SOALAN
SAYA berusia 27 tahun dan kini hamil lima bulan. Sejak di awal kehamilan, saya menghadapi masalah kedudukan uri yang berada di bahagian bawah.
Disebabkan kedudukan itu, saya mengalami pendarahan selama lima hari pada usia kandungan 17 minggu. Saya menempuh pengalaman pahit ketika melahirkan anak kedua.
Oleh itu, saya mengamalkan perancang keluarga sejak dua tahun lalu.
Adakah masalah yang saya hadapi kini kesan daripada amalan perancang keluarga itu?
Siti,
Taman Cheras Prima, Kajang
JAWAPAN
URI bawah (plasenta previa) adalah merujuk kepada tempat perlekatan uri pada dinding rahim. Uri berbentuk seperti piring berurat setebal kira-kira tiga hingga lima sentimeter dan selebar kira-kira 20 sentimeter diameternya.
Ia melekap kuat pada dinding rahim untuk menjadi perantara pembekalan nutrisi daripada ibu kepada janin dan pembuangan bahan kumuhan kembali kepada ibu melalui tali pusat. Tempat perlekatan ini bergantung kepada kedudukan embrio kecil pada awal kehamilan melekat pada bahagian rahim yang lebih besar.
Memandangkan dinding rahim akan terus mengembang terutama bahagian segmen atas, uri yang melekat padanya juga akan turut mengikut dan kelihatan seolah-olah menaik ke atas.
Tidak ada sebab khusus untuk plasenta previa berlaku namun ia sering dikaitkan dengan keadaan berikut:
- Usia ibu (tiga kali ganda lebih kerap bagi ibu berusia 30 tahun ke atas berbanding usia 20 tahun ke bawah).
- Bilangan anak (lima peratus risiko bagi ibu yang sudah mempunyai lima anak berbanding hanya 0.5 peratus secara amnya).
- Pernah mengalami plasenta previa sewaktu kehamilan terdahulu.
- Pernah menjalani pembedahan Caesarean.
- Kehamilan kembar (memandangkan saiz uri lebih lebar).
- Pernah menjalani prosedur ‘cuci’ dilation & curettage (D&C).
- Merokok.
- Kehamilan dengan kedudukan janin tidak normal.
Belum ada kaitan dibuat antara plasenta previa dengan pengambilan pil perancang.
Berkemungkinan ia ada kaitan dengan trauma yang dialami sewaktu kelahiran dahulu (anda cuma menyatakan pengalaman pahit tetapi tidak menjelaskannya).
Anda perlu meneruskan rawatan antenatal dengan doktor serta memilih untuk bersalin di hospital yang lengkap dengan kemudahan pembedahan, bekalan darah dan unit rawatan intensif.
Jika uri berada pada bahagian dinding hadapan rahim, kemungkinan untuk ia 'menaik' ke atas adalah lebih tinggi berbanding jika uri terbabit berada pada bahagian dinding belakang.
Selain itu, ultrabunyi dop pler boleh dilakukan untuk mengesan kemungkinan uri ini turut melekat ke dalam otot rahim, ini dinamakan plasenta previa accreta.
Dengan plasenta previa, risiko plasenta accreta meningkat sehingga 10 peratus (satu dalam 10) berbanding risiko amnya hanyalah 0.04 peratus saja (satu dalam 2500).
(Sumber Internet)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan