SOALAN
SAYA ingin bertanya mengenai masalah penyusuan bayi bagi ibu yang menghidap penyakit hepatitis B. Saya menghidap penyakit ini semasa hamil anak keenam dan saya tidak menyusukan anak saya itu.
Kini saya hamil anak ketujuh dan sangat teringin untuk menyusukan anak saya yang bakal lahir pada Jun ini, apatah lagi susu saya memang banyak ditambah dengan khasiat dan kebaikan susu ibu.
Tetapi saya risau juga jika anak saya pula akan dijangkiti hepatitis B. Apakah saranan doktor?
Rohana,
Kampung Johan Setia, Klang
JAWAPAN
RISIKO anda menjangkiti bayi dengan virus hepatitis B adalah lebih tinggi melalui bendalir tubuh iaitu darah atau lelehan sewaktu kehamilan dan bersalin berbanding melalui susu badan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menyarankan penyusuan badan bagi ibu seperti anda. Bagaimanapun, eloklah anda mengambil langkah penjagaan terhadap kawasan areolar atau puting payudara daripada merekah atau luka kerana cecair luka atau darah ini lebih berpotensi menjangkitkan virus hepatitis B. Selain itu, bayi anda dan setiap bayi lain di Malaysia diberikan suntikan vaksinasi hepatitis B lazimnya dalam tempoh sehari dia dilahirkan. Suntikan ini juga dapat memberi perlindungan terhadap jangkitan virus terbabit kelak.
Anda tidak menyatakan lebih lanjut status penyakit hepatitis B anda sama ada positif terhadap hepatitis "e" antigen (HBeAg) kerana ini meningkatkan risiko jangkitan sewaktu tempoh sekitar kelahiran.
Bagaimanapun, anda masih digalakkan meneruskan penyusuan badan. Anda juga disarankan menjalani susulan bukan saja pemeriksaan antenatal tetapi juga dengan doktor bahagian perubatan dalaman.
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan