KEHAMILAN dan melahirkan anak dianggap antara pengalaman paling istimewa dan berharga dalam hidup setiap wanita. Dalam tempoh tersebut, bakal ibu bukan sahaja akan mengalami perubahan dari segi mental dan emosi, bahkan juga fizikal.
Menurut pakar urutan dan perbidanan tradisional, Oomi Jannah Abdul Hamid, 55, penjagaan dan rawatan semasa berpantang amat penting bagi memastikan si ibu benar-benar kembali sihat seperti sebelumnya.
Oleh kerana itu, adalah amat penting jika si ibu dapat meneruskan amalan berpantang seperti mengurut, bertungku mahupun memakan jamu sebelum kembali melakukan rutin harian mereka.
Ia bukan sahaja memastikan bentuk badan kembali asal, tetapi juga dapat memulihkan sistem peranakan seseorang wanita.
"Dengan rawatan yang diikuti, ia bukan sahaja dapat menghilangkan tekanan, bahkan sepanjang tempoh itu juga tubuh dapat dimanja," ujarnya yang mempunyai 30 tahun pengalaman dalam bidang urutan.
Tegasnya lagi, amalan berpantang selepas bersalin bukan sahaja menitik beratkan soal pemakanan ibu semata-mata tetapi juga merangkumi penjagaan tubuh badannya secara luaran dan dalaman.
Selain menjaga makan dan minum, proses mengembalikan kesegaran tubuh juga amat penting kerana seorang ibu perlu sentiasa sihat semasa menjaga bayi mereka dan cukup kuat untuk bekerja semula selepas habis berpantang.
Namun kini, ramai yang menganggap amalan berpantang tidak lagi penting dan dianggap remeh.
Malah ada yang menganggap amalan berpantang hanyalah sesuatu yang merugikan.
Tidak dinafikan katanya, amalan-amalan berpantang semakin sukar untuk diterapkan memandangkan faktor mendapatkan seorang penjaga yang berpengalaman dan juga penjagaan yang rumit.
''Berbanding dahulu, mereka begitu mengharapkan bantuan penjagaan daripada si ibu sepanjang tempoh berpantang. Ini kerana si ibu lebih mendalami selok-belok amalan dan budaya berpantang mengikut tradisi turun-temurun.
''Kini, faktor perubahan masa, kesihatan dan usia si ibu mempengaruhi urusan penjagaan si anak. Hakikatnya hari ini mereka terpaksa melupakan amalan tradisi turun-temurun, sebaliknya melakukan perkara-perkara yang dianggap penting sahaja," katanya.
Jelas Oomi lagi, menyedari kekurangan tersebut, dia mengambil inisiatif untuk berkongsi pengetahuan dengan ibu-ibu muda untuk merawat diri dalam tempoh berpantang.
''Biasanya tiga hari selepas bersalin saya mengambil tanggungjawab memberikan khidmat urutan kepada ibu-ibu yang bersalin,'' ujarnya yang turut menjadi tukang urut di kalangan orang kenamaan.
Selain mengurut ibu yang baru bersalin tegasnya, bertangas dengan rempah ratus juga turut dijadikan amalan dalam rawatan yang diamalkan.
Malah wanita yang berasal dari Narathiwat Thailand ini memberitahu, si ibu juga turut diberikan pilis dan cara urutan bagi meletakkan batu merian ke tempat asal.
Selain amalan tersebut, si ibu juga turut diberikan jamu yang dibuat sendiri dengan ramuan-ramuan tersendiri bagi menguatkan lagi kesihatan dalaman seseorang wanita.
Katanya lagi, rawatan tersebut biasanya dilakukan di rumah pelanggan bagi memberikan keselesaan sepenuhnya kepada mereka.
Bagaimanapun, ada juga pelanggan yang datang ke rumahnya yang terletak Kota Damansara untuk mendapatkan rawatan tersebut.
Cerita Oomi lagi, dia mula memberi rawatan dalam urutan ini sejak kecil lagi selepas mewarisi kepakaran tersebut dari nenek moyangnya.
''Kalau urat tegang atau bersimpul, kuis dengan jari pun akan terasa sakit. Kalau urat sudah lembut, tekan kuat-kuat pun tak ada apa-apa," jelasnya berkongsi pengalaman.
''Alhamdulillah, dengan jari ini, saya dapat berkongsi pengetahuan dan mengembalikan kesihatan wanita
''Ia adalah momen yang sangat membahagiakan apabila melihat pelanggan kembali anggun dan sihat selepas diurut,'' ujarnya penuh bangga.
Ceritanya, amalan penting semasa berpantang juga adalah bertungku.
Ini kerana amalan bertungku jika diamalkan selalu boleh membantu mengempiskan perut, menghilangkan garis kesan pembedahan untuk mereka yang baru bersalin dan memulihkan rahim yang jatuh atau 'simpan' batu merian.
Menurut Oomi, rawatan bertungku batu herba ini menggunakan batu sungai yang dipanaskan terlebih dahulu selama setengah jam hingga satu jam di atas api yang sederhana.
Kemudian tungku itu perlu dibalut dengan kain yang telah dilapik dengan daun-daun termasuklah mengkudu dan diletak di atas batu .
''Biasanya, proses bertungku itu dilakukan sambil berbaring dan tungku ditekan perlahan-lahan pada sekitar perut, pangkal paha, berhampiran ari-ari, kaki, telapak kaki dan tumit. Ia dilakukan selama satu jam dari bahagian hadapan hingga ke belakang.
''Jika dilakukan semasa berpantang, darah nifas akan mengalir dengan lancar selepas bertungku. Justeru bertungku adakala diteruskan hingga keluar darah terakhir berwarna seakan-akan putih keperangan,'' terangnya bersungguh.
Katanya, selain memberikan perkhidmatan urutan bagi ibu bersalin dalam pantang, urutan tradisional Melayu juga turut diamalkan.
''Ada yang datang minta diurut tangan yang terseliuh, kaki terkehel dan bermacam-macam masalah lagi,'' ujarnya lagi.
Katanya, bahan yang digunakan untuk mengurut cuma minyak yang diadun sendiri dengan ramuan yang tersendiri.
Berkongsi pengalaman lagi, Oomi memberitahu, urutan dengan tangan amat berbeza daripada urutan menggunakan mesin.
"Dengan menggunakan tangan, kita akan dapat mencari atau merasa sesuatu urat atau otot bersimpul yang menyebabkan kesakitan kepada pesakit.
"Jadi, melalui urutan tradisi sebegini, kebarangkalian untuk pesakit sembuh adalah lebih tinggi. Namun, ia perlu diurut beberapa kali mengikut kesesuaian," katanya serius.
(Sumber Utusan Malaysia)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan