Label

KELIRU USIA KANDUNGAN (SAKIT PUAN)

SAYA melahirkan anak secara Caesarean pada 2004 namun anak saya meninggal dunia. Saya mengamalkan pil perancang selama dua tahun atas saranan doktor namun saya berhenti mengambil pil perancang kerana berusaha untuk hamil.

Haid saya menjadi tidak teratur sehinggalah saya disahkan hamil pada 26 Ogos 2013. Kali terakhir didatangi haid pada 22 Julai 2013.

Masalahnya apabila diimbas 23 September lalu, hanya kantung yang terlihat dan doktor mengatakan saya keguguran dan perlu melakukan cucian D&C. Namun apabila saya ke klinik swasta, doktor mencadangkan saya menunggu dua minggu lagi untuk melihat perkembangan janin kerana dia mengatakan masih terlalu awal untuk buat keputusan D&C.

Adakah saya perlu melakukan D&C atau menunggu saja andainya keguguran berlaku secara biasa? Saya juga keliru mengenai usia kandungan saya kerana perbezaan pendapat daripada doktor yang merawat saya.

Ezah
Kuala Lumpur

ANDA
boleh menjalani ujian darah kehamilan untuk mengukur paras hormon BhCG dua kali berturut hari ataupun berselang hari, mengikut kesenangan anda. Di beberapa hospital atau makmal, ia dapat diketahui dalam masa dua hingga tiga jam saja tetapi di hospital atau makmal lain, ia dapat diketahui selepas satu hingga dua hari.

Kemudian, anda hendaklah membandingkan paras hormon terbabit. Sekiranya semakin tinggi, berkemungkinan kandungan masih hidup cuma usianya saja tidak tepat mengikut tarikh haid. Ini lebih-lebih lagi sekiranya anda masih mengalami tanda awal kehamilan iaitu payudara membengkak atau pejal dan puting payudara pula menjadi sensitif terhadap sentuhan.

Jika mengikut tarikh, pada hari ini (7 Oktober), usia kandungan anda 11 minggu. Tetapi kerana haid anda tidak teratur, ada kemungkinan anda sebenarnya hanya mula hamil dari kitaran Ogos saja, maka usia kandungan mungkin baru tujuh minggu (lima minggu sewaktu anda diperiksa pada 23 September lalu).

Sebaliknya jika paras hormon BhCG menurun, kemungkinan kandungan anda keguguran di dalam. Di samping itu, seseorang itu tidak lagi mengalami tanda awal kehamilan seperti sebelumnya. Kebanyakan doktor memilih menunggu ia ‘jatuh’ sendiri di samping membekalkan dengan antibiotik dan cuti rehat.

Tetapi anda perlu menjalani ujian darah secara berkala atau berulang untuk memantau jika berlaku komplikasi jangkitan kuman ke atas anda (melalui tisu kandungan yang sudah ‘mati’), gangguan pembekuan darah dan seumpamanya. Ada pula sebahagian doktor mencadangkan prosedur D&C bagi mengelakkan komplikasi di atas. Secara amnya D&C adalah prosedur selamat tetapi seperti prosedur lain, ia juga mempunyai kemungkinan risiko tertentu, ini lazimnya akan dibincangkan oleh doktor.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan