah beku dalam salur darah (dikesan menggunakan teknik ultrabunyi Doppler dan seumpamanya).

- Keguguran berturut-turut tiga kali atau lebih (berlaku dalam trimester pertama kehamilan).

- Satu atau lebih keguguran atau kematian janin (berlaku dalam trimester kedua atau ketiga), janin lazimnya mempunyai sifat fizikal yang normal.

- Kematian janin berumur kurang 34 minggu kehamilan (lapan bulan) yang berkait dengan penyakit darah tinggi teruk (pre-eklampsia, sawan, darah tinggi) atau masalah uri (placental insufficiency).

Keadaan di atas dinamakan APS primer. Ada juga keadaan APS sekunder di mana penghidap APS turut mengalami penyakit kronik lain yang berkaitan contohnya Systemic Lupus Erythematosus (SLE).

Pengesanan ujian darah yang dimaksudkan adalah:

- Lupus anti-koagulan: paras IgM dan IgGnya

- Anti-kardiolipin (aCL): juga paras IgM dan IgGnya

Untuk mengesahkan seseorang mempunyai APS, ujian terbabit perlu diulangi selepas lebih enam minggu jaraknya daripada ujian pertama dan kedua-duanya didapati positif iaitu paras IgM atau IgG yang tinggi.

Ini perlu diulangi kerana aPL boleh naik turun untuk sementara waktu akibat jangkitan, kaedah pengambilan sampel darah dan kesilapan piawaian makmal. Jika disahkan mempunyai APS, ia memberi impak besar dalam rawatan termasuk rawatan sewaktu kehamilan.

Selain ujian di atas, beberapa ujian lain dapat menyokong diagnosa APS, ini termasuk Activated Partial Thromboplastin Time (APTT), Clotting Time (CT) dan anti-phosphatidylserine. Semua ujian ini lazimnya tidak terkandung dalam ujian rutin saringan pemeriksaan kesihatan am.

Di dalam kehamilan, kesan akibat pembentukan aCL sehingga menyebabkan pembentukan darah beku boleh berlaku pada mana-mana fasa kehamilan sama ada sewaktu awal iaitu perlekatan janin, pembentukan trofoblas janin dan perkembangan trofoblas janin.

Ia juga boleh berlaku pada fasa lebih lewat iaitu pembentukan darah beku dalam saluran darah uri sehingga mengganggu aliran darah kepada janin dan menghalang perkembangan janin atau mengakibatkan kematian. Jenis komplikasi termasuk seperti berikut:

- Keguguran sehingga berulang dan berturut-turut di mana 15 peratus wanita kumpulan ini didapati mempunyai aPL.

- Masalah kurang pembesaran janin (intra uterine growth restriction atau IUGR).

- Kelahiran pramatang.

- Kematian janin dalam kandungan.

- Pre-eklampsia (penyakit darah tinggi mengandung).

- Eklampsia (sawan mengandung).

Komplikasi atau petanda juga boleh berlaku di luar kehamilan:

- Pembekuan darah di dalam salur darah kaki seperti bengkak betis kaki atau sakit kaki.

- Penyumbatan darah beku di dalam paru-paru seperti sesak nafas, sakit dada atau batuk berdarah.

- Pembentukan darah beku pada bahagian lain badan manakala kesan kesan dialami bergantung kepada organ yang terbabit seperti sakit migrain dan strok.

- Ruam berbentuk jaringan bercorak pada pergelangan tangan dan lutut (livedo retikularis).

Memandangkan sifat aPL yang meningkatkan kecenderungan pembentukan darah beku, rawatan yang diberi bertujuan sebaliknya iaitu “mencairkan“ darah.

Aspirin menghalang perlekatan platelet sesama platelet membentuk darah beku (platelet adalah komponen darah yang membentuk pembekuan darah). Sehingga kini, belum ada rawatan penyembuh untuk APS.

Jika puan sudah disahkan mengalami aPL (mengandaikan ujian disahkan sebanyak dua kali secara berasingan), kebanyakan doktor menasihatkan anda mengambil rawatan ubatan, sekurang-kurangnya aspirin berdos rendah atau mungkin kombinasi aspirin berdos rendah serta heparin yang lazimnya bermolekul kecil (low molecular weight heparin atau LMWH).

Aspirin mudah diambil secara pil, manakala LMWH pula jauh lebih mahal dan diambil secara suntikan subkutan (bawah kulit) yang dilakukan sendiri.

Mujurlah kini, sudah ada pilihan bahan LMWH yang berasaskan bahan bovine dan bukannya dahulu berasaskan bahan porcine (khinzir) saja. Kajian menunjukkan tanpa rawatan, seseorang yang mengalami keguguran berturut (tiga kali atau lebih) mempunyai peluang hanya sebanyak 10 peratus untuk kehamilan berikutnya selamat sehingga dilahirkan.

Sebaliknya dengan rawatan aspirin berdos rendah, peluang terbabit meningkat kepada 40 peratus manakala dengan kombinasi aspirin berdos rendah serta suntikan LMWH, peluang melonjak kepada 70 peratus.

Rawatan berkombinasi ini menurunkan risiko keguguran sebanyak 54 peratus berbanding penurunan risiko dengan aspirin sahaja. Jika puan memilih untuk tidak mengambil rawatan, anda sebenarnya masih mempunyai peluang kehamilan berikutnya berjaya dilahirkan selamat, namun peluang ini hanyalah sedikit saja.

Semuanya ini memberi kesimpulan bahawa kombinasi rawatan aspirin berdos rendah serta suntikan LMWH meningkatkan peluang kelahiran hidup kandungan pengidap aPL.

Bagi lelaki dan wanita yang tidak merancang untuk hamil, rawatan heparin boleh ditukarkan kepada pil warfarin yang lebih mudah namun memerlukan ujian darah bagi mengetahui keserasian dos secara berkala. Warfarin boleh mengakibatkan kecacatan janin.

Selain pakar sakit puan, puan turut memerlukan rawatan oleh pakar perubatan dalaman reumatologi dan pakar kaji darah hematologi. Jika berjaya hamil nanti, puan juga dinasihatkan tidak mengamalkan kaedah perancang keluarga yang mengandungi hormon estrogen (pil perancang berkombinasi).

Puan juga harus berhati-hati dalam mengambil sebarangan ubat termasuk ubat tradisional kerana dikhuatiri tambah memburukkan keadaan pembekuan darah. Langkah tambahan berikut juga membantu:

- Tidak merokok.

- Memakai stokin khas yang membantu melancarkan perjalanan darah.

- Langkah tambahan mungkin diperlukan sewaktu pembedahan besar, sakit kronik, berbaring terlalu lama, kehamilan atau selepas kelahiran.

- Meminum air yang banyak dapat mengelakkan badan dehidrasi. Dehidrasi adalah satu lagi faktor “memekatkan“ darah.

- Menjaga pemakanan berkolesterol rendah. Ini tambah menyumbat salur darah.

Untuk makluman, APS tiada kaitan dengan jangkitan air kencing atau jangkitan faraj ataupun kejadian uri bawah yang dialami oleh puan.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan