Label

INGIN TAHU KESAN SAMPINGAN PRODUK KESIHATAN (SAKIT PUAN)

BEGITU banyak produk kesihatan di pasaran sekarang. Fokus saya adalah pada produk jamu berasaskan herba.

Adakah sebarang kesan sampingan penggunaan produk ini terutama wanita memandangkan ada sesetengah produk jamu ini dimasukkan dalam faraj dan serviks wanita. Harap doktor memberi penerangan.

Mohd Rizal Asri,
Kuala Lumpur.

SAYA akan menjawab secara am tanpa merujuk sebarang jenama ubat mahupun produk kesihatan sama ada moden mahupun tradisional.

Sebarang ubat atau produk perlu diambil secara sederhana, tidak berlebihan dan tidak berterusan kecuali jika didapati perlu untuk kepentingan kesihatan. Ini kerana tidak ada satu pun ubat atau produk yang tidak mempunyai kemungkinan kesan sampingan.

Ubat perubatan moden dihasilkan dalam formula serendah mungkin untuk satu tujuan penting iaitu mengurangkan kemungkinan kesan sampingan, tetapi pada masa sama, masih mampu memberikan kesan perubahan yang diingini.

Walaupun kesan baiknya dilihat lambat, yang lebih penting adalah kesan sampingannya juga diharap seminimum mungkin atau lebih elok jika tiada langsung. Ia hasil daripada pelbagai tapisan kajian ke atas manusia sebelum dibenarkan dan didaftarkan untuk penggunaan ke atas kita semua.

Itupun, kadangkala kita ada mendengar berita sesuatu ubat ditarik dari pasaran apabila kajian yang berterusan mendapati ia mendatangkan kesan mudarat walaupun pada segelintir saja. Dalam erti kata lain, bukan mudah atau cepat untuk menghasilkan sesuatu ubat moden yang selamat digunakan ke atas manusia.

Kajian ke atas penggunaan jamu sudah lama didapati ada kaitan dengan peningkatan risiko kanser rahim endometrium. Ini berasaskan pengetahuan bahawa jamu juga mengandungi hormon. Hasil kajian ini sudah pun ditulis dalam buku teks perubatan.

Kajian lain pula mendapati amalan bedak talkum yang disapu pada bahagian kemaluan dulu memberikan peningkatan risiko kanser ovari. Hasil kajian ini dikaitkan dengan teori molekul bahan berserbuk terbabit boleh masuk dan ‘naik’ melalui faraj ke dalam rahim dan terus menerusi tiub fallopio sebelum hinggap pada ovari dan mendatangkan kesan peradangan berterusan menyebabkan kanser.

Pada masa sama, dulu bahan talkum juga mengandungi asbestos. Kini bedak talkum tidak lagi mengandungi asbestos, tetapi diganti dengan tepung jagung. Walaupun tepung jagung dipercayai selamat, dengan adanya hasil kajian bedak talkum terdahulu itu, sukar secara etika untuk mendapatkan kumpulan manusia yang bersetuju menjalani kajian sedemikian secara prospektif.

Anda juga mungkin tidak setuju jika dimasukkan ke dalam kumpulan kajian yang diminta menggunakan sesuatu bahan yang diingat lebih selamat dan kemudian dikaji sama ada akan mendapat kanser kelak ataupun tidak. Ini kerana buat masa ini kanser adalah suatu penyakit yang belum dijumpai penawarnya.

Ketika ini, mungkin kita hanya boleh tunggu dan lihat jika insiden kanser atau penyakit hati (kerana bahan berhormon dimetabolisma di hati) di Malaysia didapati meningkat berbanding negara lain dan membandingkan faktor yang mungkin terbabit, termasuk amalan pemakanan mereka.

Ini adalah satu bentuk kajian retrospektif (ke atas kesan atau penyakit yang sudah berlaku). Ia mungkin mengambil masa lebih 10 hingga 20 tahun sehingga golongan itu menjadi tua, tetapi jika sememangnya berguna untuk pengetahuan kita pada masa akan datang, tetapi kepada mereka dan keluarga mereka yang mungkin menjadi ‘mangsa’, ia boleh diibaratkan seperti nasi sudah menjadi bubur.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan